Bab 69

1.4K 60 16
                                    

          Beberapa orang yang hadir di tanah perkuburan, mula meminta keizinan untuk pulang sebelum beransur pergi. Tidak lupa juga ucapan takziah yang sentiasa meniti di bibir setiap orang yang menghampirinya. Puan Zahra hanya mampu membalas dengan mengukirkan senyuman walaupun kelihatan sungguh perit.

Sejujurnya, sampai ke saat ini hatinya masih tidak mampu menerima. Perit untuk ditelan bahawa Haiyan dan Aisyah sudah dijemput Illahi, malah tidak akan pulang lagi di sisi mereka sekeluarga.

Hakikat yang tak mampu dia terima sampai ke hari ini. Tak sangka hari ni, kali terakhir dia dapat menatap wajah anak dan menantunya. Baginya, ini semua mimpi ngeri yang harus dia bangun tapi apakan daya, ini semua realiti yang perlu dia terima. Sebagai seorang ibu yang telah melahirkan, melepaskan seorang anak yang pernah dikandung, amat sukar digambarkan perasaan itu.

Haiyan anak pertamanya, dan lahirnya Haiyan, dia yang mendapat gelaran ibu itu.

"Ibu... kita balik jom? Hari dah makin lewat ni. Nanti kita nak pergi ambil Anas pula." Tegur Harriez setelah lama diam di sisi ibunya.

Puan Zahra yang setia merenung kedua-dua tanah perkuburan yang masih merah itu, lantas berpaling ke tepi. Wajah anak keduanya yang kelihatan lesu itu dipandang seketika.

Harriez masih setia bersongkok dengan berbaju melayu berwarna biru gelap, dipadankan pula dengan seluar jeans. Dari seraut wajah itu, dia tahu anaknya penat beberapa hari ini.

Sebagai seorang ibu, dia tahu dari sudut hati yang paling dalam, Harriez turut berduka, cuma kesedihan itu ditahan daripada ditunjuk kepadanya.

Kepala dijatuhkan. Kemudian Puan Zahra berpaling ke tepinya. Hanan masih begitu. Termenung dalam menangis. Anak Mata gadis itu hanya melekat pada tanah perkuburan milik Aisyah. Mata bengkak gadis itu telah menceritakan segalanya bagaimana perasaannya menerima segala kenyataan ini.

Keluhan dilepaskan lemah. Sesak dadanya melihat Hanan sebegitu. Matanya yang kembali terasa panas cepat-cepat dikedipkan. Nafas ditarik dalam, menenangkan dirinya daripada terbawa emosi.

Puan Zahra menarik tangan Hanan diriba lalu digenggam erat. Seakan tersedar dengan dunia nyata, Hanan angkat wajah pandang Puan Zahra di sebelahnya.

"Mari Hanan, kita pulang." Lembut bicara Puan Zahra menyapa halwa telinganya. Wanita itu menguntum senyum ke arahnya.

Hanan turut membalas dengan senyum nipis. Lantas tapak tangan di bawa ke pipi lalu diusap air matanya dari membiarkan pipi itu dibasahi. Semasa membersihkan wajahnya, Hanan sempat berpaling ke arah Qairul.

Dari jauh dia melihat suaminya yang berpakaian baju melayu hitam beserta seluar jeans itu tengah menelefon seseorang. Melihat seraut wajah serius itu, tahu lah Hanan ada perkara penting yang tengah lelaki itu bincangkan.

"Hanan?"

"Ya, ibu?"

Saat namanya diseru, Hanan kembali pandang Puan Zahra. Terlakar seraut wajah penuh kerisauan itu.

"Mari kita balik. Dah lewat ni, kesian Anas. Mesti dia tunggu kita." Ujar Puan Zahra.

Keluar sahaja nama Anas dari bibir Puan Zahra. Hatinya tersapa sayu. Pilu mengingatkan keadaan bayi kecil yang dianggap seperti anak sendiri.

Bagaimana nasib Anas seterusnya? Semakin lama, Anas akan membesar menjadi sepertinya. Anas tak ubah seperti nasibnya, pasti sukar untuk menjalani jalan-jalan kehidupan yang akan datang.

Hanan jatuhkan kepala beberapa kali. Serentak itu dia cuba bangun walaupun saat ini tubuhnya terasa lemah. Bahang di tubuhnya turut dirasai berlainan dari hari biasa. Rasa pening di kepalanya semasa mengurus pengebumian Aisyah dan Haiyan itu dihiraukan begitu sahaja. Dikuatkan dirinya sehingga selesai majlis pengebumian.

[C] Please Remember Where stories live. Discover now