1.1 | Nama dia Kucing

766 91 37
                                    

Jantungku berdetak laju tatkala sedar kami berdiri rapat meskipun masih terdapat jurang antara kami. "Alif," sebutku perlahan.

"Awak nak pergi mana? Saya hantarkan. Takkan awak nak redah hujan? Lebat lagi ni. Tak pasal-pasal awak demam pulak," ujarnya prihatin.

Spontan aku senyum. Terasa berbunga hati apabila dia prihatin terhadapku. "Kereta saya tapi saya parkir jauh. Takpelah, susahkan awak pulak." Aku menolak sopan. Entah Alif Danial hendak ke mana, aku pulak yang menghalangnya semata-mata hendak ke keretaku. Sejak aku membatalkan temu janji tempoh hari, dia tidak lagi menghubungiku. Sibuk barangkali.

"Takde susahlah. Saya bukan buat apapun, nak pergi kafe aje."

Kening aku jungkit tidak percaya.

Dia senyum. "Iyalah. Takkan saya nak tipu. Atau awak nak ikut saya? Awak mesti sejuk dah kena hujan tadi."

Aku menunduk memandang pakaianku yang sudah bercorak hasil dari titisan air hujan. Satu tangan aku masih memeluk tubuh cuba mengurangkan rasa dingin pada petang itu. Bibirku ketap menahan dari terus terketar-ketar. Wajahnya kupandang semula. Bibirku melakar senyuman.









Cawan berisi air kopi panas yang masih lagi berasap itu aku bawa rapat ke bibir. Aku tersenyum sendiri menikmati kopi yang dibancuh dengan rasa yang sebati itu. Langsung tidak sedar gerak-geri aku diperhati seorang pemuda di hadapanku. Aku sengih saat mata kami bertembung. Dia senyum saja.

"Awak dari mana tadi?" soalnya memulakan perbualan. Aku sedar matanya asyik melirik ke arah beg Tesco aku. Aku menelan liur. Bimbang dia bertanya perihal beg itu.

"Kedai lilin. Awak memang sanggup keluar dari rumah semata-mata pergi kafe?" Aku menyoal kembali. Tangan aku meletak cawan ke atas meja.

Alif Danial angguk. "Saya dari kedai buku saya tadi. Ramai pulak orang datang waktu hujan begini. Saya ambil keputusan untuk keluar sekejap ke kafe. Biar pekerja saya yang ambil alih."

Giliran aku mengangguk. Keadaan antara kami kembali terasa janggal. Aku terfikir adakah dia sengaja menjauhkan diri kerana aku batalkan temu janji kedua kami? Aku cuba memberanikan diri bertanya, "Kenapa awak tak hubungi saya lagi?" Tanpa diduga, dia turut bertanya soalan sama secara serentak denganku. Aku terkejut. Aku fikir hanya aku saja yang berfikiran sebegitu.

Alif Danial mengerutkan kening. "Saya tak nak ganggu awak. Saya fikir awak dah tak nak jumpa saya."

"Oh, funny! Saya ingat awak terasa hati sebab cancel date kita haritu. Siapa kata saya dah tak nak jumpa?"

Dia jungkit bahu. "Biasanya perempuan yang saya kenal dulu, cancel date sebab itulah," jelasnya.

"Saya Dhiya Adriana, bukan perempuan yang awak kenal dulu. Kalau saya macam dia orang, saya pasti tolak bila awak ajak saya minum sekali tadi. Jadi, Encik Alif, awak tak boleh assume saya macam tu."

"Saya tahu. Sorry."

Aku menghela nafas. Sekurang-kurangnya dia sedar dan memohon maaf. Bagi aku itu sudah memadai. Aku malas mahu memanjangkan cerita. Aku tahu bukan mudah untuk dia mempercayai aku.

Habis minum petang itu, Alif Danial menemani aku berjalan ke kereta. Hujan yang tadi turun dengan lebat sudah pun berhenti. Namun, angin sejuk masih terasa. Aku membetulkan tali beg di bahu. Tak semena-mena lelaki itu menghentikan langkahku dengan payungnya. Dia berpusing menghadap aku.

"Awak kata tadi awak pergi kedai lilin aje kan? Tapi kenapa saya tengok beg Tesco tu macam berat? Saya nak tolong bawakan, awak tak bagi."

Aku terdiam. Bibirku ketap. Mataku beralih pada wajahnya yang menunjukkan rasa ingin tahu. Keluhan aku bebaskan. Pandangan aku hala pada sekeliling. Aku menarik satu tali beg menunjukkan isi dalam beg itu kepada Alif Danial.

Kucing, Kau Kenapa?Where stories live. Discover now