3.9 | Berbulu mata aku tengok kau orang

455 64 27
                                    

Perlahan-lahan bunyi derap kaki menghampiri seorang wanita yang asyik melihat suasana di kaki gunung itu. Jika orang yang tidak mengenali wanita itu, barangkali hanya sangka dia ingin menikmati suasana tetapi tidak bagiku. Meski hubungan kami tidak begitu akrab tapi perubahan tingkah wanita itu sejak awal kami menginap di Pulau Langkawi berjaya menarik perhatianku. "Sophea, kau jangan ingat aku tak tahu apa niat kau naik cable car ni," tegurku.

Bahunya terhinjut. Terkejut mendengar suaraku barangkali. Dia menoleh dengan kening yang berkerut. "Dee? Aku fikirkan kau ikut yang lain."

Kepala aku geleng. "Kau ingat aku boleh biarkan kau yang buat perangai lain macam dari awal kita datang sini. Aku tau kau ada masalah, Sophea. Sophea yang aku kenal zaman sekolah dulu jenis riuh. Tapi depan aku ni, sepanjang masa diam seribu bahasa," luahku penuh kerisauan. Bukan aku sahaja yang sedar akan kelakuan peliknya, malah hampir semua rakan sekelas kami yang mengikuti program reunion ini.

Sophea berpaling kembali memandang ke arah langit biru yang cerah disinari matahari itu. "Aku tak tahu aku patut cerita pada kau ataupun tidak. Tapi sebab tempoh hari aku ada perkenalkan kau boyfriend aku, aku beritahu sajalah."

Dahi aku berkerut. Aku faham maksud kata-kata Sophea. Sebaris nama yang berjaya buat darah aku naik mendadak. Alif Danial. Aku membuat muka menyampah mendengar namanya. Tidak aku menyalahkan Sophea kerana mempunyai hubungan cinta dengan lelaki itu tetapi hatiku masih musykil akan lelaki itu. Aku tidak mengerti. Dia ada Sophea tapi kenapa begitu marahkan semua perempuan yang pernah dikenalinya? Kenapa begitu insecure sedangkan dia dan Sophea sedang bercinta? Kenapa perlu dia maklumkan pada Mama yang dia masih tiada sesiapa di hati?

Misteri sungguh!

Senyuman manis terbit di bibirnya yang dioles gincu merah jambu sesuai dengan kulitnya yang cerah. "Alif Danial dengan aku mula jumpa dekat kedai buku dia. Dia anak tauke kedai buku. Kebetulan pula kedai buku dia ada juga jual buku-buku teks universiti. Dari situ, kami mula berkawan. Beberapa bulan kemudian, baru kami bercinta. Susah untuk raih kepercayaan dia. Dia dah banyak terluka. Tapi aku bersyukur aku dapat juga raih kepercayaan dia yang aku tak sama dengan perempuan yang dia kenal sebelum ni. Walaupun ada juga sesekali dia berjauh hati pasal benda kecil. Kadang-kadang aku naik rimas juga takkan sebab kecil dia salahkan aku. Tapi sebab rasa cinta yang masih bercambah untuk dia, aku tidak putus asa bantu dia bangkit semula. Aku cuba yakinkan dia yang aku takkan sesekali tinggalkan dia."

Aku membiarkan Sophea meluah isi hatinya. Padahal hati dah membuak-buak rasa geram. Aku masih ragu-ragu sama ada aku patut beritahu dia ataupun tidak berkenaan perkenalan aku dengan Alif Danial beberapa bulan lalu.

Sophea menambah lagi, "Tapi kita hanya mampu merancang. Allah yang berkuasa menentukan rancangan kita menjadi atau sebaliknya. Aku ditukarkan ke cawangan di luar negara awal tahun ini. Puas aku tabur janji aku tidak akan tinggalkan dia. Aku akan setia sampai aku kembali. Aku ambil keputusan untuk benarkan kami berehat. Aku tak minta putus cuma berehat, tumpukan perhatian pada kerjaya masing-masing. Hampir enam bulan aku di sana, kemudian aku pulang semula dengan hajat ingin menyambung hubungan kami kembali. Kau nampak kan tempoh hari, hubungan aku dan dia nampak okey?"

Aku angguk perlahan. Dapat aku lihat sinar bahagia di mata Sophea sewaktu memperkenalkan aku dan teman lelakinya yang sudah pun aku kenal melalui janji temu buta yang diaturkan oleh Mama.

"Cuma aku pelik. Selepas aku pulang, dia dah tak sebut pasal perempuan yang dia kenal sebelum ni. Segala kesalahan kecil yang aku timbulkan tidak berakhir dengan pergaduhan. Dia senyapkan saja dan mengalah. Minggu lepas, barulah aku dapat tahu sebabnya. Dia dah tawar hati dengan aku. Dia dah tak mampu nak teruskan hubungan kami lagi. Hancur hati aku bila dia cakap begitu. Terasa usaha aku sia-sia selama ini. Aku ingat datang sini boleh tenangkan hati tapi ke mana-mana aku pergi terbayang juga wajah dia. Rasa macam hilang akal pun ada." Senyumannya bertukar rasa. Pahit. Sophea menundukkan wajah memandang lantai.

Kucing, Kau Kenapa?Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang