3.1 | Kau date dengan polis ke, Dee?

579 79 13
                                    

Kereta Persona aku kunci sebelum menyimpan kunci kereta ke dalam kocek seluar. Langkah aku atur mendekati tangga. Aku baru pulang dari menemani Sarah untuk menyiapkan urusan perkahwinannya. Hati berasa riang dan lega kerana kawan baikku akan menjadi isteri kepada Uthman, satu-satunya lelaki yang aku percaya boleh menjaga Sarah dengan baik. Terasa cepat waktu berputar. Terasa seperti semalam aku mengenali Sarah sewaktu baru masuk ke alam sekolah menengah. Sedar-sedar sudah dua belas tahun berlalu. Aku sudah pun dewasa dan bergelar seorang pendidik. Tersenyum lebar aku mengenang cebisan memori yang berjaya dikumpul di bangku sekolah.

Cebisan-cebisan memori itu tiba-tiba retak dalam sekelip mata saat namaku dilaungkan kuat sehingga bergema suara itu di kawasan parkir kereta. Aku menoleh. Terbeliak mataku. Kakiku terpaku atas tanah. Terasa bagai dijampi membuatkan semua anggota badanku terkaku apabila pandanganku mendarat pada sebuah motosikal berwarna hitam yang ditunggang seseorang bertopi keledar laju mara ke arahku. Visor helmet itu gelap tidak dapat kulihat wajah si penunggang motor tersebut. Tanpa kusedar, tubuhku ditolak kuat lalu aku Bersama kuasa yang menolak tadi terjatuh ke tepi. Mengelak dari dilanggar tanpa belas.

"Dee, Dee okay tak?"

Lama aku diam membiarkan otak mencerna situasi tersebut. Perlahan-lahan aku memalingkan wajah pada pemilik suara tersebut. Pandanganku kabur tetapi lama-kelamaan wajah di hadapanku itu semakin jelas. Kak Rin. Aku angguk perlahan. Aku bangun, berdiri dengan bantuan Kak Rin.

"Dee, lengan Dee!" tegur Kak Rin.

Aku melihat lenganku. Terkoyak kulitku sehingga ke siku. Tidaklah besar pun, tetapi bohonglah jika aku tidak berasa pedih. Air mata aku tahan dari jatuh. Bibirku menggeletar menahan pedih. "T... Takpe, kak. Sikit je ni." Barangkali lengan aku tergeser dengan batu-batu kecil yang datang dari jalan tar.

"Sikit apa macam ni, Dee? Dah, jom! Akak hantar pergi klinik."

"Tapi akak ada kerja." Aku menolak pelawaan Kak Rin. Kalau bukan kerana aku terleka tadi, pasti Kak Rin tidak perlu susah membantuku.

"Takpe, Dee. Akak boleh ambik emergency leave. Dah, jangan bantah. Lagi lambat kita pergi, lagi bahaya luka Dee tu. Luka tu kena bersihkan secepat mungkin." Kak Rin bertegas ingin membawaku ke klinik.

Aku mengalah. Aku ikut saja kata Kak Rin. Dalam hati tidak putus-putus rasa syukur kerana Kak Rin ada tadi. Kalau dia tiada, pasti lebih teruk kecederaan yang aku alami. Tak pasal-pasal lagi teruk aku kena dengan Mama. Silap haribulan dia suruh pindah masuk rumah semula. Aku menghela nafas perlahan. Apa masalah hidup aku ni? Satu per satu masalah hadir. Mungkin benar ini kerana aku lawan cakap Mama?

Entahlah, aku pun tiada jawapan untuk itu.

"Dee ada musuh ke? Akak rasa risau pulak tengok penunggang tadi. Siapa saja yang berani bawak laju-laju macam tu dekat tempat parkir ni? Siap tak berhenti, minta maaf pulak tu!" Kak Rin bersuara saat kami berada dalam keretanya untuk pergi ke klinik berdekatan.

Aku geleng kepala tidak pasti. Mungkinkah musuh Aniq sudah tahu akan identiti aku? Atau mungkin ada orang lain yang berdendam denganku? Kalau ikut logik akal, benar juga kata Kak Rin. Tidak mungkin ada orang yang memandu laju seperti sedang berlumba atas trek perlumbaan di kawasan parkir perumahan yang sederhana begitu.

"Lepas pergi klinik, kita buat laporan polis. Akak tak mahu biarkan penunggang motosikal tu terlepas macam tu saja. Dee jangan nak membantah cakap akak, akak buat ni demi keselamatan Dee juga." Persis kakak kandungku yang tidak pernah wujud, Kak Rin memberi nasihat berbaur amaran.

Aku mengangguk kepenatan. Aku masih lagi dalam keadaan terkejut dengan apa yang berlaku tadi. Kepala aku sandarkan pada kerusi. Membiarkan Kak Rin membebel tidak puas hati dengan penunggang motosikal tadi.








Kucing, Kau Kenapa?Where stories live. Discover now