2.8 | Awak dah kenapa?

777 106 70
                                    

Kayla membantuku membawa hadiah itu ke rumahku. Lukisan itu agak berat juga. Sedari tadi, aku terasa berat hati untuk menerima hadiah cabutan bertuah ini. Aku bimbang kalau Aniq sengaja beri aku menang. Kalau itu benar-benar berlaku, aku tidak berhak untuk menerima hadiah ini. Sebaik sahaja lukisan itu diletakkan atas lantai, Kayla bersuara, "Kau dah sedia? Fikir baik-baik tau, sebolehnya aku tak nak ambil sebab kau yang menang."

Dari tadi juga aku tidak meminta Kayla mengambil lukisan itu kerana aku tidak mahukannya. Tetapi Kayla ragu-ragu ingin menerimanya dan menyuruh aku untuk melihat lukisan itu terlebih dahulu. Aku yakin aku tidak mahu tapi entah mengapa aku terasa berdebar-debar ingin melihat lukisan itu.

Aku lihat Kayla membuka bungkusan itu penuh hati-hati. Terkesima aku melihat rupa lukisan itu. Hati aku tersentuh. Lidahku kelu. Aniq, sampainya hati kau nak beri lukisan ni pada orang lain! Marahku dalam hati.

Lukisan itu terkandung memori aku dan dia. Kenangan luar biasa yang tidak mampu untuk aku padam dari kotak memori. Lukisan itu menggambar titik permulaan aku dan dia. Lukisan itu... Kucing. Ah, walaupun kucing itu banyak menyusahkan aku tapi aku sudah jatuh sayang padanya. Tapi dia ialah Aniq, satu kenyataan yang masih aku cuba hadam sehingga ke hari ini. Mata yang terasa berair itu aku lap cuba menghapuskan air mata yang menunggu masa untuk mengalir.

"Lawanya! Comel pulak tu kucing A Aryan lukis ni. Perempuan ni mesti tuan dia kan?" Dia menunjuk ke arah lukisan wanita yang hanya menampakkan bahagian belakang tubuhnya.

Aku ketap bibir. Jauh dalam sudut hati aku, aku mahu simpan lukisan ini. Aku teragak-agak untuk memberitahu Kayla. Ayat itu tetap aku cuba lontar keluar dari mulut. "Kayla, a... Aku rasa aku nak simpanlah lu... Lukisan ni."

Kayla senyum. "Baguslah! Aku memang nak kau simpan pun. Jangan risaulah, kalau kau tak nak pun aku takkan ambik." Kata-katanya menenangkan aku.

Aku membalas senyumannya. Kayla memandang lukisan itu lagi. Dia membelek lukisan itu, dilihat pada bahagian belakang lukisan itu. "Dee, ada something kat bawah ni!" beritahunya.

Aku mengerutkan kening. Kayla menunjukkan sesuatu yang dia lihat di belakang lukisan itu. Entah bagaimana dia begitu peka sehingga tahu ada sesuatu pada belakang lukisan tersebut. Di tangannya ada sampul empat segi kecil berwarna putih. Sampul itu kembung. Aku mengagak Aniq meletakkan kunci kotak itu ke dalam sampul tersebut. Aku mengambil sampul itu dari tangannya. Sampul itu aku buka lalu aku bawa keluar kunci itu.

"Eh, keychain! Dee, kalau aku nak yang ni boleh?"

Aku terkejut. Kali ini memang aku tidak mampu untuk beritahu yang aku perlukan kunci yang kelihatan seperti rantai kunci itu. Masakan aku mahu beritahu yang kunci itu memang untuk aku?

Kayla gelak melihat muka cuak aku. "Aku gurau ajelah. Berlambak keychain serupa macam ni, aku beli dekat A's Shop tadi. Pelik betul dia bagi keychain ni sekali." Keningnya berkerut.

Aku menghela nafas lega. Tidak sangka pulak jejaka itu buat kunci kotak itu seperti rantai kunci yang dijual di kedai cenderamata di galerinya. Kejap, entah-entah kotak tu pun ada jual dekat situ? Aku menahan rasa tidak puas hati. Tanpa berlengah, aku bertanya pada Kayla yang asyik mengamati lukisan tersebut. "Kayla, ada tak kotak yang ada lubang kunci tu jual dekat A's Shop tadi?"

Kayla menggeleng. "Takde. Aku takde nampak kotak berkunci pun tadi. Kenapa?"

Aku pula menggeleng. "Takde apalah. Abaikan soalan aku."

Kayla tidak bertanya lebih lanjut. Dia meminta diri untuk pulang. Aku menghantar Kayla sehingga ke kereta sekaligus memeriksa andai lelaki itu sudah pulang. Bimbang pula Kayla mengetahui artis kegemarannya itu tinggal di sebelah rumahku. Aku menutup pintu selepas masuk ke rumah semula.

Kucing, Kau Kenapa?Where stories live. Discover now