2.2 | Kalau dia bertukar jadi remaja, kaulah jadi cikgu dia, Dee!

826 81 15
                                    

Air kopi hitam panas yang sudah kian terasa suam berbaki separuh itu aku minum. Satu tangan aku letak atas meja. Pandangan aku hala pada Kayla yang sedang menghabiskan saki-baki bihun sup yang dibeli dari mak cik kantin. Kepala aku asyik memikirkan enam pemilik nombor telefon yang berkemungkinan orang yang menukarkan Aniq menjadi seekor kucing. Sejak aku pulang ke rumah semalam, jejaka itu langsung tidak menghubungi aku. Tidak pasti kerana dia tiada nombor telefon aku atau masih belum jumpa petunjuk. Sebab pertama itu agak tidak logik.

Pertama, dia boleh sahaja ketuk pintu rumah aku.

Kedua, dia boleh minta nombor telefon aku dari Firash ataupun Puan Fazura sendiri.

"Dee," panggil Kayla.

Aku mengangkat dagu sedikit. Tanpa aku sedar, Kayla sudah pun habis menjamu selera.

"Aku tanya, kenapa kau ambil cuti semalam? Tak cukup cuti Sabtu Ahad ke?" Dia bertanya. Bibirnya mengorak senyuman.

Aku tersenyum seraya menggelengkan kepala. "Tak adalah. Aku ada hal, memang kena settle semalam jugak," jawabku separuh benar. Memang aku ada hal, tapi nak kata urgent, kena selesaikan semalam itu tidaklah begitu benar. Tapi bila lagi aku ingin pergi ke galeri di mana Aniq juga ada di galeri? Takde kerjalah aku nak ajak dia pergi galeri bersama semata-mata mahu siasat perkara pelik yang berlaku pada hari terakhir dia di galeri.

Aku baru teringat sesuatu. Hari Aniq muncul semula sebagai manusia di rumahku, dia ada pernah beritahu dia makan kek. Kemudian, tiba-tiba dia berasa seperti tanda-tanda alahan pada bulu kucing muncul. Bermakna, terdapat sesuatu di dalam kek yang dimakannya. Tapi bila masa orang itu ingin meletakkan sesuatu dalam kek?

Mataku terbuntang. Jangan-jangan...

"Hai, Dee! Kayla! Breakfast ke?" Satu suara milik lelaki menyapa kami berdua.

Hampir serentak kami menoleh. Aku senyum membalas sapaannya. Belum sempat aku menjawab soalan guru kaunseling sekolah itu, Kayla menjawab berbunyi sarkastik, "Breakfast apanya? Matahari dah nak tegak ni. Awak tak nampak ke kita orang main bola kat sini?"

Terang-terang di kantin ini, tang mana pulak nak main bolanya?

Aku keliru.

Nizam ketawa buat-buat. Mukanya jelas menunjukkan riak menyampah. "Ha. Ha. Ha. Pandai awak buat lawak, Kayla!"

"Oh, don't mention it."

Aku mencelah, "Eh, kau orang ni! Sudahlah tu."

Nizam memberikan senyuman padaku. "Takde apalah, Dee. Jangan risau, saya dah biasa kena macam ni." Dia menenangkan aku. Tubuhnya masih lagi berdiri di sisi meja. Satu tangan berpaut pada meja membuatkan tubuhnya sedikit terbongkok. Sebelah lagi tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar.

Kayla menjulingkan matanya ke atas. Menyampah. Tak lama kemudian, wajahnya berubah biasa. Dia menongkat dagu memandang Nizam. "By the way, Nizam. Lama tak nampak awak merayau kat bilik guru? Kenapa? Kecewa Wafa dah ada boyfriend?" tanya Kayla berbaur usikan. Senyuman yang terlakar di wajah nampak sinis bagiku.

Mataku beralih ke arah Nizam. Kelihatan dia langsung tidak terkesan dengan pertanyaan yang diaju kepadanya. Aku mengerutkan kening keliru. Merayau dekat bilik guru? Bukan ke Nizam pernah beritahu, dia jarang naik ke atas? Dan... "Wafa?"

Haih, penuh rasa keliru saja yang datang padaku hari ini. Keluhku dalam hati.

Nizam senyum. Aku tidak mengerti akan maksud di sebalik senyuman yang terukir itu.

Kayla menjungkitkan kening memandangku. Pelik apabila gaya aku seperti tidak tahu menahu hal itu. "Eh, kau tak tau ke? Wafa dah ada boyfriend. Tak silap aku, seminggu selepas kau masuk sekolah ni," terangnya.

Kucing, Kau Kenapa?Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang