3.8 | Apa mimpi awak datang ke sini, Dee?

478 79 22
                                    

Mata aku larikan pada tulang-tulang buku yang tersusun elok di atas rak. Mata masih mencari tajuk buku yang menarik untuk dibaca. Jariku asyik menari di atas tulang-tulang buku yang di rak separas wajahku. Aku dongak melihat rak lebih tinggi. Mata aku yang tadi asyik melihat tulang-tulang buku berhenti apabila satu tajuk menarik minatku. Serentak langkah kaki terhenti serta-merta. Tangan kanan aku panjangkan untuk mendapatkan buku yang terletak di rak tingkat kedua paling tinggi. Tumit kaki yang tersarung sneakers itu kuangkat. Tangan lagi satu memegang rak menjadikan tempat untuk aku berpaut mengekalkan keseimbangan tubuh.

Sedang aku terkial-kial mencapai buku yang menarik perhatian aku itu, terdapat satu tangan panjang mencapai buku itu dengan mudah sekali. Ditariknya keluar dari rak. Aku menurunkan tangan sebelum berpusing. Aku sudah bersiap sedia untuk mengucapkan terima kasih dan mendapatkan buku tersebut.

Namun, sebaliknya yang terjadi. Si dia yang mengambil buku tadi selamba membelek buku itu. Sisi tubuhnya bersandar pada rak buku. Gayanya seolah-olah tiada apa yang berlaku. Buku yang diangkat separas wajah itu menyukarkan aku untuk melihat wajah lelaki yang berani menaikkan darah yang tadi sudah tenang. Aku pandang tidak percaya.

Jari telunjuk aku angkat lalu mengetuk kulit muka hadapan buku itu. Kuku yang mengenai kulit buku itu mengeluarkan bunyi selain menolak buku itu ke arahnya. "Saudara, saya taulah saudara tinggi. Kalau iya pun saudara nak baca buku tu, bagilah saya dulu. Saya yang nampak dulu." Persis remaja sekolah aku ajak dia bergaduh.

Buku itu diturunkan. Bibirnya ditarik ke kiri. Menayangkan senyuman dan wajah tampannya. "Oh ya? Tapi saya capai buku ni dulu, saudari."

Aku menjeling. Sudah aku agak dialah gerangan yang gemar menaikkan darah aku. Aku keluh berat. "Encik Aryan, saya takde mood nak bergaduh. Awak nak baca, lain hari boleh baca. Lagipun, awak kerja di sini. Kenapa baru sekarang nak baca buku yang saya nak baca?"

"Pelik. Apa mimpi awak datang ke sini, Dee?"

"Ada peraturan mengatakan Dhiya Adriana tak boleh datang sini ke?" Soalan dibalas soalan. Dalam diam aku merampas buku itu dari tangannya. Tapi laju saja dia melarikan buku itu dari gapaian tanganku.

"Tak. Tapi biasa kalau awak datang sini mesti bersebab. Awak bukan minat lukisan sampai nak datang ke sini. Kalau awak nak datang sebab nak baca buku, alasan awak tak munasabah, Dee. Banyak perpustakaan dan kedai buku yang awak boleh pergi."

Aku diam. Baru sahaja aku ingin beri alasan hendak baca buku. Dia ni psychic ke? Boleh baca fikiran orang? Merepek! Kalau dia boleh baca, mesti dia tahu berbakul-bakul kutukan aku pasal dia. Omelku dalam hati. Tidak membalas kata-katanya, satu tangan aku tadah. Cuba untuk dapatkan buku itu dengan meminta apabila usaha merampas tidak berjaya.

Keningnya berkerut tidak mengerti. Aku menunding jari pada buku di tangannya sebelum kembali menadah tanganku. Tangan aku gamit meminta dia memberi buku itu padaku. Terasa berat mulut ingin bersuara, aku memilih untuk menggunakan isyarat sahaja. Lama Aniq pandang aku sebelum dia meletak kembali buku itu pada rak.

Jatuh rahang aku melihat perbuatannya.

"Nanti awak baca buku tu. Sekarang awak ikut saya. Memandangkan awak dah ada di sini, saya nak bagi hadiah cabutan bertuah yang saya cakapkan tu. Jom!" Kepalanya disengetkan memberi isyarat suruh mengikutnya. Dia berjalan mendahului aku keluar dari bahagian rak.

Dengan langkah yang lemah aku mengekorinya dari belakang. Dia menolak pintu kaca sebelum menahannya memberi ruang untuk aku keluar. Dari perpustakaan dia bawa aku turun ke bawah. Aku hanya diam mengikutnya. Sehingga tiba di hadapan sepasang pintu kaca automatik. Pintu tersebut seperti pintu yang biasa dilihat di pusat membeli-belah. Pintu itu gelap tidak membenarkan orang luar melihat bahagian dalam bilik tersebut.

Kucing, Kau Kenapa?Where stories live. Discover now