Halaman 3: Salah Faham

194 26 4
                                    

Temenggung Ali mengambil tikar mengkuang dan menghamparkannya di atas lantai papan rumahnya.

Seketika muncul Mawar yang tersenyum manis sambil menatang dulang.

"Makanan sudah siap, ayahanda."

Bau aroma yang amat menggamit rasa. Ada rendang, kuah kuning pucuk ubi, dan juga ikan bakar terhidang di hadapan mata.

"Biar ayahanda pergi mengambil air minuman."

"Er, tidak mengapa. Biar Mawar yang buat."

Temenggung Ali menggeleng. Menegah anaknya dari bangkit.

"Kau anakku, Mawar. Bukan pembantuku. Duduk anakku."

Mawar akur. Dia lantas mengambil dua biji pinggan logam kemudian membuka tempayan kecil bertutup berisi nasi putih.

"Ayahanda, bagaimana dengan kejadian siang tadi? Apakah melati baik-baik sahaja?" Mawar duduk bersimpuh di hadapan ayahnya.

" Melati nampaknya tidak apa-apa. Cuma dia mengalami beberapa luka kecil kerana bencana kecil menimpa mereka berdua."

"Bencana kecil?"

Temenggung Ali menggaul nasi dengan rendang dengan berselera. Satu suapan disua ke mulutnya.

"Ya. Mereka berdua kepergian ke bandar untuk mencari pekakas menoreh. Malang tidak berbau, Perahu yang dinaiki terlanggar tebing dan terbalik. Mujur air tidak deras."

"Mereka berjaya menyelamatkan diri?" Mawar membetulkan sila. Air sirap diteguknya perlahan.

"Ya, mujur sungai agak cetek di tebing."

"Tapi ayahanda, Orkid bilang kecederaan di wajah Melati itu seperti bukan dari kecelakaan?"

"Ah, mungkin dia tersalah lihat barangkali. Semasa kami berkunjung tadi, mesra sahaja ayahanda melihat mereka berdua."

Mawar menggaru dagu perlahan. Dia masih berasa ragu. Tidak mungkin Orkid berbohong. Lagi-lagi mengenai sahabat baik mereka bukan?

Atau..

Berahim yang mengolah cerita agar tidak terhidu perbuatannya? Matanya terpaku pada wajah duka ayahandanya.

Mengapa dengan ayahanda ya?

Kesuma, jika kau masih ada. Pasti kau tersenyum lebar saat ini. Dia persis dirimu. Sungguh aku rindu akan dirimu.

"Ayahanda menangis?" Tegur suara halus itu. Gadis itu tidak jadi menyudu kuah. Sudu buluh diletakkan kembali.

Temenggung Ali tersentak sedikit. Tubir matanya yang basah dikesat laju.

Ah, masakan aku menangis di hadapan Mawar.

Roman wajah dimaniskan. Harapnya anak gadisnya itu tidak mengesan rasa dukacitanya itu.

"Ah, tidak anakku. Rasanya mata ayahanda dimasuki habuk kecil."

Mawar masih merenung wajah tua itu. Ayahanda ada masalahkah?

"Masakan Mawar tidak enakkah malam ini? Biar Mawar mengolahnya kembali ya?"

Gadis itu mahu mengambil bokor berisi kuah kuning dan rendang.

Ah, adakah masin laukku malam ini? Kasihan ayah.

"Makan Mawar. Ayahanda tidak apa-apa. Masakanmu enak seperti selalu, nak."

Temenggung Ali bersuara perlahan. Angin malam sepoi-sepoi menampar tubuh menyejukkan suasana malam.

Sengaja dia membiarkan pintu utama terbuka luas. Biar angin malam menderu masuk.
Hanya kedengaran bunyi cengkerik memenuhi ruang rumah itu.

"Aku rindukan bondamu. Kau sungguh persis sepertinya. Masakanmu malam ini mengimbas kenanganku bersamanya. Waktu itu kau masih bayi."

"Mawar juga rindu akan bonda. Pastinya kini bonda telah tenang di sisi yang Esa."

Temenggung Ali mengangguk lembut.

"Ah, sudahlah. Ayahanda terlalu melayan perasaan malam ini. Ayuh kita menyambung menjamu selera. Kelak mahu masuk beradu pula."

"Baik ayahanda."

Hikayat Mawar BerduriWhere stories live. Discover now