20- Nekad

97 17 0
                                    

Mawar menyapu air matanya buat kesekian kali. Selepas bacaan yassin beramai-ramai, kebanyakan penduduk kampung sudah beransur pulang.

Ada yang bertitip pesan sebelum pulang. Tidak kurang yang memeluknya erat memberi kata-kata semangat.

Pusara bertanah merah itu ditenung lama. Dia sama sekali tidak menyangka jenazah ayahandanya yang sampai di pintu rumah.

Temenggung Ali terkorban ketika melakukan lawatan mengiringi Sultan Pasha Alaudin Shah ke sebuah pekan kecil. Dia dan beberapa pengawal diserang oleh perusuh.

Beberapa orang sahabat ayahnya turut cedera parah termasuk Bendahara. Manakala Laksamana dan Syahbandar cuma cedera ringan.

Ayah berehatlah di sana ya. Mawar sudah redha dengan ketentuanNya. Jangan risau tentang Mawar. Mawar akan kuat demi ayah dan bonda, ya.

"Mawar."

Gadis itu mengangkat wajah. Mendongak memandang pemilik suara itu.

Arjuna.

Dia tersenyum kelat.

"Kuat ya, Mawar. Aku sentiasa ada kalau kau mahukan bantuan ya. Kau tidak keseorangan. Kau ada kami." Lelaki tampan itu bersuara lembut.

Di belakang lelaki itu, Budi dan Wira turut berada di situ. Manakala Orkid dan Melati masih setia di sisi Mawar dari tadi.

Mawar cuma mengangguk.

" Terima kasih ya semua. Tak terbalas jasa kamu semua padaku." Suara halusnya kedengaran serak basah.

"Hish, kita berenam sudah berkawan sejak kecil. Sama-sama kena kejar cik ponti ketika pulang mengaji di surau lama. Kawan sejati saling menolong bukan?" Budi bersuara.

Mawar menghadiahkan senyuman tawar. Hatinya sedikit terhibur dengan jenaka spontan lelaki bertubuh kurus itu.

"Aduh." Budi mengaduh akibat rusuknya disiku kuat oleh Wira.

"Apalah kau ni. Mawar tengah bersedih tu. Sempat kau buat lawak ya."

"Aku cuma nak hiburkan sikit si Mawar ni. Diamlah kau. Bukan kau kah yang penakut sampai lari masuk parit?" Budi mencebik.

Wira membulatkan mata.

"Cakap tu perlahan sikit. Aku tampar juga mulut cabul kau nanti. Buah hati aku dengar, habis saham aku nanti."

Dia menjuihkan mulut terhadap Orkid dan Melati yang sedang berusaha menyembunyikan ketawa.

Arjuna berdehem kuat.

" Maafkan mereka, Mawar. Wayar otak short agaknya. Kami beransur dahulu ya.  Nanti petang aku datang rumah ya. Nak beri sedikit sumbangan dari penduduk kampung."

Mawar cuma mengangguk lesu.

"Terima kasih ya Arjuna, Budi, Wira. Kalian malah bantu menurunkan arwah ayah ke liang lahad. Aku terhutang budi."

"Tiada apalah. Kami beransur dahulu ya. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam." Salam dijawab serentak oleh gadis bertiga.

Keadaan jeda seketika.

Mawar kelihatan masih termenung panjang.

Melati dan Orkid pula hanya memandang antara satu sama lain. Pucat betul wajah sahabat mereka.

Risau mereka melihatnya.

"Mawar, hari sudah beransur petang. Mari kita pulang. Perut kau dari pagi tidak diisi. Nanti kau sakit." Melati menyentuh lembut bahu sahabatnya.

Mawar menoleh dan mengangguk lembut. Sudah lebih 3 jam mereka di situ. Kasihan pada dua orang sahabatnya yang setia menemani dari saat pengebumian tengah hari tadi.

Hikayat Mawar BerduriDär berättelser lever. Upptäck nu