Kampung Sirna

55 4 0
                                    

Malam itu tenang sahaja. Tingkap jendela dikuak luas. Menderu angin menyerbu masuk ke ruang tamu rumah kayu itu. Arjuna merenung langit yang gelap itu. Sebutir dua bintang berkelipan indah di atas sana.

"Apa yang kau menungkan?"

Dia tersentak. Senyuman dihadiahkan kepada empunya suara. Darma nampaknya santai dengan baju pagoda dan kain pelekat. Baru selesai solat Isyak barangkali.

"Tak ada apalah. Saja merenung langit malam ni. Tenang saja."

Darma hanya tersengih. Iyalah tu. Macamlah baru sehari dikenali sahabatnya itu.

Lelaki berambut lurus paras bahu itu mengeluh lembut. Ternyata ketenangan malam tidak dapat meredakan ribut jiwanya itu.

"Mari duduk, makan." Pelawa Darma yang datang dari dapur menatang dulang ditangan.

Lelaki itu mengangkat kening. Ada pengat pisang yang berasap, roti beberapa keping dan seteko teh.

"Eh dari mana datangnya makanan ini?"

Mereka belum sempat lagi ke kedai runcit membeli barang dapur. Agak sibuk menguruskan kerja lapangan mereka di istana.

"Mak cik Senah beri petang tadi ketika kita baru pulang. Sedekah semperna anaknya berjaya masuk sekolah tinggi katanya."

"Wah, pandai betul Seroja ya?"

"Rezeki dia agaknya. Hendak lulus sekolah melayu bukan senang. Lagi-lagi anak muda ada yang lebih gemar bekerja kampung sahaja berbanding ke sekolah."

Dia hanya mengangguk. Benar kata Arjuna. Kebanyakan memang bekerja di sawah atau ladang getah untuk menampung hidup.

" Lihatlah seperti Anum yang terpaksa bekerja menoreh getah. Ayahnya baru sahaja meninggal kan? Ibunya pula uzur di rumah. Walau baru berusia 12 tahun, pundak tanggungjawab jatuh ke atasnya sebagai anak sulung."

Darma hanya mengangguk. Terbit rasa kasihan kepada Anum. Terbayang wajah polos gadis meningkat remaja itu. Diselangi dengan wajah adik- beradiknya yang seramai 13 orang itu.

Amir 11, Amira 10, Azira dan Azim 8, Asri 7, Asilah 6, Asrul 5,Adilah 4, Akilah 3, Azlina 2, dan paling kecil Ajla berusia 2 bulan.

" Bila Anum berhenti sekolah?" Pengat pisang dihirup sedikit:

" Tahun lepas lagi rasanya. Ketika ayahnya jatuh sakit." Cawan berisi teh suam dicicip pula.

Lagilah hatinya diruntun rasa belas. Seharusnya usia sekecil itu hanya belajar untuk masa depan, bukannya menanggunh keluarga besar.

"Aku ada idea. Kau setuju tak?" Darma memandangnya dengan mata bersinar.

"Tak."

Darma buat muka. Arjuna yang baru sahaja selesai melicinkan pengat dalam mangkuknya tergelak kecil.

" Apa ideamu?"

"Aku mahu beri bantuan kepada penduduk kampung yang daif seperti keluarga Anum itu."

"Bagus ideamu."

"Kau setuju?"

"Setuju asal bukan guna duitku."

Darma menepuk kuat belakang sahabatnya. Lelaki ni memang jarang serius. Buat lawak sahaja kerjanya.

"Mestilah bukan. Aku mahu gunakan semua elaunku sebagai putera di negeriku untuk membeli barang keperluan di pekan dan kita akan agihkn kepada yang memerlukan." Darma menerangkan hasratnya yang murni itu.

"Wah. Macam menarik!"

Darma hanya tersenyum. Terbit kesal kerana sebelum ini dia terlampau menfokuskan kepada menolong golongan atasan bukan rakyat biasa yang hidup melarat.

Maafkan hambamu yang hina ini, Ya Allah.

Semoga ada sirna untuknya berbakti menolong golongan rakyat biasa pula. Itu fokusnya kini!

Hikayat Mawar BerduriWhere stories live. Discover now