Halaman 4 : Parah

161 22 1
                                    

Pagi itu seperti biasa, setelah bersarapan bersama ayahanda, Mawar akan ke rumah Dang Suria untuk bekerja.

Dia dan Orkid mengambil upah menjahit di sana. Juga terdapat beberapa anak dara dan ibu tunggal turut bekerja di situ.

Siapa tak kenal Dang Suria? Pembekal dan penjual pakaian yang terkenal di negeri itu. Sebut sahaja dari baju senipis kulit bawang hingga ke baju mahal diperbuat dari sutera. Ada dijual di situ.

"Hati-hati Gerimis, Purnama! Tanah agak becak!" Mawar lembut menasihati dua anak kecil yang riang berkejaran.

"Baik kakak cantik!" Mata bulat itu bersinar memandang wajah Mawar.

"Ada sahaja mereka berdua ini." Orkid tersenyum simpul. Mawar hanya tertawa kecil mendengar ulah anak kecil itu.

Dari jauh kelihatan dua lot kedai yang lusuh catnya. Di situlah kedai pakaian Dang Mawar. Masyurnya kedai itu, hinggakan perdagang dari jauh datang untuk membeli kain dan pakaian di situ.

"Kak Mawar! Kak Orkid!"

Langkah gadis berdua itu terhenti. Mereka menoleh melihat gerangan yang memanggil.

"Gerimis melihat ada tangan orang di belakang semak samun sana!" Suara kecil itu memberitahu lantang.

"Iya, Purnama juga melihatnya sama." Budak lelaki itu menyorok di belakang kekandanya.

Mata mereka berdua membulat dek kerana terkejut.

"Ayuh kita ke sana sekarang!"

Lantas kedua orang gadis itu pun bergegas ke semak samun berhampiran. Gerangan siapa yang mungkin berada di situ?

🌟🌟🌟🌟

Bidan Leha keluar dari bilik kecil itu. Bergegas Mawar dan Orkid berpergian kepadanya.

"Bagaimana bidan Leha? Apakah Melati baik-baik sahaja?"

Bidan Leha tersenyum hambar seraya melabuhkan duduk.

"Duduk dahulu, nak. Ada perkara yang aku mahu beritahu pada kamu berdua, sahabatnya."

Tidak membuang masa, gadis berdua itu lantas duduk bersimpuh.

Senja datang menatang dulang berisi dua cawan teh dan biskut kering.

"Jemput minum kak Mawar, Kak Orkid." Gadis itu tersenyum lalu berlalu ke dapur.

"Ah, susah-susah saja."

"Tetamu harus diraikan. Apa susahnya, nak oi."

Bidan Leha tersenyum. Terlihat riak keletihan di wajahnya. Mungkin sehari suntuk, orang tua ini mengubat orang hari ini.

"Berbalik pada sahabatmu.. Darah yang mengalir aku berjaya hentikan."

Bidan Leha menghela nafas berat. Sepertinya ada sesuatu menganggu fikirannya saat ini.

"Terdapat luka kecil dan lebam yang terdapat di seluruh badan dan wajahnya. Syukur tiada yang terlalu serius."

Mawar dan Orkid terlopong. Tidak percaya dengan apa yang didengari.

"Kita berdua lihat hanya pada wajahnya. Pada tubuh badannya juga?"

Oh, kasihan sungguh kau, Melati!

"Iya, nak. Aku rasa yang luka dan lebam itu sudah lama. Kamu berdua tahu perihal ini?"

"Tidak, bidan Leha. Dia sudah tidak sering bersama kami. Dia bilang Berahim tidak izinkan dia keluar selain membeli barang di kedai Ah Tong."

Perempuan tua itu mengangguk kecil. Matanya terpaku pada pokok kelapa yang melambai-lambai ditiup angin.

"Boleh Mawar tahu, apakah punca Melati mengalami pendarahan teruk ?"

"Oh, aku hampir terlupa soal itu. Dia mengalami keguguran."

"Apa!!" Serentak gadis berdua itu mendadak bangun.

"Tergamaknya Berahim perlakukan begini kepada isterinya. Secara kasarnya, dia nampak seperti pemuda yang baik." Bidan Leha menggeleng perlahan.

"Mawar dan Orkid mahu ke rumah penghulu Kassim. Bolehkah kami meninggalkan Melati di bawah penjagaan Bidan buat sementara?"

"Moleklah begitu. Aku sedia menanti sebarang perkabaran dari anak berdua ya."

Mereka berdua bingkas turun ke tanah.

"Dasar lelaki dayus! Teganya dia menyakiti wanita! Yakni isterinya sendiri!" Orkid menghambur marah.

Habis kesekian batu-batu kecil di jalan ditendang kuat oleh gadis itu.

Mawar tersenyum hambar.

"Jangan menilai rupa paras, sebaiknya lihatlah pada hati."

Mereka melajukan langkah ke rumah Penghulu kassim. Keadilan perlu ditegakkan. Jika bukan mereka menemukan Melati tadi pagi, mungkin sahabat mereka itu sudah kembali menghadap illahi.

Syukur Allah masih memanjangkan umurmu, Melati!
Cukuplah aku berdiam diri, kita juga punya hak untuk mempertahankan hak kita.

Bukannya hanya membiarkan diri dipijak umpama kain lusuh yang tidak berguna?

Mawar dan Orkid beriringan memasuki perkarangan rumah penghulu.

"Assalamualaikum. Tok..."

"Tok..."

Pintu kayu dibuka perlahan.

"Waalaikumsalam. Oh, Mawar dan Orkid. Mari masuk."

"Senah! Buatkan air. Kita ada tetamu!"

Lelaki separuh abad itu bersahaja dengan baju pagoda putih dan berpelekat.

"Baik bang!"Sayup suara wanita di dapur kedengaran.

"Ya Allah, Jamal, Daud...Mana baju kamu berdua? Sudah, jangan bermain di sini. Pergi main di tanah sana."

"Panas ayah. Baik ayah, kami pergi dahulu!" Dua orang budak lelaki tidak berbaju tangkas berlari turun.

"Bertuah budak ni. Nasib tak bertelanjang bulat macam toyol saja. Haih.."

Omel Penghulu Kassim. Songkoknya dikepala diturunkan diletak atas meja.

Mawar dan Orkid yang melabuhkan duduk tersenyum sesama sendiri. Geli hati melihat telatah anak penghulu itu.

"Apa hasrat kamu berdua ke mari? Sepertinya ada perkara mustahak, bukan?"

Hikayat Mawar BerduriWhere stories live. Discover now