Halaman 12: Kenangan Silam

128 18 0
                                    

Menuai padi antara masak..
Esok jangan layu-layuan..
Intai kami antara masak..
Esok jangan layu-layuan..

Anak cina memasang lukah..
Lukah dipasang di tanjung jati..
Di dalam hati tidak ku lupa..
Bagaikan rambut bersimpul mati..

"Ibu..."

Nyanyian merdunya terhenti. Lengannya terasa dicuit sedikit. Wajah anak terunanya ditenung penuh kasih.

"Makin tampan anak ibu ini ya.."

Lelaki itu tersenyum lalu menggeleng. Sudah terbiasa dengan ulah wanita separuh abad itu.

"Mari makan ibu.."

"T-tapi ibu mahu menunggu ayahmu di sini. Sudah tiga hari dia tidak pulang dari laut. Ibu risau.."

Dia menatang dulang dan perlahan menghampiri ibunya yang ralit memerhati laut dengan penuh harapan.

Sesekali angin laut menyapa pipi. Membuai rambutnya paras bahu. Hatinya sedikit tenang melihat suasana matahari terbit itu.

"Makan ibu."

Dia menggaul nasi panas dengan ikan goreng dan juga sayur labu agar sekata sebelum menyuapi ibunya yang melayan perasaan.

Wanita separuh abad itu berambut paras bahu sedikit menggerbang dengan sedikit comot pada wajahnya. Selipar buruknya tersadai di tepi bangsal dan satu lagi di bawah bangsal.

Meski ibunya itu kurang sihat, namun kasih sayangnya tetap tidak berkurang. Wanita itulah yang membesarkannya dari sekecil tapak tangan sehingga besar seperti bapak budak.

Mana mungkin dia lupa semua itu?

⭐️⭐️⭐️
Awan putih bergumpal indah. Sinar mentari memancar terik, seakan mengerah dengan sekuat tenaga. Petang itu masih tiada tanda hujan turun.

Orkid mengeluh perlahan. Kain berbunga milik pelanggan ditenung.

"Panas sungguh hari ini. Tak bersemangat hendak menjahit."

Mawar tersenyum. Dia sedang tekun menyulam manik di bahagian leher baju. Harus teliti dan kemas, maklumlah milik orang kaya Tun Fatima, anak bendahara.

"Mawar, kau tidak panaskah?" Surat khabar dicapai kasar dan dikibas-kibas.

Hairan dia melihat Mawar yang kelihatan tenang menyulam manik tanpa merungut.

"Panas atau hujan itu nikmat Tuhan, Orkid. Kalau panas, cepat keringlah baju di ampaian. Kalau hujan, bergembiralah tumbuh-tumbuhan dengan kesejukan alam semulajadi."

Orkid mengangguk lemah. Belakang bajunya basah dek peluh. Atap yang diperbuat dari zinc dipandang sepi.

Perlukah aku mengadu pada tuan punya kedai, supaya mengubah bumbungnya?

"Aku mahu Engku tukar bumbung kepada daun nipah. Panas betul cuaca. Kerjaku banyak tergendala ini."

Dia memandang longgokan kain yang bersepah di atas meja kayum semua itu ingin dibuat baju kurung. Nafsu untuk memotong kain terbantut.

"Apa kau kata Orkid? Tukar atap zinc kepada nipah?" Seorang wanita tinggi lampai, berkebaya datang menghampiri dengan kain ela penuh di tangan.

Dia menghambur tawa. Kain ela disusun kemas di tepi meja kayu.

"Boleh saja. Tapi kalau terbang dek ditiup angin, nescaya akan terbang. Mahukah kau mengejarnya?" Gurau Engku tuan pemilik kedai kain itu.

Gurauan itu disambut dengan gelak tawa mereka. Orkid menggaru kepala yang tidak gatal.

Iya tak iya juga. Nipah, kalau ditiup angin nescaya akan terbang. Habislah mereka tidak berbumbung nanti!

"Aku mengerti sekarang cuaca panas kan? Siapkan kerja, selepas ini aku belanja air kelapa dingin di warung Wak."

Mawar, Orkid dan tiga orang gadis yang lain tersenyum berpandangan sama sendiri.

"Terima kasih mak incik!" Ujar mereka serentak dengan hilaian tawa.

Engku merupakan majikan yang baik dan pemurah. Selalu tidak lokek dengan pekerjanya. Kerana itulah semua pekerjanya berdedikasi dan rajin belaka.

"Ah, kalian ingat ini wayang gambar P Ramlee yang terkenal itukah? Ada-ada saja."

Wanita anggun itu tersenyum. Terhibur dengan ulah pekerjanya.

"Engku, dengarnya cerita Pendekar Bujang Lapok sudah terbit." Beritahu seorang gadis yang tekun mengukur kain di badan patung.

Engku membulatkan mata.

"Biar benar, Embun? Ah, jika begitu, hujung minggu ini aku ingin bawa kamu semua ke lapangan."

Mawar dan Orkid membulatkan mata. Terkejut dengan pelawaan wanita itu.

"Terbaik, Engku. Kami sayaaang Engku." Celah Orkid kuat.

Ketawa bergema lagi. Suasana ceria menyelubungi rumah kedai pakaian termashur itu.

Hikayat Mawar BerduriWhere stories live. Discover now