Halaman 11: Kenangan

125 20 0
                                    

"Maafkan aku Melati. Aku dayus kerana memukulmu. Aku telah membunuh anakandaku sendiri. Ampunkan aku, Melati."

"Aku yang bersalah, kanda. Hukumlah aku!"

"Tidak, Melati. Aku tahu aku merupakan lelaki pilihan ayahandamu. Mungkin aku tidak mampu memberimu kebahagiaan. Biarlah aku pergi membawa diri."

"Jangan pergi kanda!"

"Jangan tinggalkan dinda!"

"Melati!"

Air mata diseka perlahan. Bibirnya mengukir senyuman lesu.

"Assalamualaikum, Melati."

Orkid menongkat basikalnya berdekatan pasu bunga. Mawar tergaru-garu kepala di sisinya.

Lupa pula hendak memberi salam. Maklumlah, teruja mahu melawat sahabat.

"Apa khabarmu?"

"Alhamdulillah aku baik-baik sahaja."

"Eh, mahu ke mana?" Soal Mawar.

"Mahu ke dapur, sediakan air."

"Tak usah. Kami ada bawa nasi lemak daun pisang sama air teh susu. Mana Orkid?"

Mawar menjongket kening memandang orkid yang terpinga-pinga.

"Ah, tertinggal di dalam bakul basikalku. Sebentar ya."

Mawar menggeleng perlahan. Boleh pula terlupa.

"Bagaimana keadaanmu? Sudah pulih sepenuhnya?" Soal gadis berselendang itu.

Melati mengorak senyum.

"Aku beginilah, Mawar. Sudah beransur pulih namun sekali sekala masih ingat akan peristiwa lalu." Matanya redup merenung pohon mangga yang terbuai ditiup angin.

"Ha, mari makan." Orkid yang baru tiba bersuara. Dia membuka Tikar mengkuang dan duduk di atasnya.

Bungkusan nasi lemak dibuka perlahan. Harum baunya menerpa rongga hidung mereka. Perut Melati yang tadinya sebu sekelip mata terasa lapar.

"Bismillah..." Mereka bertiga makan tanpa suara. Masing-masing melayan perasaan.

"Eh, kau menangis?"

Air teh susu dituang ke dalam cawan. Asap berkepul-kepul naik ke udara.

"Tidaklah. Mataku masuk habuk." Dalih Melati. Terharu akan keprihatinan dua sahabatnya itu.

Gadis berdua berpandangan dan tersenyum.

"Maafkan aku ya. Banyak menyusahkan kalian berdua. Hari esok, kalian pergi sahajalah kerja ya. Usah singgah di sini lagi. Pandailah aku menjaga diri."

Dia menyuap nasi berbau harum itu ke dalam mulut. Sedap sekali. Siapa tidak kenal nasi lemak daun pisang ibu Orkid.

Sungguh lazat! Terkenal hingga ke istana. Bahkan sultan sendiri menempahnya hampir setiap pagi untuk santapannya.

Bahunya dipaut lembut. Melati menoleh.

"Kau sahabat kami. Tentunya hati ini sering bergalau risau akan kesihatan dan keadaanmu."

Melati tersenyum. Dia meneguk air teh susu yang sudah suam-suam kuku.

"Apa kalian ada mendengar khabar dari suamiku?"

Kedua gadis itu menggeleng.

"Sudah ku kirim surat padanya, namun tidak dibalasnya hingga kini."

"Mungkin dia sibuk barangkali." Orkid menjawab perlahan. Dia mengerling Mawar yang sedang mengutip cawan serta bokor berisi sisa nasi lemak tadi.

Mawar cuma mengangkat bahu. Terbit rasa pilu melihat sahabatnya sebegitu. Dari seorang yang periang menjadi sugul begitu.

"Mari tinggal bersamaku, Melati. Aku runsing benar melihat keadaanmu. Badanmu kurus melidi, pipimu yang gebu menjadi cenkung."

"Tidak mengapa, Mawar. Nanti apa pula kata ayahandamu." Melati menolak. Dia lebih selesa di rumahnya sendiri.

Terlalu banyak kenangannya bersama Berahim di sini.

"Ayahandaku akan berangkat ke negeri seberang atas urusan mengiring sultan malam ini. Jadi aku keseorangan selama beberapa minggu mendatang. Ayahanda telah mengizinkan kau menginap di rumahku." Terang Mawar panjang lebar.

"Jika begitu...baiklah. Aku ke dalam mengemas bajuku ya." Melati akur. Serba salah jika dia menolak pelawaan sahabatnya itu.

"Aku yakin dia akan kembali seperti dahulu. Dia cuma perlukan waktu." Mawar mendesis perlahan menghantar langkah sahabatnya dengan ekor mata.

Orkid mengangguk cuma. Dia juga berharap begitu.

Hikayat Mawar BerduriWhere stories live. Discover now