Halaman 6: Kecoh

142 21 0
                                    

"Mawar!"

"Mawar, keluar kau sekarang!"

Pintu kayu dibuka dari dalam. Seorang lelaki separuh abad keluar dengan waspada.

Siapalah yang membuat onar pagi-pagi begini?

"Mengapa kecoh-kecoh ini?" Soalnya dengan tenang. Wajah figura di hadapannya dia tenung satu persatu.

"Di mana anakmu, Temenggung Ali? Aku mahu bersua muka dengannya!"

Lelaki itu tampak penuh amarah. Dia mengepal tangannya sambil menjengah-jengah rumah milik bangsawan itu.

"Apa hajat kau mencari Mawar?"

Pemuda itu membalas tajam renungan mata Temenggung Ali.

"Aku mahukan Melati! Aku tahu dia ada di dalam."

Temenggung Ali menghela nafas berat. Sudah dia duga lelaki ini bakal ke sini. Lagipula, Mawar amat akrab dengan Melati. Sudah tentu rumahnya, menjadi sasaran lelaki ini.

Seperti hari ini.

Saat ini.

"Isterimu tiada di rumahku. Carilah dia di tempat lain." Lelaki berkain pelekat itu membalas tenang. Malah dia kelihatan asyik menikmati rokok daunnya.

"Ah! Temenggung bohong! Aku yakin isteriku ada di dalam. Siapa lagi yang akan membantunya lari dariku selain dari anakmu itu?"

Asap berkepul-kepul naik ke udara. Temenggung Ali hanya menyungging senyum.

"Aku berkata benar. Jika kau tidak percaya, silakan naik. Periksa dengan mata kasarmu sendiri."

Pemuda itu tercengang sebentar. Biar benar?

"Boleh aku naik?"

"Iya, silakan."

Dia pun naik dengan lagaknya, matanya ditajamkan di seluruh ruang tamu itu.

Ruang tamu itu tampak lapang. Hanya ada sehampar tikar, kipas angin dan meja beserta sebiji radio buruk.

Dia menapak ke kamar pertama, yang tidak berpintu, hanya ditutup dengan kain.

Dia merengus kasar. Mulutnya mengumat kamit beberapa butir kata yang tidak difahami.

"Bagaimana Berahim? Ada isterimu di dalam?"

"Urmp, tiada!"

Berahim merengus kasar. Lelaki separuh abad itu benar. Tiada kelibat isterinya di situ.

"Aku tidak mengerti, Berahim. Kamu yang aku kenal tidak sebaran sebegini."

Pemuda itu cuma bungkam berdiri tegak seperti tugu di halaman.

"Kau seorang pemuda yang baik budi pekerti. Ringan tulang membantu semua orang kampung dalam kesusahan."

Temenggung Ali perlahan menghampiri anak muda itu. Dia tahu anak muda itu sedang berkecamuk.

Emosi mengatasi segalanya.

"Boleh kau cerita padaku? Apa yang mendorongmu begini?"

Pemuda itu menoleh dan menghela nafas berat.

"Maafkan aku berkasar denganmu, temenggung. Kau sudah kuanggap seperti ayahandaku sendiri."

Bahu pemuda itu ditepuk lembut.

"Tidak mengapa. Aku juga pernah berdarah muda. Aku mengerti. Ayuh, ceritalah. Mungkin ada yang kusut boleh dileraikan?"

Pemuda itu kelihatan teragak-agak. Kemarahannya juga kelihatan mulai reda.

Temenggung Ali tersenyum. Bak kata orang, Api harus dilawan dengan air. Barulah api yang marak, akan reda perlahan.

"Tidak mengapa, Berahim. Anggap sahaja kau sedang bercerita masalahmu dengan ayahandamu."

Pemuda itu mengangguk perlahan.

"Sebenarnya begini...."

Hikayat Mawar BerduriWhere stories live. Discover now