Halaman 15 : Pertalian darah

113 13 0
                                    

"Darma!"

"Eh Pak Akob!"

"Mari singgah dahulu! Pak Akob ada simpankan nasi bungkus ikan termenung pada kamu dan ibu kamu. Mari!"

"Tapi saya busuk Pak Akob! Bau ikan! Biar saya pulang mandi dahulu! Nanti saya datang balik!"

"Eh kamu ni. Pak Akob pun busuk seharian memasak di gerai ni! Mari! Kamu tentu lapar tu!"

Darma hanya tersengih meletakkan bekas ais berisi ikan di sudut gerai dan berlalu ke labu sayung berisi air untuk membasuh tangannya yang hanyir.

" Banyak ikan terjual hari ini?" Pak Akob meletakkan sepinggan mee goreng berasap dan segelas besar air sirap atas meja.

"Alhamdulillah. Habis semuanya. Rezeki hari ni barangkali."

Lelaki beruban itu mengangguk mendengar jawapan pemuda itu.

" Pak Akob hendak cakap sedikit tentang Mak Senah kamu. Jangan kisah sangat ya dengan mulut janda itu."

"Kalau ikut hati aku, aku sudah ganyang mulut perempuan tua itu dengan lesung batu aku tu ha."

"Sedap mulut dia sahaja mengata ibu kamu gila, tak waras. Yang dia itu, mengumpat, mengata sana sini, habis semua kain penduduk kampung mahu diselaknya. Pak Akob rasa dia yang tak betul!"

Darma yang sedang mengunyah mee tersedak sebelum mencicip air sirap.
Dia tersenyum nipis.

"Tak ada apalah, Pak Akob. Saya okay saja."

Pak Akob mengepal penumbuk dengan wajah tidak puas hatinya.

"Pak Akob rasa dia buat begitu sebab kamu menolak cadangannya bawa ibu kamu berubat dengan sepupunya di kampung sebelah."

Darma yang baru sahaja menyelesaikan suapan terakhirnya bangun untuk mencuci tangan di bekas air berdekatan.

"Saya sudah agak juga tu. Biarlah. Mulut orang kita tak boleh tutup, Pak Akob. Nanti lama-lama senyaplah mulut dia tu."

"Hish, baik betul kamu ni, Darma. Kalau aku memang dah bagi sedas penumbuk pada makcik kepoh itu!" Leman yang sedang ngeteh di meja sebelah menyampuk.

"Hish, bayar mak kita itu, Man. Mana boleh main kasar." Shahrul yang berambut kerinting membalas.

"Ah, kisah apa aku. Sebaya nenek aku pun, akan aku tumbuk jika mulut sebegitu jahanam!" Leman menjerit marah.

Satu gerai Pak Akob menghamburkan tawa mendengar ulah Leman tadi. Penuh emosi sungguh pemuda ini.

"Terima kasih ya, Pak Akob. Susah-susah simpan nasi bungkus untuk kami 2 beranak."

Lelaki berkopiah itu tersenyum sambil menepuk bahu anak muda itu.

"Tak ada apalah. Pak Akob sedekah saja ya."

"Eh, jangan begitu! Ambik 50 sen ini, Pak Akob! Segan saya!"

Sekeping syiling itu diletakkan juga di telapak tangan lelaki separuh abad itu.

"Hishh kamu ini. Aku ikhlas."

Darma tersenyum sebelum menapak keluar dari gerai.

"Jangan begitu. Bankrap Pak Akob nanti!"

Lelaki beruban itu membuka kopiahnya, menggaru kepalanya dan ketawa kecil.

" Tak adanya bankrap jika kita ikhlas Darma oi! Rezeki lagi bertambah adalah!"

Darma tersengih sambil meminta diri untuk pulang. Dia memandang bungkusan surat khabar di tangan. Ibu suka nasi berlauk. Mesti ibu akan berselera nanti!

Dia tersenyum dan menapak makin laju untuk pulang ke rumah buruknya.

Hikayat Mawar BerduriWhere stories live. Discover now