Kehilangan

60 5 0
                                    

Seluruh istana kecoh dengan berita kehilangan putera Andika. Sultan amat murka semurka-mukanya. Habis semua hulubalang yang berjaga pada malam tadi, dipecat serta merta.

"Anakanda beta!!"

Permasuri Kesuma sudah terjelepok di lantai meraung. Beberapa orang dayang menenangkan baginda permaisuri.

"Ali! Titahkan semua pengawal untuk pergi mencari anakanda beta! Jika tidak jumpa dalam tempoh 24 jam, beta pecat semua pengawal yang ada sekarang!"

Merah padam wajah Sultan Pasha pada ketika itu. Hatinya remuk seperti dihempap batu besar. Mana tidaknya, satu-satunya anakanda hilang di tempat beradu!

Manakala di satu sudut, disebalik dinding, seseorang kelihatan tersenyum sinis melihat suasana hiruk pikuk itu.

"Padan muka! Baru kau tahu perasaan aku ketika hilang anakandaku dahulu. Semua yang berlaku ini kerana salahmu juga, Kesuma!"

❤️🧡💛💚

"Tolonglah aku, Linda!"

"Aku tak boleh janji, Hasmah!"

"Kau sanggup melihat anak tak bersalah ini dibunuh?"

"Tapi kau lihatlah keadaanku ini."

Haslinda sedang menghayun buaian anaknya, Aman yang berusia setahun yang nyenyak tidur. Sesekali dia menggosok perut buncitnya yang sudah kelihatan itu.

Di luar kelihatan Ali, Azfan, Afwa sedang bermain bola di halaman. Di sudut pondok buruk itu juga kelihatan Afiya, Alya, Amina, Asifa sedang bermain masak-masak.

Berhampiran mereka pula kelihatan Adam, Adi, Adna sedang mengulangkaji pelajaran.

"Anak aku ramai, rumah aku pula buruk. Kami makan pun bercatu. Takkan kau mahu aku jaga anak ini? Dia sepatutnya dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan kemewahan. Tempatnya bukan di sini."

Haslinda menghela nafas panjang. Anaknya sendiri pun ramai. Bagaimana mahu menjaga bayi malang itu pula?

"Kau bagilah pada orang lain yang hidupnya lebih elok dari aku."

Hasmah mengeluh. Pandangannya diterbarkan pada jendela yang terbuka luas. Bunyi hempasan ombak sesekali kedengaran di halwa telinga.

Sementelah pondok buruk itu terletak tidak jauh dari pantai.

"Masalahnya, aku tak jumpa orang lain yang sesuai selain kau."

"Aku? Ya Allah, Mah.. Kan aku dah kata. Sudahlah anak aku ramai, tinggal pula di pondok buruk. Makanan kami anak beranak, kadang-kadang nasi berlaukkan garam sajalah. Kesian pada budak inilah!"

"Lahirnya dalam sudu emas, takkan mahu dibesarkan dalam sudu tembaga pula?"

Hasmah hanya menongkat dagu. Dia buntu.

"Apa kata kau sendiri yang menjaganya, Mah? Kau kan tak ada anak?"

Berkerut riak muka Hasmah mendengarnya.

"Bukan aku tak mau, Linda. Kau tahu kan Abang Hasyim kau tu tak suka budak? Macam mana diherdiknya anak-anak kau tempoh hari, kau lupa?"

Haslinda terdiam. Betul juga kata kakaknya itu.

"Jadi bagaimana ini?"

"Sudah kau tak mahu. Aku letak budak ini di tepi jalanlah rasanya."

Haslinda melopong. Kakaknya ini sudah hilang akalkah?

"Kau gila! Kasihan budak ini! Baru bayi, tidak mengerti apa-apa! Tidak apalah. Bak sini biar aku yang jaga!" Haslinda akhirnya mengalah jua.

Wajah bayi comel itu dicuit. Mungkin ada hikmah kedatangan si kecil itu dalam keluarga besarnya.

"Namanya siapa, Mah?"

"Adiwarna Andika. Tapi lebih elok kau beri nama lain. Aku bimbang akan keselamatannya."

"Darma?"

"Terserahlah. Dia sudah menjadi anakmu sekarang."

Wajah merah bayi itu ditatap penuh kasih sayang. Jangan risau, Darma. Ibu akan menyayangimu sama seperti yang lain ya?

Ibu janji.

Hikayat Mawar BerduriWhere stories live. Discover now