36.

1K 43 0
                                    

Katil itu ditolak laju memasuki kawasan kecemasan hospital sebaik dibawa turun dari ambulan. Ivan di sisi erat memegang tangan sejuk Hayra yang sesekali menarik nafas dalam keadaan tercungap-cungap.

"Be strong, Medina."

"Encik tunggu sini." Sebaik sampai di hadapan bilik rawatan rapi, Ivan dihentikan daripada terus melangkah. Tidak mahu ada orang asing yang turut memasuki bilik itu.

Badannya perlahan-lahan terduduk lemah di tepi dinding itu. Kakinya yang lemah sejak tadi ditarik rapat ke dada. Tangannya yang penuh dengan lemuran darah gadis itu dibawa menutup muka. Esakannya terlepas sedikit demi sedikit.

"Argh!" Ivan menjerit marah. Tangannya naik memukul mukanya sendiri. Satu tangan menahan tangannya daripada terus memukul. Ivan mendongak memandang gerangan itu.

"Danial..." Tadi ketika berada di dalam ambulan, dia sempat menelefon lelaki ini memberitahu tentang apa yang berlaku. Dia perlukan seseorang, dan dia terfikir Danial dahulu.

"Aku cuai! Cuai!" Sambil tangan setia mengerjakan dirinya, dia menyalahkan diri sendiri. Kecuaiannya telah menyebabkan gadis itu terlantar lemah di katil hospital. Kecuaiannya telah membawa kecederaan besar pada gadis itu.

"Kalaulah aku pandang ke sana, kalaulah aku nampak kereta tu.." rintihnya lemah. Air mata sudah mengalir deras di pipi. Tangannya terketar-ketar menangisi nasib yang sering menimpa mereka.

Kemalangan, memang satu hal wajibkah ketika mereka bersama?

"Encik suami patient tadi ke?" Satu suara lembut membawanya berbalik kepada realiti.

"Saya abang dia, kenapa?" Danial menjawab memandangkan rakannya yang seorang itu tidak begitu waras.

"Encik boleh pergi isi borang admission kat depan tu. Patient tadi kena buat operation," jelas suara itu lagi.

Muka Ivan diangkat menatap kosong wajah itu. Kekaburan dek air mata tadi dilap seketika sebelum pandangan dialih kepada jururawat itu semula, "Kenapa dengan dia?"

"Saya tak pasti, nanti doktor akan bagitahu ya?" Kata jururawat itu sebelum kembali masuk ke dalam bilik rawatan.

Lampu yang diletakkan di atas bilik itu diperhati. Merah.

Terasa air mata kembali berkumpul di tubir mata. Cepat-cepat dikesatnya sebelum bangun dengan bantuan kerusi di sebelahnya. Masih terasa getaran hebat pada kakinya yang lemah.

"Kau duduk sini, aku pergi isi," kata Danial sambil mendudukkan lelaki itu pada kerusi berdekatan. Lemah benar rakannya ini apabila nyawa isterinya tergadai.

Ivan meraup wajahnya kasar, "Bangun cepat, Medina."

- - -

Usai mengisi borang dan membuat pembayaran, Danial kembali meneman Ivan yang setia duduk di tempat tadi. Bukan lagi lantai putih itu.

Ivan memerhati darah yang sudah kering pada tangannya. Wajah Hayra yang penuh lumuran darah tadi melintas fikiran. Mata terkatup rapat, tidak mampu mencerna situasi sekarang. Tahun lepas juga mereka sama-sama terlantar begini.

Sakit yang dia rasakan tahun lepas adalah sakit yang berganda daripada sekarang. Khabar bahawa Hayra sudah meninggal dunia sampaikan dia tidak langsung bertemu dengan ibu bapa Hayra. Mungkin mereka marahkan dirinya kerana tidak menjaga anak gadis mereka dengan baik.

Ivan sendiri menyalahkan dirinya kerana membawa Hayra keluar hari itu. Dia tidak sepatutnya memandu kereta pada hari itu. Dia tidak sepatutnya cuai ketika bergelak ketawa dengan Hayra pada hari itu.

Percaturan Paling Sempurna | ✓حيث تعيش القصص. اكتشف الآن