49.

1.4K 45 4
                                    

Majlis tahlil berlangsung dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Hayra juga dapat membacakan surah Yaasin buat suaminya tanpa sebarang air mata yang mengalir di pipi.

Sebagai penghormatan terakhir buat Syed Ivan Adriyan, dia tegah kesedihan daripada terus menghuninya. Itu juga permintaan terakhir lelaki itu, supaya dia tidak bersedih ke atas pemergiannya.

Gadis yang setia di sisinya sedari tadi datang membawa sebuah dulang di tangannya. Dulang itu berisi segelas air kosong dan sepinggan nasi berlaukkan gulai kambing. Mungkin ingin menghantar makanan kepada sesiapa yang berada di hadapan.

Gadis itu meletakkan dulang itu di atas meja makan berdekatan lalu berdiri statik di hadapan Hayra. Satu senyuman kecil diberikan apabila Hayra mendongak memandangnya, "Jom makan."

"Kau bawa makanan tu untuk aku?" Soal Hayra pelik. Soalan yang sudah terang lagi bersuluh jawapannya, tetapi dia tetap bertanya. Mana tahu sekiranya itu untuk orang lain, gadis ini saja bertanya lebih.

Dia mengangguk mengiyakan, "Aku tahu kau tak makan lagi dari pagi tadi."

Memang dia bawa dulang makanan itu untuk Hayra kerana dia tahu Hayra langsung tidak menjamah apa-apa sejak pagi. Tiada siapa yang mencuba kerana semua orang tahu keadaannya yang kemungkinan besar tidak mahu makan.

"Aku tak sedar pun yang aku tak makan dari pagi," kata Hayra sambil ketawa kecil. Dia cuba mengawal riak supaya bersahaja kerana tidak mahu larut dalam kesedihan.

Gadis yang ingin mencapai dulang itu, ditahan, "Thanks, Danisha. Tapi aku tak lapar."

Danisha merengus. Dia fikirkan rancangannya untuk membuatkan Hayra makan sudah berjaya, tetapi tanggapannya meleset. Gadis itu masih mahu membiarkan perutnya kosong dan kelaparan.

"Kau kena makan, Hayra." Liyana yang baru sampai turut memaksa rakannya. Dia faham akan perasaan Hayra yang baru kehilangan suaminya, tetapi tidak wajar dia biarkan dirinya kelaparan.

"Ad mesti nak kau makan sekarang," kata Liyana lagi. Cuba memujuk rakannya dengan menggunakan nama Ivan. Sepupunya itu sangat menyayanyi isterinya, jadi mesti dia mahu Hayra makan dan bertenaga.

Air mata Hayra mula bertakung di tubir mata. Adegan hari terakhir mereka semalam terlayar di minda. Ivan tidak mahu menjamah makanan hospital yang sudah sampai kerana Hayra belum makan.

Demi Ivan, Hayra mengangguk. Setuju untuk menjamah makanan walaupun dia tiada selera untuk menjamah apa-apa bentuk makanan.

Danisha tersenyum lalu mengambil dulang yang diletakkan di atas meja tadi. Pinggan berisi nasi itu diambil dan diletakkan di atas kedua tangan Hayra.

Liyana sudah berlalu ke hadapan apabila Hayy memanggil. Barangkali untuk mengemas bahagian hadapan rumah yang beransur kosong ataupun inginkan apa-apa dari pihak hadirin lelaki.

Danisha menyentuh tangan mulus itu lalu mengusapnya perlahan, "Aku mintak maaf, Dina. Aku banyak salah pada kau, pada Adriyan."

Segunung tinggi rasa bersalahnya terhadap Ivan dan Hayra. Bukan sedikit kejahatan yang telah dia lakukan terhadap mereka. Dia sudah menjadi punca keretakan rumahtangga mereka. Dia menjadi punca mereka hampir bercerai.

Dia mengambil masa empat bulan untuk menyedari salahnya itu. Itu pun kerana abangnya sentiasa ingatkannya tentang khilaf itu satu persatu. Bila dia sedar, bila dia ingin meminta keampunan, dia dapat berita tentang pemergian Ivan.

Tidak sempat untuk dia memohon maaf daripada lelaki itu. Kini dia hanya ada peluang untuk meminta ampun pada Hayra.

Hayra tersenyum, "Aku dah lama maafkan kau."

Percaturan Paling Sempurna | ✓Where stories live. Discover now