BAB 52

354 8 0
                                    

SUASANA malam di kampong membuat Yusof Amysar merasa tenang. Dia duduk di dalam pondok yang terletak di depan rumah orang tua Ayra. Lega hatinya setelah menelefon Puan Yasmin. Harap-harap agendanya berjaya. Kini hanya yang tinggal orang tua Ayra. Orang tua Ayra mungkin akan terkejut akan berita yang akan dia sampaikan nanti. Ayra sendiri belum mengetahui tujuannya yang sebenar ikut pulang ke kampong itu. Hatinya kembali resah. Angin lembut yang berhembus tak mampu lagi menenangkan si hati. Bagaimana jika dia gagal? Gagal memiliki Ayra?

Serabut! Antara Cinta dan Benci itu yang dirasakannya sekarang. Keliru. Mana satu ku jadi keliru aku makin keliru. Fuh! Lagu Nurul dan Ajay pula yang muncul. Rambut panjang separa bahu itu diraup ke belakang.

"Ehem..Dah macam iklan Shampoo rambut pak cik tengok kamu ni Am." Suara Tuan Ahmad memecah kesunyian. Terhenjut bahu Yusof disapa begitu. Ingatkan hantu tadi.

Yusof tersedar dari lamunan lalu tersengih-sengih. "Iklan Shampoo pula ya pak cik ahaha." Kelakar juga abah Ayra ni.

Tuan Ahmad duduk di sebelah Yusof. Dari tadi lagi dia mengintip Yusof Amsyar. Ditengoknya budak tampan itu lama. "Kamu ada masalah ya? Pak cik tengok kamu ni sekejap senyum, sekejap lagi mengeluh, sekejap lagi berkerut-kerut." Tanya Tuan Ahmad lembut.

Yusof sedikit tersentak. Nampak sangat ke muka aku muka yang sedang menghadapi masalah? Mungkin ini masanya aku berterus terang dengan pak cik. "Memang ada masalah pak cik. Saya sebenarnya....ermmm.." tersekat-sekat suaranya. Waktu begini pula kerongkong terasa kering.

"Ceritalah. Tak payah malu-malu. Anggap je pak cik ni seperti ayah kamu."

"Saya sebenarnya nak melamar Ayra pak cik." Laju sahaja Yusof menutur kata-katanya. Hanya dengan sekali lafaz saja. Kalau mengucapkan ijab qabul nikah dah confirm sah dah. Yusof mengeluh panjang.

Tuan Ahmad merenung ke dalam anak mata Yusof. Dia mencari ketulusan dan kebenaran dari kata-kata lelaki itu. Kemudian dia bersuara "Apa yang membuatkan kamu mahu melamar anak pak cik?" Soalnya dengan nada mendatar. Namun riak wajahnya serius. Hal kahwin bukan benda main-main. Ayra bukanlah satu-satunya anak perempuan yang dia ada tapi kasih sayangnya pada Ayra sangat-sangat besar sehingga tak tergambar lagi sebesar mana kasih sayangnya itu. Sebolehnya biarlah Ayra mendapatkan seorang suami yang mempunyai kasih sayang yang sama sepertinya.

Yusof menarik nafas sedalam-dalamnya. "Pak cik, saya tahu ini mungkin kedengaran mendadak dan tergesa-gesa. Tapi saya ingin menjadikan dia sebagai isteri dan teman hidup saya. Saya menerima dia kerana dia Ayra syafinaz Ahmad. Tak kiralah dia berisi atau kurus dia tetap Ayra yang saya kenal tak pernah berubah. Bagi saya dia telah melengkapi hidup saya pak cik. Dia telah menyempurnakan kekurangan yang saya ada. Saya yakin saya juga mampu menyempurnakan kekurangan yang Ayra ada." Panjang lebar Yusof berbicara. Itulah yang dikatakan oleh hatinya. Ya! kata-kata yang jujur. Namun bagaimana pula perasaan yang satu lagi itu? Perasaan marah, benci dan dendam yang masih bersarang di hati? Kusut!

Tuan Ahmad diam. Dia dapat merasakan keikhlasan Yusof. Naluri sebagai seorang bapa dari awal lagi sudah mengatakan Yusof Amsyar adalah orang yang dicarinya selama ini. "Pak cik mengerti. Esok mak cik Ayra akan datang ingin berbincang tentang hasratnya yang ingin menjodohkan anak lelakinya bersama Ayra." Tuan Ahmad tersenyum tawar.

"Ya..saya tahu pak cik. Oleh kerana itu saya datang ke mari menemani Ayra untuk bertemu dengan pak cik dan mak cik." Suara Yusof kedengaran sayu. "Saya mengaku..saya cemburu. Saya takut...takut akan kehilangan Ayra." Tengggelam timbul suaranya meluahkan isi hatinya kepada Tuan Ahmad. Dia mengakui dirinya tidak dapat menanggung perasaan cemburu jika Ayra menyebut tentang 'suami' atau mana-mana lelaki. Dia merasa tercabar, hatinya tak tenang walaupun dirinya tahu ketika itu dia benci pada gadis itu.

"Apa kamu buat jika Ayra menerima pinangan mak cik dia tu?" Soal Tuan Ahmad. Tersungging senyuman dibibirnya.

Hati Yusof berdegup kencang. Soalan Tuan Ahmad membuatkan dadanya senak. Dahinya mula berpeluh. "Ermm..ermm.." Lidahnya kelu. Seksa aku nak jawab soalan ni. Mengalahkan soalan Cambridge. Kata benci. Kalau benci sudah tentu kau tak jadi begini Yusof Amsyar.

"Yusof?" Tuan Ahmad menaikkan keningnya. Dia masih lagi menanti jawapan Yusof.

"Saya akan buat apa saja untuk menghalang itu daripada terjadi." Kata Yusof Amsyar dengan yakin.

Akhirnya Tuan Ahmad ketawa. Ehh apasal pula pak cik ni ketawa? Ada yang lucu? Aku serius ni pak cik! jeritnya didalam hati. Yusof buat muka bengang.

"Dah..kamu jangan risau Yusof. Ayra tak terima pun pinangan mak cik dia tu. Dia belum bersedia lagi. Katanya kalau dia bersedia pun, dia tak akan memilih sepupunya itu jadi suaminya." Terang Tuan Ahmad kepada Yusof.

Yusof menarik nafas lega. "Bagaimana dengan esok pak cik? Apa nanti pihak lelaki cakap?" Kalau Ayra dah tak terima tu tak lah. Kau pun sibuk-sibuk tanya pasal pihak lelaki kenapa? Mereka patut redha dengan keputusan Ayra.

"Memang esok mereka akan datang tapi bukan untuk meminang anak pak cik tapi kami nak buat majlis tahlil kecil-kecilan. Pak cik dah maklumkan hal ini pada pihak lelaki. Mereka tak menyalahkan Ayra dan tak marah pun. Jangan risau makcik, Ayra tu sempoi je orangnya. Tadi tu pak cik saja je nak test bakal menantu abah ni." Belum apa-apa lagi dah bahaskan dirinya sebagai abah. Tuan Ahmad ketawa lagi. "Lepas ni panggil lah pak cik ni abah. Lembut-lembut kan lidah tu." Sambungnya lagi. Bahu Yusof yang tegap itu ditepuk lembut.

Yusof mengusap tengkuknya. Alahai malu-malu lah pula! "Baik abah." Akhirnya dia juga 'join' Tuan Ahmad ketawa.

"Abah harap, kamu dapat jaga anak perempuan abah tu. Selama 20 tahun, abah tak pernah ambik berat tentang Ayra walaupun Ayra tu anak abah. Apa yang abah buat hanya marah, menengking, menyakitkan hatinya saja. Abah bukan ayah yang baik. Baru 3 tahun yang lepas abah mula berbaik dengannya. Abah menyesal...menyesal kerana pilih kasih. Apa yang Ayra buat selalu salah dimata abah. Semuanya menjijikkan, sedangkan dia tak pernah buat apa-apa yang menyakitkan hati abah. Selagi abah masih hidup, abah akan sentiasa memberinya kasih sayang. Abah akan bayar balik hutang kasih sayang abah pada Ayra dulu...abah ingin dia bahagia Yusof. Bahagia.." Airmata Tuan Ahmad yang bertubir dikelopak matanya kini jatuh juga. "Yusof tolong bahagiakan anak abah. Tolong jangan sakiti hatinya. Dia sudah lama menanggung rasa sakitnya. Tolong Yusof." Rayunya.

Yusof tidak langsung menjawab. Tidak juga dia menyoal apa masalah Tuan Ahmad dan Ayra dulu sehingga Ayra tidak diperdulikan dan disisihkan. Apa yang berlegar difikirannya adalah pesanan Tuan Ahmad tadi? Pesanan Tuan Ahmad sungguh membebankan dirinya. Dia memandang wajah tua Tuan Ahmad. Dia turut merasa sedih dan simpati. Kini dia terjerat. Terjerat dengan tindakannya sendiri. Pada awalnya memang dia nak mengahwini Ayra atas dasar ingin membalas dendam tapi bila mendengar nasihat Tuan Ahmad semuanya berubah. Dia jadi keliru lagi. Tidak sampai hati rasanya ingin mengecewakan Tuan Ahmad. Setelah lama berdiam, Yusof pun mengangguk tanda setuju.

Jika sekiranya niatnya itu terbongkar, apakah Tuan Ahmad akan menerimanya sebagai menantu? Apakah dia akan dilayan sebegitu baik? Adakah dia patut hentikan semua rancangannya untuk membalas dendam demi kakaknya, Yusrina Amani? Gila! Kau sudah gila Yusof! Kau sudah terjerat dengan permainanmu sendiri.

Kau sudah mulakan permainanmu Yusof dan itu maknanya kau kena teruskan permainan hingga permainan ini tamat!

Antara Cinta dan Benci by Syafeeqah NorsamOnde as histórias ganham vida. Descobre agora