29

234 22 3
                                    

Kerana kau dari dia

Kereta Aisy mula memasuki perkarangan rumahnya yang kosong. Adam masih belum sampai lagi. Biasanya jika Aisy solat asar di pejabat, Adam akan sampai terlebih dahulu daripada dia.

Keretanya yang sudah terparkir elok di perkarangan rumah, dimatikan enjin. Aisy capai tas tangan dan berura-ura mahu keluar.

Apabila teringat pada bunga tadi, Aisy kembali toleh ke tempat duduk di sebelahnya. Matanya memandang ke arah bunga tadi. Memang Aisy rancang nak bawa masuk ke bilik dia. Sebab wangi!

Aisy kerling jam. Mungkin Adam sampai lambat lagi? Laju tangannya mencapai bunga di sebelah. Baru Aisy mahu keluar dari perut kereta, tiba-tiba kereta Adam pula mula memasuki perkarangan rumah. Aisy masuk balik ke dalam perut kereta. Bunga diletak kembali di kuision sebelah pemandu.

Buat dia terkejut saja dengan kereta Adam yang tiba-tiba muncul tadi! Ini kalau Adam nampak, memang sah Aisy kena!

Aisy hela nafas sebelum dia menghidu bauan bunga itu lagi. Wangi! Tapi terpaksa lah dia batalkan niatnya untuk membawa bunga tersebut ke dalam bilik. Aisy pandang Adam yang masih di dalam keretanya dan bunga tadi bersilih ganti. Kalau Adam belum sampai, boleh juga dia bawa sekali masuk bilik.

Hampir seminit, Aisy ambil keputusan untuk keluar dari perut kereta bersama tas tangannya yang tersangkut di bahu saja. Keluar dari kereta, terdengar terus suara kanak-kanak yang bermain di taman permainan yang tidak jauh dari rumah ini. Riuh rendah bunyinya. Aisy tersenyum sendiri.

Mata spontan meliar ke atas, memandang pada suria petang yang menghiasi langit biru yang sungguh indah di atas sana. Cantik!

Apabila mendengar bunyi pintu rumah dibuka, lantas Aisy menoleh ke belakang. Ke arah Adam yang sudah melangkah masuk ke rumah. Perlahan-lahan Aisy menyusul sama. Teringat pula asar dia belum solat lagi.

Adam, masuk sahaja ke dalam rumah terus lelaki itu mendapatkan sofa di ruang tamu. Stokin ditanggalkan kasar dan dicampakkan ke atas meja. Tali leher dilonggarkan sedikit sebelum kepalanya dibawa baring sambil tangannya menutup kedua belah matanya.

Manakala Aisy pula terus masuk ke dalam bilik untuk solat. Selesai saja dia memberi salam yang terakhir, Aisy mula duduk bersila di atas katil. Kepalanya sudah disapu minyak angin. Aisy harap reda sikitlah pening di kepalanya itu.

Tanpa sedar, keluhan dihela berat. Kemudian, tas tangannya di hujung katil dicapai dan pregnancy test miliknya dibelek-belek. Sesekali dia jeling Adam di ruang tamu. Perlu ke dia beritahu Adam sekarang?

Ini kalau ada Naura, mesti tidak habis gadis itu memaksa. Esok mesti dia tanya, Aisy kau dah beritahu Adam ke belum.

Tetapi sejujurnya Aisy tidak bersedia lagi. Tambah lagi kes Atiya hari itu pun tak habis-habis lagi cerita. Dan disebabkan itu juga sampai sekarang Aisy langsung tak bercakap dengan Adam walaupun sebelum-sebelum ini memang mereka berdua kurang bersembang tetapi tidaklah janggal seperti ini.

Jeling ke arah ruang tamu kembali. Dan Adam masih lagi di situ. Aisy garu belakang. Cepat-cepat dia melipat telekung yang digunanya tadi sebelum tas tangannya kembali disangkut di hujung katil dan dia mula keluar dari biliknya dengan rambutnya diikat satu.

Perlahan-lahan Aisy buka langkah ke arah Adam. Tergeleng Aisy melihat stokin Adam yang berkelempangan di atas meja. Lantas, stokin itu Aisy kutip dan diletakkan setempat. Adam di atas sofa, menutup kedua matanya menggunakan lengannya. Sepertinya sedang tidur. Tidak mahu menganggu, Aisy mula buka langkah ke dapur pula.

Dia mengeluh kecil. Entah bilalah dia boleh beritahu Adam. Sampai saja di dapur, Aisy buka peti sejuk.

Kosong. Pada kabinet dapur juga kosong. Cuma yang ada hanya beberapa kotak maggi dan serbuk teh. Aisy tutup kembali pintu kabinet.

Bukan Yang Terbaik (in editing)Where stories live. Discover now