11

320 26 3
                                    

Kerana kau dari Dia

Siap mengenakan tudung di kepala, Aisy melangkah keluar dari bilik seusai solat maghrib. Kaki terus melangkah ke ruang dapur. Di situ, kelihatan Ibu ligat menghidang makanan memandangkan jarum pendek jam sudah menunjukkan pukul 8 malam.

Aisy mendekati rak pinggan sebelum tangan dipanjangkan untuk mencapai pinggan. Lalu, dia letakkan di atas meja makan. Lantas sepasang tangan itu naik menyeduk nasi.

Sekonyong-konyong, lengannya disentuh. Laju Aisy menoleh. Ibu senyum nipis. Perlahan-lahan wanita itu melabuhkan punggung di kerusi berhampiran. Matanya memandang Aisy dengan tatapan redup.

"Awat hang tolak pinangan Hilman lagutu? Malu dia tadi" soal Puan Roziah, tapi lebih kepada ayat penyata. Nada suaranya tak ada langsung dinaikkan malah hanya mendatar lembut.

Entah kenapa bicara ibunya itu buat Aisy rasa terpempan. Jelas sekali, ibunya mahu Aisy terima pinangan itu. Dari petang tadi Aisy cuba mengelak dari terserempak dengan ibu. Sebab Aisy tahu memang bab ini akan diketengahkan juga nanti.

Tak perlu nak berdalih, memang dari dulu lagi Aisy tahu ibu dia berkenan sangat dengan Hilman itu. Cuma Aisy saja buat-buat tidak nampak.

"Hilman habaq ritu, dia tak kesah pun nak duk kl kerja sana lepaih hampa kahwin sok" sambung ibunya.

Aisy tarik nafas dalam-dalam. Mata terpejam seketika. Lantas, memori malam itu menghantui di fikiran. Semuanya diulang tayang di fikiran. Ya Allah, selama ni aku tipu ibu ke?

Tak tunggu lama, terus dada bagaikan ditusuk sesuatu. Rasa ngilu membinasakan tangkai hati. Rasa bersalah dalam diri mencanak-canak naik. Saat ini Aisy rasa dia lah anak yang paling tak berguna. Calarkan maruah keluarga sendiri. Memikirkan reaksi ibunya ketika tahu kebenaran, serta merta Aisy rasa beban di bahunya bertambah berat.

Rasa bersalah, sedih dan takut bercampur menjadi satu. Hampir sesaat, Aisy buka mata semula. Air liur ditelan payah.

"Ibu, kakak..." ibu pegang bahu Aisy.

"Kakak, awat ni? ada masalah ka?" laju ibu menyoal. Dahi berkerut dengan mata tuanya yang tak lepas dari memandang Aisy. Melalui matanya, jelas terpancar sisi kerisauannya disitu.

Tiba-tiba ada air mata jernih yang bertakung di tubir mata Aisy. Entahlah, Aisy rasa soalan ibunya itu ialah satu pujukan yang boleh buatkan hatinya luluh melayani tangisan hati. Menyelinap rasa berbahang ke seluruh tubuh. Nafas terasa tersangkut di kerongkong. Bibir diketap rapat.  Laju saja air matanya turun jatuh.

Adam yang baru mahu turun ke dapur, berhenti melangkah.

"Kakak, awat ni? Ada masalah ka?" risau suara Ibu. Aisy seka air matanya jatuh sambil kepala digeleng perlahan.

"Kakak, kalau hang ada masalah, bagitahu Ibu. Jangan pendam. Ibu sentiasa ada untuk Kakak. Iman pun sama" Ibu peluk Aisy. Terharu Aisy mendengar kata-kata ibu itu. Air matanya yang laju saja turun, Aisy seka lembut.

Nafas kemudiannya ditarik dalam-dalam sebelum kepala dipanggung kearah ibunya. Bibir melerot mengukir senyum segaris.

"Mana ada kakak ada masalah, bu. Kakak okey. Cuma..kakak tak bersedia lagi nak ada rumahtangga" ujar Aisy. Perit hatinya. Sampai bila dia mahu menipu?

Ibu hela nafas.

"Betul ni?"  soal Ibu. Mata tak jatuh dari memandang anak sulungnya itu. Masih dalam renungan gaya risau.

Aisy mengangguk.

"Ye, kakak okey" jawab Aisy. Puan Roziah pandang anak mata Aisy. Dalam, sehingga dapat masuk ke dalam lubuk hati. Cepat-cepat Aisy larikan pandangan.

Bukan Yang Terbaik (in editing)Where stories live. Discover now