23

280 26 7
                                    

Kerana kau dari Dia

Kepala yang berdenyut dilentokkan kembali pada bantal di atas katil. Mata dibawa memejam sambil tangan mengurut-urut pelipis. Masuk kali ini sudah kali keberapa entah dia mengurut, tidak juga susut pening di kepalanya.

Tangan yang ligat mengurut itu tanpa sedar jatuh menyentuh pipi yang masih terasa pijar dan perit miliknya. Aisy mengaduh sakit.

Pipinya sejak bangun pagi tadi terasa perit semacam dan bila dipegang, sakit. Mungkin kesan dari tamparan Adam malam tadi. Mengingatkan kembali kejadian malam tadi, keluhan berat dilepaskan.

Bila difikirkan semula, mungkin salah Aisy juga sebab tak tunggu balasan Adam terlebih dahulu semalam. Alahai Aisy, bahasa kau macam Adam itu balas aje mesej kau. Aisy urut pelipis.

Entah, kadang-kadang dia rasa mahu give up dengan semua benda ini. Rasa give up dengan Adam yang tak habis-habis dengan perangai panas barannya. Rasa give up sebab perlu menipu semua orang yang dia sayang. Rasanya kalau boleh putar balik masa, dia akan pilih Hilman jadi suami. Senang.

Lah, kau nak salahkan takdir ke ni, Aisy. Nak salahkan Tuhan sebab jodohkan kau dengan Adam?

Sejak bila kau jadi hamba Allah yang tak bersyukur pula ini, Aisy?

Entah untuk keberapa kali, nafas panjang ditarik dan dilepaskan lagi. Aisy kalau boleh tak mahu fikir fasal ini. Pening di kepalanya pun masih belum reda lagi. Makin pening pula kepalanya nanti kalau terus fikirkan masalah dia bersama Adam yang sepertinya tidak akan habis.

Pandangan ditukar ke luar tingkap yang bergerimis. Baru Aisy perasan, hujan rupanya di luar. Tadi masa Aisy bangun, hanya mendung saja. Hampir sesaat, Aisy sudah mengiringkan badan menghadap ke tingkap. Boleh tahan juga lebat hujan di luar sana. Sesekali hujan tersebut berselang seli dengan bunyi guruh kecil.

Mendengar rentak hujan, hati Aisy entah mengapa bagaikan dipujuk lembut. Matanya terpejam sejenak. Ketenangan..

Tuhanku, Aisy berkata dalam hati. Kau turunkan hujan yang rentakkan alunan merdu untuk pujuk aku yang lemah ini ke?

Aisy senyum tawar. Allahu, dia sungguh terpujuk.

Acapkali, Allah mahu pujuk Aisy dengan cara ini. Cara yang lembut dan tenang. Kerana Dia sayangkan Aisy dan mahu Aisy terus kuat. Sekuat sumayyah menentang Abu Jahal yang jahat mahu Sumayyah, Yasir dan Ammar menjadi murtad. Allahuakbar.

Sejujurnya, Aisy langsung tak menolak kisah perjalanan hidup seperti ini kerana Aisy percaya semua aturan Allah itu kemas dan cantik. Dan tuhan itu mengenali hambaNya lebih dari hambanya kenal dirinya sendiri. Maka, siapa Aisy mahu menolak takdir yang sudah tertulis di Luh Mahfuz sana?

Jika nanti, ditakdirkan Aisy dan Adam perlu berpisah sekalipun. Dia redha. Mungkin, itulah jalan cerita yang indah yang Allah sudah karangkan untuk dia dan Adam.

Aisy raup wajah yang sudah membasah dengan air mata. Ya Allah, dia tak sedar dia menangis sepanjang dia bermonolog sendiri. Aisy sendiri tidak tahu mengapa air mata hangatnya ini jatuh membelah wajahnya. Mengapalah dia menjadi sensitif sebegini tiba-tiba. Aisy geleng kepala.

Segera Aisy menyeka air matanya. Dia tak mahu matanya merah dan takut jika Adam perasan nanti. Mengingatkan tentang Adam, jam di dinding yang menunjukkan pukul 10 pagi itu diintai sekilas. Biasanya waktu begini Adam tiada di rumah tetapi hari ini Aisy tidak tahu sama ada lelaki itu keluar ataupun tidak. Biarlah lelaki itu, Aisy malas mahu fikir.

Bukan Yang Terbaik (in editing)Where stories live. Discover now