91

3.2K 200 38
                                    

Iman Nadhirah memusingkan badannya ke kanan. Tangannya bergerak mencari-cari bantal peluk yang sentiasa menemani tidurnya. Apabila sudah jumpa, dia menarik bantal itu tetapi terasa berat daripada kebiasaan. Keningnya berkerut namun mata masih pejam.

Malas mahu fikir panjang, dia menolak dirinya rapat dengan bantal peluk. Dia peluk bantal itu. Keningnya berkerut lagi apabila terasa rambutnya dihembus angin lembut. Dia juga dengar bunyi degupan seakan degupan jantung.

Iman Nadhirah perlahan-lahan membuka mata. Terbeliak matanya memandang figura di hadapannya itu. Tanpa berfikir panjang, dia menendang figura itu sekuat hati sehingga ia jatuh ke atas lantai.

Bedebuk!

"Arghh!"

Iman Nadhirah laju mencapai selimut lalu menutup dirinya. Sudahlah tidak bertudung, baju pula baju pijama sahaja. "Mama! Abang!!" Jeritnya sekuat hati.

Tak sampai beberapa saat, pintu bilik dibuka dari luar. Kelihatan Puan Sri Ilyana memegang sikat? Dan Iman Nadzir memegang bantal peluk entah untuk apa. Gaya mereka seperti mahu berlawan dengan orang jahat saja. "Kenapa? Kenapa?" Tanya Iman Nadzir.

Puan Sri Ilyana menjatuhkan tangannya. "Laaa... kenapa Zafriel baring bawah tu? Irah, kamu tak bagi suami kamu tidur atas ke?"

Iman Nadhirah tersentak. "Ha? Suami?"

"Iyalah, Irah oi! Hang tu baru aje bernikah semalam. Jangan buat-buat lupa pulak!" Puan Sri Ilyana mencekak pinggang.

Iman Nadzir memandang wajah Zafriel Adrian yang berkerut seakan sedang menahan rasa sakit. Tangannya asyik mengusap belakang badan. Sepatah suara pun tidak keluar dari mulutnya. Hanya kedengaran suara berdesis sahaja.

Iman Nadzir mengecilkan matanya. Dia memandang Zafriel Adrian kemudian adik perempuannya. "Kejap, Irah tendang Zafriel jatuh dari katil ke?" Dia menyerkap jarang.

Puan Sri Ilyana keliru. Dia memandang anak sulungnya kemudian anak keduanya, dan seterusnya menantunya.

Iman Nadhirah senyum kelat.

"Yang kamu berselubung dengan selimut tu kenapa?"

"Ha? Err... se...sejuk, mama. Air-cond kuat sangat."

Iman Nadzir memandang air-cond di bilik adiknya itu. Tertutup. Setahunya, memang adiknya itu jarang buka pendingin hawa walaupun waktu panas. Katanya, dia lebih selesa dengan kipas. Tambahan pula adiknya itu memang jenis tidak tahan dengan suhu yang sejuk.

Iman Nadzir menggeleng kecil. Adik... adik... tahulah tak suka kahwin dengan Zafriel, kut ya pun, tak payahlah sampai tendang dia jatuh katil.

Dia membantu kawannya itu bangun dari lantai. Puan Sri Ilyana yang malas mahu melayan anak perempuannya itu, dia terus berlalu keluar dari bilik.

Iman Nadhirah laju turun dari katil dan masuk ke dalam bilik air apabila melihat abangnya membantu Zafriel bangun.

______________________________

Iman Nadhirah menjenguk Puan Sri Ilyana yang sedang memasak sarapan pagi. "Assalamualaikum, mamaku sayang," sapanya.

"Waalaikumussalam. Irah, tolong mama buat air Nescafe tu."

Iman Nadhirah hanya menurut arahan mamanya. Dengan tangkas dia menyiapkan minuman tidak sampai lima minit.

Puan Sri Ilyana yang sedang menggoreng bihun di dalam kuali itu mengerling anak perempuannya sekilas. Rasa seperti ada yang tidak kena. Dipandang lagi anak perempuannya itu. Dia menggeleng kecil. "Astaghfirullah alazim.. yang kamu pakai tudung dalam rumah ni kenapa? Buang tabiat? Dalam rumah semua muhrim kamu."

Cik Troublemaker Pencuri Hatiku! (unedited)Where stories live. Discover now