Bab 44

41.5K 3.4K 263
                                    

                     SEJAMBAK bunga mawar yang dibeli Aryan tadi dibuangkan ke dalam tong sampah. Kemudian, Brayan meluru ke arah skrin komputer yang memaparkan rakaman CCTV disetiap penjuru rumah. Anak mata teralih ke arah rakaman CCTV dibilik Nayra. Wanita itu sudah dibuai mimpi. Brayan senyum kecil.

Baguslah jika Nayra sudah tidur. Lantas, Brayan mengatur langkah menuju ke dalam bilik air. Pili air dipulas seraya dia menunduk membasuh muka. Kemudian, kain tuala dicapai lalu mengelap wajahnya yang basah. Sebaik sahaja kain tuala itu diturunkan ke bawah, Brayan sedikit tersentak saat melihat ke arah cermin yang menunjukkan figura Aryan berdiri di belakangnya.

Brayan mengeluh kecil.

"Apa lagi yang kau nak?" soal Brayan acuh tak acuh. Malas dia hendak melayan bayangan yang sebenarnya tak wujud itu.

"Nayra." Aryan bersuara.

Brayan menjuih bibir dengan muka menyampah. Dia memandang Aryan yang berada di cermin.

"Cukuplah, Aryan. Kau tak layak untuk dia."

Aryan menghamburkan tawa. Sangat jelik kedengaran ditelinga Brayan. Tak sampai beberapa minit, Aryan mematikan sisa tawanya. Matanya bertukar rentak. Menjadi lebih dingin. Lebih tajam dan serius.

"Tak layak? Kau tengah cakap dengan diri sendiri ke yang kau tak layak untuk perempuan tu?"bibir Aryan menyenget dengan bait bicara itu. Jelas mengejek Brayan yang mengatakan 'dia' tidak layak memiliki Nayra biarpun mereka adalah orang yang sama.

Brayan ketap bibir.

"Aku bukan kau." Brayan menjawab dengan gigi terketap-ketap menahan geram.

"Aku pun tak mengaku yang kau tu adalah aku." kata Aryan.

"Sebab pendapat dan keinginan kita terlampau berbeza, Brayan. Terlalu banyak perkara yang kau suka tetapi aku tak suka. Dan begitu juga dengan aku, aku pun tak suka dengan apa yang kau nak. Tapi persamaan kita cuma satu, iaitu mahukan Nayra." sambung Aryan.

"Kau tak nak dia. Kau tak pernah mahukan Nayra. Kau cuma nak dia sukakan kau supaya kau boleh ambil alih tubuh aku sampai bila-bila. Kau fikir aku bodoh huh?"

Kenyataan Brayan menggamit perhatian Aryan.

"Kalau aku ambil alih sekalipun apa yang kau nak takutkan sangat? I'm better than you Brayan."

"No. You just ruined my life Aryan! Berhentilah berangan. Kau takkan dapat ambil alih tubuh aku apatah lagi dapatkan Nayra. Aku akan pastikan dia bahagia dengan aku sampaikan kau tiada peluang untuk keluar sesaat pun! Apa yang kau buat tadi pun dah mula hadirkan rasa kebencian dia terhadap kau. Teruskan! Tunjuk perangai kau yang sebenar sampai Nayra pun tak ingin nak jumpa kau lagi!" Cabar Brayan dengan nada suara meninggi. Penuh amarah. Anak mata tajam merenung Aryan yang masih berdiri di belakangnya melalui cermin.

Sekonyong-konyong Aryan tersenyum menyenget.

"Kalau dia tak nak jumpa aku. Aku sendiri akan paksa dia untuk jumpa aku. Kau nak tahu dengan cara macam mana?" Kata-kata Aryan berhenti setakat itu. Riak wajah bertukar dingin.

"Dengan cara aku toreh badan kau!!" Laju tangan Aryan menyambar pencukur di atas sinki itu.  Sebelah tangannya pula sudah mencekup leher Brayan dengan kuat. Brayan tersentak. Matanya membulat terkejut dengan tindakan Aryan. Tatkala melihat pencukur itu dihalakan ke wajahnya, pantas tangan Brayan menepis. Siku dihentak kuat mengena dada Aryan sehingga tubuhnya lolos daripada cekupannya.

Kedengaran suara Aryan mengerang sakit. Brayan pula sedang termengah-mengah mencari nafas yang hilang sebentar tadi. Sedangkan anak mata melilau ke arah kabinet yang berada di dalam bilik air. Anak mata laju  menangkap botol ubat haloperidol yang berada di rak paling atas. Tanpa menunggu lama, Brayan terus berlari ingin mendapatkannya. Malang sekali, Aryan lebih pantas menghalang.

Sekali lagi leher Brayan dicekup dengan kuat dan diheret mengundur ke belakang semula menjauhi kabinet yang menyimpan ubat-ubatan.

"Jangan harap kau dapat hilangkan aku! Selamanya kau kena hidup dengan aku Brayan. Kau kena ingat! Tanpa aku, kau takkan dapat jumpa Nayra dahulu!"

"Shut up!" Brayan menyiku hidung Aryan.

"Erghh!" Aryan mengerang sakit. Spontan tangannya melepaskan Brayan. Dia menyentuh hidung yang terasa perit. Dan disaat belakang tangannya mengelapnya bawah hidung, terlihat ada darah yang melekat. Semakin membuak-buak amarah di dalam hati. Mata pula merenung kepada Brayan yang masih gigih berlari mendapatkan ubatnya. Penuh dengan pandangan membunuh.

"Kau cuba cabar aku?" Aryan mengetap bibir. Tangannya mengepal semakin kuat sehingga bergetar.

Brayan pantas mencapai botol ubat haloperidol itu. Sebaik sahaja mendapatkannya, terus penutup botol itu dibuka. Kelam-kabut. Berharap agar personaliti Aryan itu cepat-cepat pergi daripada mengganggu fikirannya. Tidak sempat ubat itu hendak dituang ke atas telapak tangannya, tiba-tiba terasa rambutnya dicengkam kasar daripada belakang lalu dihentak ke dinding dengan cukup kuat. Bukan sekali. Bukan dua kali. Malah berkali-kali sehingga darah terpercik keluar.

Botol yang digenggam terus jatuh ke lantai. Tubuh Brayan terasa semakin longlai.

"JANGAN! CABAR! AKU!" Sepatah-sepatah perkataan ditekan bersama kepala Brayan yang dihendak ke dinding.

"Tuan Brayan!! Apa tuan buat ni?!" Sampuk suara Puan Nora Elena. Terkejut dia melihat Brayan yang menghantuk kepala sendiri ke dinding sehingga berdarah. Tanpa berfikir panjang, Puan Nora Elena terus merempuh masuk ke dalam bilik air itu. Menarik tubuh Brayan menjauhi dinding.

Brayan terasa lemah. Kaki juga semakin longlai sehingga dia rebah ke lantai  Pandangannya berbalam-balam saat ini. Hanya mampu melihat bayangan Puan Nora Elena yang sedang cemas sebelum kelopak matanya tertutup perlahan-lahan.

"Tuan, bangun Tuan!!" Tubuh Brayan digerak-gerakkan, berharap agar lelaki itu kembali sedar semula. Ya Tuhan! Apa yang sudah terjadi? Sekilas pandangan Puan Nora Elena menangkap pill ubat yang bertaburan di atas lantai. Pasti Tuan Brayan sedang bergaduh dengan Tuan Aryan tadi.

Tetapi itu bukan yang penting sekarang! Pantas tangan Puan Nora Elena mencapai walkie-talkie yang berada di pinggangnya.

"Pak Mat! Tolong datang ke bilik Tuan Brayan sekarang! Cepat!" Arah Puan Nora Elena, tegas dan cemas bercampur.

"Baik, Puan!" Sebaik sahaja mendengar sahutan orang tua itu, Puan Nora Elena kembali menyimpan walkie-talkie itu ke pinggangnya. Kemudian, dia bangun mencapai kain bersih. Dilipat kecil lalu ditekup pada kepala Brayan yang berdarah.

"Puan, saya dah datang!" Sampuk Pak Mat yang baru sahaja muncul di bilik Tuan Brayan.

"Ha, bagus! Pak Mat tolong angkat Tuan Brayan masuk ke dalam kereta. Kepala dia dah berdarah teruk!"

"Ya Allah! Macam mana boleh jadi macam tu?" Soal Pak Mat, gelisah.

"Saya tak pasti, Pak Mat! Cepat bawa Tuan Brayan masuk ke dalam kereta. Saya nak pergi kejutkan Nayra. Dia tak boleh tinggal seorang diri dalam rumah!"

"Baik, Puan!" Pak Mat menurut arahan. Tanpa membuang masa, Puan Nora Elena terus bangkit berlari keluar dari bilik air. Mereka harus segera ke hospital!

THE RULES: BRAYAN [Complete]Where stories live. Discover now