67

31K 2.6K 374
                                    

                    KREEKK...  PETI keranda itu dibuka. Luthfi yang berada di dalam terus terkejut apabila ada kepala yang menjenguknya dari atas. Hendak menjerit namun mulutnya dilekat saletip tebal berwarna hitam. Kedua-dua belah kaki dan tangan masih sama terikat.

Mata lelaki itu mengecil sedikit merenung ke seluruh tubuhnya. Tatkala tubuh Luthfi sudah menggeletar satu badan. Apa pula yang bermain diminda lelaki itu sekarang?

"Kau dah makin kurus." Komennya. Tanpa sebarang isyarat, rambut Luthfi dicengkam kuat lalu ditarik agar dia duduk menegak. Sudah terlalu lama baring, tulang belakang kemungkinan boleh rosak. Saletip tebal yang melekat pada bibir Luthfi terus ditarik secara kasar.

"Ergh!" Luthfi mengerang sakit. Dia menyentuh bibirnya yang merah. Pedih. Benar kata lelaki itu, dia memang sudah semakin kurus. Mana tidaknya jika setiap hari dia diberi makanan yang sikit. Itupun sekadar memastikan dia terus hidup, jika tidak jangan harap lelaki di hadapannya itu mahu memberi dia makan dan minum.

Dengan tenang lelaki itu melangkah ke arah kerusi beroda di hadapan sebuah patung manusia yang telah pun diawet. Dia melabuh punggung di situ. Ketinggian kerusi diperbetulkan sehingga tingginya sama dengan paras bibir yang dijahit pada patung tersebut.

"Haish... jahitan dia dah terkeluar sedikit." keluhnya. Lantas, dia kembali turun dari kerusi lalu menuju ke meja yang menyusun alatan tangan bersaiz kecil. Meliar anak matanya mencari alat yang sesuai untuk memperbetulkan jahitan pada bibir si patung itu.

"Benang aku dah habis. Lain kali sahaja aku patut betulkan semua tu." Ujarnya sambil mencekak pinggang dan kembali ke tempat duduk semula. Diperhatikan seluruh tubuh patung itu dari atas hingga ke bawah, memikirkan bahagian mana lagi yang perlu diubah.

"Tangan dia..." Kini anak matanya merenung ke arah kedua-dua belah tangan yang pucat membiru itu. Dia berhenti berfikir sejenak sambil sebelah tangannya menggosok dagu.

"Aku tak suka tangan dia. Terlalu buruk." Komennya begitu selamba. Dia memusing kerusi itu menghadap Luthfi. Kemudian, sepasang anak mata hijau tua itu mencerun sedikit melihat sepasang tangan yang terikat itu. Dia kecilkan sedikit mata. Sekejap dia toleh memandang rupa dipatung itu pula.

Sekonyong-konyong bibirnya tersenyum senget.

"Tangan kau nampak cantik."

Pujian yang seharusnya membuatkan seseorang itu teruja kini bertukar menjadi seram. Semerta bulu roma Luthfi mencanak naik seakan-akan faham apa yang lelaki itu sedang bicarakan. Dia tidak berani hendak menoleh. Cukup dapat merasakan yang lelaki itu sedang merenungnya dari tepi sudah membuatkan dia tidak senang duduk.

Air liur ditelan entah ke berapa kali. Sedaya upaya dia cuba untuk pejam mata mengharapkan ini semua adalah mimpi ngeri yang menghantui lenanya namun apakan daya, sebaik sahaja matanya terbuka dia tetap berada di tempat yang dipenuhi patung manusia ini.

"Seni perlukan kekemasan dalam hasilnya. Silap sikit aje pasti seninya bakal jadi lain. Aku tak suka perkara remeh seperti itu terjadi bila aku hasilkan sesuatu patung." Dia mula bercerita tentang seninya yang dilakukan setiap hari. Seboleh-bolehnya Luthfi tidak mahu langsung mendengar. Setiap kali lelaki itu bercerita tentang payung, jantungnya pasti rasa nak terlompat keluar dari badan.

"Kau nak tahu apa aku buat kalau patung aku tak menjadi?" Soalnya.

Luthfi tidak menjawab. Dan jika dia boleh bersuara sekarang, dia akan katakan tidak mahu! Namun, suaranya sekarang seakan-akan tersekat dicelah kerongkong. Susah untuk dikeluarkan.

Lelaki itu tersenyum begitu sinis. "Diam. Maknanya kau nak tahu?"

Luthfi pejam mata. Ya Tuhan, tolonglah bawa aku keluar dari tempat ini!

THE RULES: BRAYAN [Complete]Where stories live. Discover now