Bab 91

936 70 8
                                    

Pintu kaca terbuka secara automatik setibanya Hyeran di hadapan hospital itu. Kerana agak terburu-buru, Hyeran sampai terlanggar seseorang apabila dia membelok ke koridor hospital. Hyeran tidak makan tengah hari semata-mata untuk melawat Minhee setelah mendapat khabar yang Minhee telah sedarkan diri. Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya Hyeran setelah mendengar khabar itu. Akhirnya Minhee baik-baik sahaja. Dia benar-benar risau apabila dia tahu yang Minhee overdosed dan terus dikejarkan ke hospital pada pagi semalam, yang mana Chanyeol telah mengumumkan status mereka berdua yang sebenar. Sebahagian hati Hyeran menyalahkan diri sendiri disebabkan apa yang telah berlaku ke atas Minhee.


Jauh di lubuk hatinya, Hyeran tahu Minhee menelan semua pil-pil tersebut disebabkan tertekan mendengar pengumuman Chanyeol itu. Dia masih boleh mengingati wajah gembira Minhee apabila dia memberitahu yang dia sangat sukakan Chanyeol. Lalu, ini semua jelas menunjukkan yang Minhee merasakan perasaan yang sama. Malah, Hyeran yakin perasaan Minhee terhadap Chanyeol tidak akan boleh berubah.

Dari sebalik kaca kecil di pintu bilik Minhee dirawat, Hyeran dapat melihat Minhee sedang menikmati makanan tengah harinya ditemani Dahyun di sebelah yang sedang menyuapkan makanannya. Lama juga Hyeran meletakkan tangannya pada tombol pintu sementara sedang berfikir berulang kali sama ada untuk membuka pintu atau tidak. Namun, Hyeran terfikirkan tentang perkara yang membuatkannya terus datang ke tempat itu; Hyeran hanya mahu memastikan keadaan Minhee dengan matanya sahaja.

Daun pintu dikuak sebelum Hyeran sedar apa yang sedang dia lakukan. Dia sudah berdiri di hadapan Minhee dengan mata Minhee yang terbuka luas, terkejut melihatnya berada. Namun selang beberapa saat kemudian, mata yang terbuntang bertukar menjadi mata yang penuh dengan kebencian.

"Unnie, tolong keluarkan perempuan ini dari bilik saya." Minhee dengan dinginnya berkata sambil pandangannya dibuang ke lantai.

Dahyun terdiam memikirkan apa yang sepatutnya dia lakukan. Dia tidak sampai hati untuk mengusir Hyeran yang telah datang namun dia tidak mahu Minhee tertekan lagi memandangkan dia baru sahaja sedar.

Mangkuk yang berada di tangannya terus diletakkan di atas meja setelah Minhee tidak kelihatan seperti mahu menjamahnya lagi. "Minhee-yah, jangan cakap macam tu. Hyeran dah datang nak jenguk Minhee, kan?" Dahyun cuba memujuk namun dahi Minhee semakin berkerut.

Seolah-olah sedang berhati-hati, Hyeran mendekati katil Minhee namun dia hanya mampu menapak dua langkah. "Minhee, macam mana keadaan Minhee?" Hyeran menyoal namun soalannya itu terbiar tanpa jawapan. Minhee mengeluh sambil memeluk tubuhnya. Mata Hyeran beralih kepada mangkuk yang hampir penuh, membuatkan Hyeran yakin yang Minhee hanya memakannya sedikit. "Minhee-yah, Unnie boleh tolong suapkan makanan. Minhee kena makan baru boleh..."

"Kenapa tak biar aku mati?" Minhee berteriak dengan sangat kuat, mengejutkan Hyeran dan Dahyun.

Kata-kata yang ingin disampaikan oleh Hyeran tadi serta-merta hilang apabila Minhee memotongnya dengan jeritan nyaringnya. Hyeran tidak tahu apa yang harus dia lakukan, mungkin dia harus mendiamkan diri. Mungkin juga datang ke sini bukannya idea yang baik sejak dari awal lagi. Namun, apabila dengan tiba-tiba Minhee menangis dengan sangat kuat, Hyeran merasakan yang dia patut mendekati Minhee.

"Jangan dekat!" Minhee memberi amaran apabila dia menyedari Hyeran mengambil satu langkah menghampirinya. "Aku tak boleh tengok muka kau, Hyeran. Aku benci sangat. Aku bencikan kau walaupun kau tak ada di depan mata aku dan aku bertambah-tambah bencikan kau apabila kau dah ada kat sini. Kenapa kau datang? Aku tak perlukan kehadiran kau kat sini!" Minhee menjerit lagi seakan dia sudah hilang kawalan ke atas dirinya. Air mata tidak berhenti mengalir ke pipinya dan suaranya sangat kuat hingga Hyeran merasakan lantai di bawah kakinya bagaikan bergoncang.

The Inevitable Chanyeol [EXOVELLE] [IN EDITING]Where stories live. Discover now