Bab 61

792 78 8
                                    

PINTU bilik dibuka, Rania yang sudahpun tertidur dipandang. Faliq tersenyum tipis. Memandangkan hari ini dia pulang agak lambat dari pejabat, jadinya tak perlulah Rania tunggu dia seperti biasa.

Selesai sahaja mandi dan menukar baju, Faliq keluar daripada biliknya. Kaki mula mengorak langkah menuju ke pejabatnya di bahagian bawah tanah. Sampai sahaja di pejabat, Faliq masuk ke dalam pejabat dan mengunci pintu dari dalam.

Satu almari yang sememangnya dikhaskan untuk fail-fail yang sulit dibuka. Fail yang berwarna hitam diambil, pintu almari ditutup dan dikunci secara automatik. Faliq mengambil tempat di atas kerusi kerja. Fail tersebut dibuka.

Semua rahsia dia, Rania sudah tahu walaupun pahit pada mulanya untuk Rania terima tapi mujurlah sekarang dia sudah terima. Tapi, ada satu lagi rahsia tentang Faliq yang Rania masih lagi tidak tahu.

Lebih-lebih lagi berkait rapat dengan kematian ahli keluarganya.

Bahagian hadapan fail menunjukkan laporan data tentang kematian arwah Puan Kamariah dan Tania Ramanshah. Malah terdapat juga gambar mereka. Siap membaca satu persatu maklumat yang dipaparkan, Faliq menutup kembali fail tersebut.

Malas mahu berlama di dalam pejabat, Faliq keluar daripada pejabatnya. Pintu pejabat dibiarkan tidak berkunci, lagipun Rania bukannya jenis yang suka sangat masuk pejabatnya. Lagi-lagi bila sekarang ini dia mula sibuk, jadi Faliq mengambil kesempatan itu untuk selalu menjenguk pejabatnya.

Faliq menuju ke arah dapur. Gelas diambil dan dia menuang air ke dalam gelas. Telefon bimbitnya dibawa keluar, aplikasi 'WhatsApp' dibuka. Tiada mesej yang masuk. Faliq menutup kembali telefonnya. Air diteguk.

"Awak tak tidur lagi ke?" Faliq beralih memandang ke belakang. Rania yang sedang berjalan menuju ke arah 'Kitchen Island'. Bekas yang berisi asam diambil dan Rania duduk di sebelah Faliq.

"Tak. Tak tidur lagi, kenapa?" soal Faliq. Rania diam, bekas asam dibuka. Asam diambil dan disuap ke dalam mulut.

"Sejak bila awak suka makan asam?" soal Faliq lagi. Pelik juga, jarang Rania makan asam jeruk. Tambah-tambah lagi bila makan waktu malam.

"Salah ke saya nak makan asam? Lagipun, saja saya teringin nak makan asam. Bukan selalu." tutur Rania.

  Bekas asam jeruk diberikan kepada Faliq, Faliq mengambil beberapa asam jeruk dan disuap masuk ke dalam mulut. Begitu juga dengan Rania, bekas tersebut ditutup. Rania mengambil gelas Faliq yang masih lagi ada air walaupun sedikit dan diteguk.

"Saya rasa macam dah lama dah kita tak duduk berdua, berbual macam ni." ujar Faliq. Rania mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Faliq.

"Sebab sekarang ni kita berduakan sibuk dengan kerja. Ada hari saya balik lambat, ada hari awak pula balik yang balik lambat. Nak buat macam mana, dah tuntutan kerja kita macam tu. Tapi terus terang saya cakap, saya rindu nak luangkan masa dengan awak."

Faliq diam dan beralih memandang Rania.

"Kita berdua pun dah lama dah tak melawat kubur Rayyan. Nanti bila kita dah tak sibuk, kita berdua pergilah melawat." tutur Rania lagi.

"Saya rindulah dekat Rayyan."

"Saya pun, Rania."

  Suasana di antara Faliq dan Rania terus sunyi memandangkan topik yang mereka bincangkan sekarang adalah berkaitan dengan arwah Rayyan. Terutama sekali, Faliq. Jelas perubahan di riak wajahnya.

"Apa kata esok kalau kita berdua balik awal? Kita pergi makan malam sekali dengan Qayden dan Rihanna. Nak tak?" tutur Rania sekadar menukar topik.

Faliq mengangguk. Okay juga cadangan Rania itu.

Rania Ramanshah: Dikhianat Kerana Dendam (C)Where stories live. Discover now