Episod 45

23 4 0
                                    


Selepas menunaikan solat sunat dhuha, Kayla segera mengangkut segala barangan untuk dimasukkan ke dalam bonet kereta. Mujurlah tidak banyak pakaian yang perlu dibawa kerana di rumah lama Kayla ada banyak lagi pakaian yang tinggal.

Hari ini Kayla hendak pulang ke kampung halamannya yang terletak di Tanjung Karang, Selangor. Pakaian Kayla hari ini hanya bergaya kasual kerana perjalanannya ke sana tidaklah jauh.

Melly juga dibawa bersama. Kayla telahpun menyediakan bekas pasir sebagai tandas Melly.

Setelah Kayla mengunci rumah dan memastikan rumahnya selamat dari dimasuki pencuri , dia pun mula berangkat.

"Haa.. Melly, kau jangan buat hal pulak dalam kereta aku " pesan Kayla kepada kucingnya yang sedang berguling di tempat penumpang belakang. Bukan main suka dapat balik kampung.

Tiba-tiba, deringan telefon Kayla berbunyi. Kayla pun menekan butang speaker memandangkan fon telinganya hilang.

"Assalamualaikum Syanis. Haa.. apa hal call aku ? ".

"Waalaikumsalam, kau tengah berangkat ke tu? ".

"Iye, baru je".

"Ouhh. Ni hah aku nak bagitahu kau. Raya ni aku balik ke Kelantan, kampung husband aku. So, sorry eh tak dapat teman kau. Raya ketiga baru datang sana ".

Kayla pun mengeluh. Raya single lah dia nanti.

"Takpelah Syanis. Aku faham, lagipun tahun depan turn kau pula balik Tanjung Karang. Alah, takpelah. Mak kau boleh je teman aku nanti ".

"Oh baguslah macam tu. Aku pun tengah gerak ke Kelantan ni. Jaga diri elok-elok tau. Bye sayang... ".

Kayla menjelirkan lidah. Apa kejadah dengan minah ni.

"Yelah, kau pun sama take care. Bye bye.. ".

Panggilan pun ditamatkan.

"Hmm.. Nampaknya kita raya berdua jelah Melly.. Nanti ambil gambar, kita-kita je yang ada. Kan kan? " ujar Kayla sambil menoleh ke Melly yang sedang tidur pula.

Kayla pun menggeleng kepala perlahan lalu fokus meneruskan pemanduan.

🕰 ♦ 🕰 ♦ 🕰

"Uhuk uhuk. Pergh, berhabuknya rumah ni ! " Kayla mengibaskan tangannya di seluruh ruang tamu.

Disebabkan rentetan peristiwa PKP, hampir dua tahun Kayla tidak ke sini kerana masanya dihabiskan di Kuala Lumpur. Kali terakhir yang diperginya ialah tahun 2020.

"Uhuk uhuk" Kayla terbatuk lagi. Nampaknya dia perlu mengemas rumah ini terlebih dahulu.

Barang-barangnya pun diangkat masuk ke dalam bilik tidurnya. Sementara Melly pula merayap entah ke mana. Barangkali ingin melepaskan rindu pada rumah lama yang menjadi tempat dia membesar.

Setelah hampir tiga jam mengemas, Kayla pun melepaskan kepenatan di atas kerusi kayu. Kayla menghela nafas yang berat, mengamati suasana nostalgia yang penuh dengan kenangan manis.

Sudah bertahun-tahun peristiwa ini terjadi, namun masih segar di ingatan hati. Dia terbayang satu-persatu wajah insan yang dia sayang.

Mula-mula ibunya, kedua neneknya dan kemudian ayahnya. Ketiga-tiga insan itu sudahpun lenyap di mata Kayla. Akan tetapi masih dikenang di hatinya.

Ibunya meninggal kerana kemalangan. Ketika itu disebelahnya terdapat seorang lelaki yang dikatakan ketua samseng. Lelaki itu menjadi pemandu. Kereta yang dipandu mereka hilang kawalan akibat perbuatan sabotaj. Dan orangnya ialah ibu tirinya.

Sehingga kini Kayla masih tidak faham apa sebenarnya yang terjadi. Dan kalau boleh Kayla ingin lupakan sahaja.

Neneknya pula meninggal kerana rentung. Rumahnya habis terbakar dijilat api yang membara. Peristiwa ini terjadi semasa ayahnya berkerja. Sementara Kayla berada di asrama sekolah.

Sehingga kini juga Kayla masih tidak tahu siapa pelakunya. Dan kenapa rumahnya menjadi sasaran. Susah untuk Kayla bersangka baik bahawa peristiwa ini ibarat sebuah amaran. Ataupun dendam?

"Meow meow.. " tiba-tiba Melly mencuit lengannya.

Kayla pun teringat masa ini sudah masuk waktu tengahari. Dia pun bingkas bangun lalu menuju ke dapur untuk memberi makanan kepada kucingnya.

Selepas memberi makanan, fikirkannya pun menerawang pula ke arah makanan. Makanan apa yang mahu dimakan pada waktu berbuka ini?

🕰 ♦ 🕰 ♦ 🕰

Sebuah pantai yang indah, ditatap lama oleh Kayla. Dia tersenyum sendiri, saat mengenangkan kisah cinta yang manis mengalahkan madu. Dalam hati tidak berhenti memuji ciptaan Allah yang maha Kuasa.

Angin sepoi-sepoi bahasa, menyejukkan diri. Badannya turut sama bergoyang perlahan, mengikuti rentak angin yang santai. Melly di sebelah, juga memejamkan mata. Menikmati ciptaan Tuhan.

Beberapa orang juga mengunjungi pantai ini. Namun riuh-rendahnya langsung tidak mengganggu ketenangan Kayla. Dia setia bersila di atas batu. Menunggu waktu untuk berbuka.

Selepas membeli lauk untuk berbuka dan juga membersihkan diri, Kayla pun mengambil angin di pantai ini. Lagipun, jarak pantai ini tidak jauh dari rumahnya.

Pantai ini tidak pernah berubah. Masih ada pengunjung yang datang. Sama seperti dahulu. Kayla tersenyum pahit. Walaupun tidak berubah, tetapi keadaannya berubah.

Dahulu, dia selalu diajak ayahnya bertandang ke sini setiap kali pada waktu petang. Mereka suka menghabiskan masa di sini dengan berbual dan kadang kala mengambil gambar bersama.

Kini, hanya tinggal Melly. Bayangan ayahnya sudah tiada. Kayla masih berharap agar ayahnya datang ke mari. Dia masih berharap ada sentuhan lembut di bahu sebagai tanda sapaan seorang bapa kepada anaknya.

Kayla cuba menangis, namun air mata sepertinya degil untuk keluar dari tubir. Dia mahu menangis supaya ayahnya segera pulang.

'Ayah... Kayla rindukan ayah... Kenapa semua perlu tinggalkan Kayla seorang diri? My soul is hurt you know? '.

Tiba-tiba Melly menggesekkan badannya ke peha kanan Kayla dengan lembut. Tanda memahami air muka tuan.

"Aku tahu kau faham, Melly. Tapi, kau tak payahlah risau. Aku sedih sikit je.. " Kayla mengusap kepala Melly dengan lembut.

"Meow.. (Tak payah tipu ) ".

Kemudian, mindanya pun melayang-layang kepada ingatannya terhadap Hazarol, bekas kekasih Kayla.

Dahulu, Hazarol seorang lelaki yang sangat baik. Memang begitu sesuai dengan rupa tampannya yang menawan. Lelaki itulah yang menjadi teman rapatnya tatkala Kayla baru sahaja kehilangan seseorang yang dia sayangi.

Lelaki itu dahulunya peramah dan suka bergurau senda tetapi seorang yang berani. Kayla masih ingat kali pertama dia bertemu dengan jejaka tersebut ketika Hazarol menyelamatkannya dari dibuli sekumpulan lelaki yang miang di belakang salah satu blok di kampus.

Kemudian dari situlah bermulanya episod keakraban mereka. Lagipun mereka sama kursus. Mereka selalu meluangkan masa dengan belajar dan sering bertukar-tukar pendapat sehinggalah terbitnya sebuah rasa suka.

'Hazarol... Kalaulah kau tak berubah, mesti kita dah kahwin sekarang ni'.

*
*
*
*

Al-Jathiyah 45:13

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Malay - Abdullah Muhammad Basmeih

Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

-Fikir-fikirkan lah apa manfaat ciptaan Allah untuk hidupan. Banyak kot. Lebih daripada sejuta faedah tanpa kita sedari. Contohnya, dapat menjadi penyejuk mata dan hati 💜❤✨







550 TahunWhere stories live. Discover now