Episod 53 - H

28 3 0
                                    

Perlahan-lahan Indra membuka kelopak matanya. Masih terasa sisa rasa denyutan di kepalanya. Benda pertama yang dilihatnya adalah siling kayu biliknya.

Indra cuba untuk bangun, malangnya dia tidak mampu. Tidak tahulah mengapa dia berasa sungguh lunglai saat ini. Akhirnya, dia hanya mampu menoleh ke kanan, di mana pintu biliknya berada. Mawar pun tiba dengan menatang dulang di tangan.

Dengan cermat dulang itu mendarat di atas meja kecil di tepi katil. Mawar pun menyentuh dahi Indra lagi.

" Nampaknya, kanda semakin lemah. Tapi syukurlah kanda sudah sedar ! " katanya seraya tersenyum.

Indra menatap sepasang mata isterinya dengan rasa yang bersalah.

" Mengapa kanda ? Demam kanda semakin terukkah ??? ".

" Bukan , dinda. Kanda cuma.. Mahu minta maaf kerana susahkan dinda. Seharusnya kanda tidak bermandi hujan terlalu lama ".

Dengan lembut tangan halus Mawar menghinggap ke tangan Indra.

" Kanda, dinda tak salahkan kanda pun. Dinda faham yang kanda ingin bergembira. Yalah, macam kata-kata kanda tadi, bukan selalu kita dapat menikmati saat itu. Lagi pula, kanda kan sentiasa bekerja. Berubat orang sana sini. Kali ini, biar dinda yang ubatkan kanda ", Mawar memberi senyuman yang manis. Semanis madu.

Alangkah terharunya Indra. Tidak sangka juga yang Mawar boleh memahaminya dengan cepat. Kalau orang lain, sudah tentu bebelan yang didengar. Tapi Mawar lain. Dan itulah sebabnya dia menyukai Mawar. Selepas berkahwin dapat dia lihat hati budi Mawar dengan lebih jelas.

" Terima kasih, dinda ", ucapnya perlahan.

Mawar tersenyum lagi.

" Sama-sama kanda. Mari, dinda dudukkan kanda. Kanda harus makan ubat ".

Arakian, dengan Bismillah Mawar menyuap bubur yang dicampur dengan pelbagai ramuan herba kepada suaminya. Sebelum itu, Indra pernah mengajarnya menyediakan bubur itu dan hari ini Mawar membuat untuknya.

" Mmm sedap, hebat isteri kanda buat. Tak terlalu pahit pun ", puji Indra.

Mawar pun tersipu-sipu lalu menyuapnya lagi. Suapan demi suapan diberikan sehinggalah habis licin mangkuk kaca itu. Usai menyuap, Indra diberi air suam pula.

" Air suam ini telah direndam asam keping yang kanda ajar hari itu. Nah, minumlah ".

" Uhuk uhuk ", Indra terbatuk. Hampir sahaja dia tersedak.

" Minum pelan-pelan kanda, jangan rakus ", lembut Mawar menegur. Indra pun membalasnya dengan sengihan. Air pun telah habis diminum. Akhirnya, rasa pening di kepala beransur hilang.

" Oh ya, seingat kanda, kanda berada di dapur bersama dinda. Bagaimana kanda berada di sini ? Takkanlah dinda yang mengangkat kanda ? ".

" Tadi sewaktu kanda rebah, dinda sudah seperti ayam kehilangan anak. Beberapa kali dinda mengejutkan kanda, tapi kanda tidak sedar. Dinda pun pergilah ke luar rumah, mahu mencari bantuan. Kebetulan pula, bila dinda tiba di beranda, ada Fannani terpacak di hadapan. Terus dinda mempelawanya dan minta bantuan. Jadi, dinda dan Fannani lah yang memapah kanda ke dalam bilik ".

" Hah, Fannani ? Di mana dia sekarang ? ", tanya Indra seraya menjenguk ke luar bilik.

" Ada di luar. Sebentar, biar dinda panggilkan. Ini, ada air suam lagi di dalam teko. Jangan lupa minum ", pesan Mawar lalu menatang dulang tadi untuk dibawa ke dapur dahulu.

Tidak lama selepas itu, datanglah Mawar bersama Fannani. Fannani pun menyapa Indra dengan senyumannya. Mawar pula mengambil tempat di atas katil bersama suaminya.

550 TahunTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang