Episod 54 - H

27 3 0
                                    

Beberapa hari kemudian....

"Pucuk dicita ulam mendatang,
Anakanda beta sudah pulang ! ".

Baginda pun segera mendapatkan anakandanya yang baru sedar dari 'tidurnya'. Setelah sekian lama tidak sedarkan diri, akhirnya sembuh dengan bantuan Indra.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurniaNya anakanda beta sudah sembuh dari geringnya ".

Baginda pun mengucapkan terima kasih kepada Indra. Dengan segan silu Indra menjawab. Dia pun tidak menyangka dapat merawat penyakit seberat ini.

"Sebagai ganjaran, beta akan mengurniakan sedulang emas kepada kamu wahai Indra. Sungguh berani dirimu merawat penyakit anakanda beta ".

"Menjunjung kasih tuanku. Patik hanya menjalankan tugas patik dengan sedaya upaya", balas Indra.

"Jikalau begitu, beta ingin membuat satu tawaran".

"Ampun beribu-ribu ampun, tuanku. Tawaran apa yang dimaksudkan? ".

Baginda pun tersenyum.

"Beta ingin kamu menjadi tabib diraja di istana ini. Beta juga akan memberikan kamu tempat tinggal yang selesa dan juga makanan yang enak-enak. Bagaimana, setujukah kamu? ".

Indra terdiam sejenak. Sebesar itu ganjaran yang dia dapat setelah menolong hal yang kecil. Nampaknya, sungguh mulianya hati sultan.

"Err, ampun tuanku. Patik akan pertimbangkan hal ini. Kerana patik mempunyai isteri dan kami tinggal bersama di rumah arwah bapa patik. Patik tidak boleh meninggalkan rumah itu, tuanku ".

Sungguh Indra berharap yang sultan tidak murka kepadanya kerana menolak permintaan baginda.

"Ohh, begitu rupanya. Kalau begitu kamu bekerja sahaja di sini. Kamu boleh pergi dan pulang setiap hari ".

Indra pun terdiam lagi. Kali ini lebih ringan. Dia berfikir sejenak sebelum menjawab.

⏳ 🔸 ⏳ 🔸 ⏳

"Dinda! Dinda! " laung Indra sebaik sahaja tapak kaki masuk ke dalam rumah.

"Apa dia, kanda! Masuk rumah tidak tahukah beri salam? " tegur Mawar seraya bercekak pinggang.

Indra pun menepuk dahi.

"Aduh, maafkan kanda, dinda. Assalamualaikum isteri saya.. ".

Sesekali tidak jadi pula Mawar marah. Hidungnya segera ditahan agar tidak berkembang.

"Waalaikumussalam, apa yang kanda terjerit-jerit macam monyet? ".

"Dinda samakan kanda macam monyet? Ish, dinda ni.. ".

Indra berdehem seketika.

"Begini, dinda. Tadi anakanda sultan baru sahaja sembuh. Sultan pun menawarkan kanda menjadi tabib dan tinggal di sana. Tetapi, kanda tidak bersetuju".

"Lalu, apa yang dititahkan sultan? ".

"Sultan bertitah bahawa kanda dapat pergi dan pulang hari. Dan kanda setuju", balas Indra seraya menatap anak mata Mawar.

"Kenapa kanda setuju? ", soal Mawar yang ingin tahu.

"Rezeki jangan ditolak. Banyak ganjaran yang kanda boleh dapat. Ganjaran itu bolehlah kanda gunakan untuk masa hadapan kita" Indra tersenyum menawan.

"Wahh, memang patut kanda mengambil peluang itu! Selepas ini, makin bertambahlah harta kanda! " balas Mawar dengan rasa teruja.

"Amboi dinda, nampak seperti inginkan harta kanda je ! ".

"Mana adalah, kanda! Dinda cuma gembira sahaja! ".

Indra pun tersenyum senget.

"Apa yang gembiranya? ".

"Gembiralah. Selama ini kasihan dinda melihat kanda yang bersusah-payah payah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sekarang, kanda ada kerja baharu. Tak usahlah berniaga lagi".

Senyuman Indra pun termati. Selama ini tidak pernah pula dia fikirkan penat lelah. Dia cuma menjalankan tugasnya sebagai seorang suami yang baik. Dia sungguh tidak sangka Mawar sentiasa memerhatikan setiap keringatnya demi mencari rezeki.

Indra pun mengusap kepala Mawar dengan selembut-lembutnya.

"Sungguh kanda beruntung mempunyai isteri yang prihatin terhadap kanda".

"Kalau begitu, dinda mahukan separuh daripada sedulang emas itu. Boleh tak, kanda? " Mawar tersengih.

Cis.

⏳ 🔸 ⏳ 🔸 ⏳

Sani menyelinap keluar dari istana di kala malam masih muda. Dia pun berlari menuju ke sebuah rumah yang besar dan tidak jauh dari istana. Sampai sahaja di situ, dia pun masuk ke dalamnya.

Kelihatan seorang lelaki yang berjambang sedang mengasah parangnya sehingga tajam.

"Kedatangan kau di sini sepertinya ingin memberitahu sesuatu yang penting" ucap lelaki itu tanpa menoleh pun ke arah Sani yang baru tiba di hadapannya.

"Benar sangkaan kau. Aku yakin kau akan terkejut mendengar khabar ini" jawab Sani.

"Apa dia yang penting sampai kau bermandi peluh? ".

"Orang yang kau lama berdendam sudah kembali".

Lelaki itu pun menjongketkan kening.

"Berpuluh-puluh manusia aku berdendam dalam hidupku. Siapakah gerangan yang kau maksudkan? ".

Sani tersenyum sinis.

"Sebelum kau tahu siapa dia, akanku ceritakan apa yang terjadi kepadanya. Dia seorang pemuda yang segak dan lebih muda daripada kau. Walaupun muda, dia sepertinya orang yang berpengetahuan luas dalam perubatan. Orangnya lebih baik daripada kau" sindir Sani lagi.

Lelaki itu mendengus geram. Ikutan hati, ingin sahaja dia memancung kepala Sani.

"Namanya Indra. Insan yang sudah kau lupakan, Hazril. Dia sudah dewasa sekarang".

"Apa? Indra? " tanya Hazril sekali lagi.

"Iya, Indra. Budak kerdil tu sudah gagah nampaknya. Dia baru sahaja menyembuhkan penyakit anakanda sultan. Dan sultan menawarkan dia menjadi tabib diraja".

"Cis, muda-muda begitu diberi ganjaran sebegitu! " Hazril mendengus geram lagi.

"Nampaknya kau lambat. Usaha kau ingin merawat anakanda baginda telah dirampas " Sani tersenyum sinis lagi.

Melihatkan wajah Hazril yang merah padam, dia tahu dendamnya terhadap Indra sudah berputik kembali. Sepertinya sebuah kisah akan bermula...

*
*
*
*

Az-Zumar 39:66

بَلِ ٱللَّهَ فَٱعْبُدْ وَكُن مِّنَ ٱلشَّٰكِرِينَ

Malay - Abdullah Muhammad Basmeih

"(Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur".

-Bersyukur jelah apa yang ada. Sebab apa yang kita sekarang semuanya rezeki daripada Allah. Jadikan rezeki sebagai asbab untuk kita dekatkan diri kepada-Nya.

Peribahasa Melayu:

#Pucuk dicita ulam mendatang

=Memperoleh sesuatu yang dihajati

#Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

=Pendapatan hanya cukup untuk hidup sahaja

550 TahunWhere stories live. Discover now