Episod 48 - H

43 4 0
                                    

︵‿︵‿୨♡୧‿︵‿︵

17 tahun kemudian, tahun 1472..

Di kala senja masih berbaki, kelihatan seorang teruna dan dara yang sedang bersantai di atas batu-batuan tepi pantai. Mereka berdua kelihatan mesra menyaksikan sebuah pandangan laut yang indah di hadapan mereka.

" Sukakah adinda dengan pandangan matahari terbenam ini ? ", soal Indra dengan lembutnya.

" Suka.. Adinda begitu sukakannya ", balas Mawar dengan santunnya.

Terukir senyuman manis di bibir Indra. Dia pun menoleh semula ke arah matahari jingga pada hujung laut.

" Saban hari sungguh abang tidak percaya yang kita sudah dewasa. Rasanya baru semalam abang kenal dengan adinda ".

" Benar abang, rasanya baru semalam adinda menengking ke telinga abang untuk memberi tahu nama adinda ".

" Ish adinda ni, kisah lama tak usahlah diungkit lagi ".

Mereka pun sama-sama ketawa dengan senang hati.

Hari berganti hari, mereka berdua telahpun menginjak dewasa. Indra yang pada masa itu berusia lapan tahun kini menjadi seorang pemuda 25 tahun. Wajahnya yang keanak-anakan kini berubah menjadi tampan. Kulitnya hampir bersawo matang, bibirnya sedikit beralun. Suaranya yang keanak-anakan juga berubah menjadi suara yang garau tetapi lembut. Badannya yang dahulu kecil kini menjadi tinggi dan segak. Indra kini membesar menjadi seorang lelaki Melayu yang sejati. Dia begitu segak mengenakan tanjak, berpakaian orang Melayu serta bersamping.

Perubahan Mawar juga tiada kurangnya. Dirinya yang berusia lima tahun kini berumur 22 tahun. Wajahnya yang comel kini menjadi ayu dan jelita. Kulitnya mulus, bibirnya mungil. Suaranya yang halus kini menjadi lunak. Perilakunya yang kasar dan lasak semakin lama berganti dengan sikap lemah lembut. Badannya yang kecil molek pula menjadi kurus dan ramping. Mawar kini membesar menjadi seorang gadis muda yang cukup sempurna. Dia juga begitu anggun mengenakan kelubung bercorak dan berbaju kurung.

Begitu tekun sekali mereka bergelak tawa sehingga tidak menyedari akan kehadiran dua insan di belakang mereka.

" Hai bakal raja sehari, tidak elok kalian bersidai di hari senja begini. Banyak syaitan tahu ! ".

Tersentak Indra dan Mawar dibuatnya.

" Eh Udin, sudah lamakah kalian ke mari ? ", tanya Indra gementar. Sesekali pipi jantannya kemerah-merahan.

" Aduh tersipu-sipu malu pula kau ni, Indra ", sakat Udin dengan sengihan nakalnya.

Udin, rakan sebaya Indra juga telah membesar menjadi seorang pemuda yang tampan dan penglipur lara. Meskipun rambutnya keriting dan panjang separas bahu, dirinya selalu menjadi antara kegilaan ramai anak-anak gadis di kampungnya selepas Indra. Dengan bertanjak dan bersamping yang mahal, siapa sahaja yang tidak suka ? Dan dia kini mewarisi empayar perniagaan kayu ayahnya, Tuan Salehuddin.

Memandangkan Udin sudah menganggap Indra sebagai ahli keluarganya, maka dia menyuruh sahabat-sahabatnya menukarkan nama panggilannya. Daripada Din menjadi Udin.

" Andai sahaja kisah ini dapat dilagukan, ingin sahaja aku bersyair, ya kan Fannani ? ", Udin menaikkan sebelah keningnya ke arah Fannani yang sedari tadi membisu. Yalah, dia kan bisu.

Fannani pun mengangguk lalu tersenyum suka. Terasa riang di hatinya pabila dua daripada orang sahabatnya bakal bersemenda. Dalam hati jutaan kesyukuran yang dipanjatkan kepada Allah kerana mereka berdua benar-benar dijodohkan. Kerana dahulu, Indra dan Mawarlah paling akrab hubungannya.

550 Tahunحيث تعيش القصص. اكتشف الآن