BAB 104 : Gugur Jantung

140 17 9
                                    

BUMMMM!!

Kuat bunyi dentuman hasil dari pelanggaran sebuah kereta dengan sesuatu sehingga bunyi derasnya hujan pun tenggelam di dalam bunyinya. Jelas di layar mata Eshal, sesusuk tubuh kecil tercampak jauh beberapa meter daripada tempat kejadian. Berguling tubuh itu sebelum dia terhempas di jalan tar keras dan kasar.

Eshal menyaksikan segalanya dengan sepasang bola matanya. Matahari senja turut menjadi saksi, kehancuran hati seorang jejaka menyaksikan sendiri kerebahan gadis tercinta di hadapan mata. 

"ASYA!!!"

Seperti mahu gugur jantungnya saat melihat tubuh gadis kesayangannya sudah berlumuran darah pekat.

Sepantas kilat, Eshal berlari menerpa tubuh Asya yang jauh tercampak ke tepi jalan tar. Tubuh gadis kecil itu terkulai lemah. Darah pekat bercampur air hujan mengalir di merata tempat. Eshal pantas memangku kepala Asya di atas ribanya. Tidak jijik dia melutut di atas jalan yang berlumuran darah isteri sendiri.

Air mata sudah tidak dapat ditahan lagi. Malu dan egonya sudah tiada harga lagi. Eshal tanpa segan seperti selalunya, dia meraih erat tubuh kecil itu ke dalam dakapannya. Takutnya kehilangan gadis itu tidak dapat dia ungkap dengan kata-kata. Tidak pernah dia merasakan setakut itu seumur hidupnya.

"Asya! Kau gila ke apa?!" Marah Eshal di dalam tangisannya yang ditahan-tahan. Petir kuat berdentum bagaikan mahu memarakkan lagi suasana kalut itu. 

'Ah, sakitnya! Kenapa ni?'

Seperti baru sedar daripada mimpi, aku kembali ke dunia nyata setelah merasakan rasa sakit yang maha dalam meresap ke seluruh tubuhku. Seluruh sendiku terasa kebas. Rasa sakit yang semakin menggila menjalar ke selurus saraf sendiku. Semakin bertambah pedih di kepalaku apabila merasakan ada air menitis deras mengenai kulit kepalaku yang terluka.

'Ya Allah. Sakitnya.. Apa yang yang jadi ni?' Desis hatiku kebingungan. Aku masih mamai dan akhirnya tersedar akibat hentakan kuat secara tiba-tiba. Sesiapa! Bagitahu aku apa yang terjadi sebenarnya ni?!

Berpinar-pinar kepalaku buat seketika namun masih dapat menangkap suara tangisan halus di sisiku. Sedaya-upaya aku cuba mencelikkan mata dengan payahnya. Di dalam masa yang sama, aku menggigil kesejukan dek dinginnya air hujan membasahi bajuku.

"Eshal?" Lemah aku bersuara memanggilnya. Bibirku tersenyum nipis. Ini pertama kalinya aku melihat Eshal menangis. Seluruh tubuhnya sudah kebasahan, ada hati lagi nak memeluk aku?

"Asya! Kau memang gila!" Tempik Eshal sambil menahan air mata. Sebaknya semakin berganda-ganda menatap wajah kesayangan yang pucat berdarah-darah. 

Aku senyum senget tidak mengerti apa yang dikatakan Eshal. Lucu benar melihat wajah kalut Eshal ketika itu. Namun apa yang aku lebih tahu sekarang, kepala aku rasa teramat-amat pening sekarang ni. Di dalam keadaan bingung dan kesakitan, aku sempat teringatkan ibuku. Ah, silap. Arwah ibuku.

"Gila-gila pun.., isteri..kau ju..gakkan?" Bisikku perlahan, sempat berseloroh sebelum kelopak mataku tertutup rapat-serapat rapatnya. Tiada lagi suara yang kedengaran. Tiada lagi sepi yang dirasakan. Hanya kesakitan yang menyiksakan dan pedih yang tidak berkesudahan..

"Asya? Asya?! Hei, bangun! Kau tak dibenarkan tidur masa ni!" Eshal mula kalut. Digoncang perlahan tubuh Asya, namun gadis itu tetap kaku. 

Eshal semakin sebak. Takutnya kehilangan gadis itu melebihi segala-galanya. Nasib baiklah orang yang terlanggar Asya tadi tidak lari atau melepaskan tanggungjawab, dia mengambil langkah cepat untuk memanggil jururawat dan doktor di dalam hospital. 

Sementara Eshal, masih dilamun rasa sebak yang bertandang. Teresak-esak dirinya dalam lebatnya hujan pada senja itu. Tiada sudahnya dia memaki dan memarahi dirinya sendiri.

𝐂 | 𝐌𝐲 𝐃𝐞𝐚𝐫Where stories live. Discover now