BAB 113 : Ini Masanya

127 13 5
                                    

ASYAD mengangkat kening kanannya tinggi menyedari akan perubahan angin suasana di ruang tamu itu. Dia memerhati gerak-geri Asya, Asy dan Eshal yang masing-masing berubah batu. Keadaan bertukar sepi seperti berada di tanah perkuburan.

"Asy kau panggil siapa lagi ni?" Soalan Asyad memecahkan sunyi yang membelenggu suasana.

Aku tersentak. Begitu juga dengan Asy dan Eshal. Kami saling berpandangan bertukar kegelisahan.

"Itu suara.." Asy mulai gagap akibat diburu rasa resah yang bertimpa-timpa.

"Suara mama." Potong aku serius. 

Mood bahagia tadi terus lenyap tanpa detik. Terketar-ketar aku mengawal ritma pernafasan aku yang berubah rentak. Luka yang baru terbenam di dalam hatiku seakan mulai terbuka jahitannya.

Asyad tergamam. Dia tidak menyangka jawapan itu yang akan didengarinya. Dia terus terduduk kelu. Fikirannya ligat memikirkan cara agar tiada perjumpaan di antara dia dengan pasangan itu. Dia masih belum bersedia bersua muka dengan memori silam yang sudah lama dia kuburkan dalam-dalam.

"Asya! Asy! Eshal! Mama dengan papa balik ni!" 

Jeritan mama dari luar rumah lagi tanda dia mahu pintu dibukakan. Kedengaran juga bunyi pintu kereta dibuka serta bunyi roda beg bagasi berlaga dengan tanah.

Asy sudah kalut. Dia memandang kakaknya menanti kata-kata gadis itu yang selanjutnya. Segalanya bergantung pada pasangan kembar itu kerana mereka yang bakal melalui natijahnya.

Eshal kekal beriak tenang. Luarannya duduk bersahaja bersandarkan sofa namun siapa tahu yang fikirannya sedang bercelaru memikirkan apa yang bakal terjadi seterusnya. Segala kemungkinan difikirkan, namun tiada kemungkinan yang dia dapat fikirkan untuk mengelakkan Asyad terjumpa dengan pasangan yang dua itu. 

Kemudian, Eshal mengalih pandangan ke arah Asya pula. Gadis itu membisu buat beberapa detik. Wajah ceria tadi hilang disapu kedinginan. 

Eshal mengeluh keresahan. Kasihan mengenang nasib Asya yang selalu dirundung ujian berat. Baru tadi gadis itu tersenyum bahagia, kini dia sudah perlu bermuram durja. Mungkin ini adalah petanda yang Asya perlu akhiri dulu semuanya sebelum membuka lembaran kisah yang baru.

"Akak.." Tegur Asy menarik lengan baju Asya.

Aku menelan air liur kelat. Sekilas aku pandang Asyad. "Jemput mama dan papa masuk Asy." Arahku dengan berat hati. 

Asyad terpegun. Dia mendongak memandang Asya. "Qaqa..?" 

Aku tersenyum tawar. "Qiqi, boleh tolong ambilkan air kosong tak? Qaqa haus. Air gas ni manis sangat." Kataku lembut.

Qiqi diam sebelum mengangguk kecil. Faham yang Asya mahu dia berundur ke dapur agar dia dapat berbicara enam mata dengan Puan Asyia dan Tengku Zariq sendiri. Dia bergegas bangkit lalu berjalan menuju ke dapur.

Sementara Asy, dia cepat-cepat berlari menuju ke muka pintu. Tombol pintu dipusing dengan berat hati. Dia tahu bahawa badai akan melanda bila-bila masa sahaja sebaik sahaja muka pintu itu dibuka.

Baru sahaja pintu itu dibuka, tubuh Asy sudah hilang dalam pelukan erat Puan Asyia yang tidak sabar-sabar melepaskan kerinduan pada anak terunanya. Lemas Asy dalam pelukan mamanya.

"Asy! Ya Allah..! Rindunya mama dengan Asy ni. Kenapa Asy makin susut ni?" Luah mama membenamkan wajahnya pada bahu si anak.

Asy kejung di dalam pelukan mama. Dia mati akal hendak bereaksi seperti apa. Matanya memandang ke depan iaitu ke garaj kereta. Kelihatan papanya sedang berjalan ke arah mereka sambil menarik sebuah beg bagasi bersaiz besar.

𝐂 | 𝐌𝐲 𝐃𝐞𝐚𝐫Where stories live. Discover now