BAB 117 : Masa Untuk Bangkit

197 15 4
                                    

MATAKU mulai berkaca-kaca saat melihat figura itu muncul di hadapanku. Hati yang sudah lama retak terasa berderai hancur. Aku menekup mulut menahan esak tangis yang memburu.

Tatapan mata figura itu lembut menatapku. Senyumannya masih terasa hangat macam dulu.

Aku tidak mampu mengawal air mata lantas menangis tanpa suara. "Doktor...bukan ke doktor kata tak nak jumpa saya lagi?" Lirih suaraku memecah sunyi di ruang tamu itu.

Doktor Inas tersenyum nipis melihat gadis kecil yang dahulunya selalu dingin dan pendiam dengannya kini sudah besar menjadi seorang gadis yang manis. Hati tuanya tersentuh saat mendengar suara lirih Asya mengulang semula kata-kata lima tahun lalu.

Flashback lima tahun yang lalu~

"Asya, hari ni hari terakhir tau saya jumpa Asya. Sebab esok, saya dah nak berangkat ke Kuala Lumpur." Beritahu Doktor Inas sambil menyisir rambut gadis kecil berumur 12 tahun di depan cermin. 

Si gadis kecil yang mendengar terus menoleh ke belakang memandangnya. "Eh, kenapa doktor nak pergi Kuala Lumpur? Duduk jelah dekat Johor dengan Asya." Kata gadis kecil itu dengan wajah polos.

Doktor Inas hanya mampu tersenyum kelat. "Asya kan dah sihat? Lagipun, saya nak pindah ke sana dengan keluarga. Lepas ni, kita tak boleh jumpa lagi. Asya jangan rindu saya tau." Jelas Doktor Inas lagi. Dia letakkan sikat rambut tadi di atas meja solek.

"Kenapa Asya tak boleh rindu doktor?" Tanya gadis kecil itu dengan wajah cemberut. 

"Sebab kalau Asya rindu saya, kita kena jumpa. Tapi bila kita berjumpa, Asya tahu tak apa maknanya?" 

Gadis kecil bertocang satu itu menggeleng kepala tanda tidak tahu.

"Maknanya, Asya 'sakit' semula. Janji dengan saya yang Asya takkan sakit lagi. Hanya orang sakit yang berjumpa dengan doktor." Ujar Doktor Inas sambil menghulurkan jari kelingkingnya kepada Asya.

Asya tersenyum lebar sehingga menampakkan sebaris gigi susunya. Dia mengangguk laju tanpa berfikir-fikir lagi. "Baik. Janji! Asya takkan sakit lagi!" Balas Asya bersungguh-sungguh dengan nada yakin sekali. Dia tersenyum manis sambil jari kelingking kecilnya bertaut dengan jari kelingking milik Doktor Inas.

Mereka berdua saling ketawa buat kali terakhirnya.

Flashback lima tahun lalu tamat~

"Asya..." Doktor Inas berjalan menghampiri Asya yang duduk di atas kerusi roda.

Aku terus-terusan menangis sebak masih tidak percaya dengan kehadiran Doktor Inas di situ. Susuk yang pernah aku anggap paling dekat dengan aku. Kemudian menghilang selepas dua tahun bersama. Aku tidak menyangka yang aku akan bersua dengan dia di situasi begini.

"Maaf... Saya mungkiri janji. Saya 'sakit' lagi..." Rintihku kepiluan tidak berani mengangkat muka menghadapnya. Air mata dibiarkan jatuh membasahi kulit buku di atas ribaku.

"Tak apa. Saya tolong Asya ya?" 

Satu tangan kasar dihulur padaku. Aku berat hati ingin menggapainya. "Boleh ke? Saya tak sekuat tujuh tahun dulu, doktor..." Jelasku tidak yakin pada diri sendiri.

Doktor Inas menyimpul senyuman kecil. Asya betul-betul sudah berubah pada matanya. Tidak seperti gadis kecil yang dijumpai kali terakhir lima tahun lalu.

Hatinya turut terkesan melihat keadaan Asya ketika itu. Serba sedikit dia berasa serba salah kerana dia adalah satu-satunya yang lewat mendiagnosis penyakit halusinasi Asya. Dia menyangka Asya akan memberitahu keluarganya tentang penyakitnya sendiri. Namun ternyata gadis itu tidak.

𝐂 | 𝐌𝐲 𝐃𝐞𝐚𝐫Where stories live. Discover now