N95

746 112 12
                                    

BARANG-BARANG yang sedikit berselerak di atas meja, Wareesa kutip dan masukkan satu per satu ke dalam beg sandangnya. Sesekali mata mengerling jam di pergelangan tangan. Takut terlepas waktu.

Oh! Hari ini dia punya temu janji makan tengah hari bersama Waseem. Sejak Waseem dah berada di tahun akhir pengajian, jarang mereka dapat luangkan masa bersama. Lelaki itu acap kali sibuk dengan kerja-kerjanya dan kadang, dengan program-program yang diajurkan pihak universiti. Tak campur lagi dengan part-time job lelaki itu.

Mengingatkan masa-masa yang akan diluangkan bersama nanti, bibir Wareesa auto mengukir senyuman manis sendiri. Teruja! Gembira!

Laju tangan bergerak, jadikan cepat sahaja meja kembali bersih dan kosong tanpa sebarang barang.

Beg disangkut pada bahu. Fail dan buku-buku lebihan dipeluk rapat ke dada. Botol air diambil dan kerusi ditolak. Baru nak melangkah pergi, laluannya terhalang dengan kehadiran Emir tiba-tiba. Hilang langsung senyuman Wareesa. Dahi pun dah berkerut.

"Hai, Reesa." Ramah Emir menyapa dalam bentuk bisikan. Di perpustakaan tak boleh tinggikan suara walaupun keterujaannya dapat  jumpa Wareesa ingin lakukan itu.

Rasa tidak selesa mula datang menyapa. Dan ia jelas terpancar di wajah Wareesa. Memang langsung berubah air mukanya. Emir perasan itu, tapi dia lebih memilih untuk abaikan sahaja, Asalkan dia dapat jumpa dan berbual panjang dengan gadis yang diminatinya.

Tak mahu melayan, Wareesa langsung angkat kaki mahu beredar dari situ. Namun langkahnya mati sekali lagi dihalang oleh Emir. Tegak lelaki itu berdiri di hadapan Wareesa bersama senyum menempel di bibir. Tiada langsung riak bersalah di wajah.

Menyampah Wareesa jadinya! Pelipis diurut perlahan. Tiba-tiba pening kepala nak kena menghadap lelaki yang seorang ini. Kenapa lah hari ini nak muncul tiba-tiba begini.

Wareesa ambil langkah sekali lagi, namun dihalang sekali lagi. Mula lah mata mencerlung tajam memandang Emir. Makin tajam bila nampak senyum lelaki itu makin melebar. Gila ke dia ni? Tak nampak ke orang tengah geram? Boleh pula senyum makin lebar!

"Boleh pergi sana tak? Dan jangan ganggu aku lagi!" Tertahan-tahan suara Wareesa. Kira baik juga cara dia bercakap sekarang ini. Kalau tak sopan, mungkin jeritan yang keluar daripada mulut. Tak mustahil bila dah geram sangat.

Emir peluk tubuh sebelum dia berganjak sedikit ke tepi, memberi laluan untuk Wareesa pergi. Mudah dia lakukan bila keinginan mahu dengar suara Wareesa tercapai.

Menjeling Emir, Wareesa mula atur langkah. Sedikit laju kerana ingin buru-buru lari daripada Emir. Namun, lain pula yang jadi bila Emir rapat mengekorinya. Sampai Wareesa rasa bahu mereka sedikit bersentuhan. 

Geram! Wareesa langsung tolak Emir jauh. Kemudian, langkah besar diambil untuk melarikan diri. Sesekali menoleh ke belakang dan sumpah Wareesa terkejut bila lihat Emir masih mengekori.

"Ish! Apa masalah dia ni?" Bentak Wareesa, geram. Langkah makin laju bila dia keluar daripada perpustakaan.

Sedang dia berlari anak, lengannya direntap kasar. Habis berterabur buku-buku dan fail yang dipegang. Botol juga dah bergolek jauh dari tempatnya. 

"Ish! Kenapa ni?!" Naik terus oktaf suara Wareesa memarahi Emir. 

Terima marah Wareesa, Emir laju angkat dua tangan ke atas, isyarat mengalah. Senyum sedikit bila nampak Wareesa menjelingnya tajam.

"Menyusahkan!" Meluncur laju perkataan itu seraya badan tunduk mahu kutip barang-barangnya yang dah berselerakan di atas lantai. Jam tangan dikerling! Sah dia akan terlewat. Dan semua itu kerana lelaki kurang siuman di hadapan ini.

H | 𝐍𝐎𝐓𝐈𝐂𝐄Where stories live. Discover now