N10

2.3K 314 29
                                    

SARAPAN sudah pun siap dimasak. Hari ini Cik Puan Tihani inginkan makanan Melayu. Bukan sejenis. Tapi tiga jenis sekali gus. Katanya nanti jam 9 pagi ada kawan-kawan persatuan mahu datang berbincang mengenai acara apa entah. Wareesa tak dapat tangkap sangat. Yang Wareesa dapat tangkap menu yang disebutkan mulut yang bercalit lipstick rona merah wine itu semalam.

Nasi Lemak, Roti Canai dan Kuih Keria. Jenuh benar nak buat. Yang mengarah senang lah. Pakai juih-juih aje bibir tu. Yang nak buat? Mestilah dia, Cik Zee, Sara dan Fara. Siapa lagi?

Meja makan yang dah penuh dengan makanan, Wareesa jenguk. Satu persatu dia pastikan sempurna. Yalah. Kalau tak sempurna, dia juga yang disalahkan. Dah macam ketua orang gaji pula dia rasa. Walhal yang sandang jawatan itu Cik Zee, bukan dia. Tapi, apa-apa pun Wareesa suka aje. Rasalah sipi-sipi aura tuan rumah kat situ.

"Dah sudah semuanya Reesa?" Tanya Cik Zee yang baru muncul dari dapur bersama seteko teh panas di tangan.

Wareesa mengangguk dan tersenyum. Teko yang dipegang Cik Zee bertukar tangan sebelum Wareesa letakkannya penuh cermat di atas dulang. Tepat pula ketika itu Tuan Fauhad dan Cik Puan Tihani muncul di ruang makan. Tak bertangguh, Wareesa terus senyum dan tarikkan kerusi buat Tuan Fauhad.

Melihatkan wajah manis Wareesa, Tuan Fauhad tarik senyum. Ucapan terima kasih dia berikan kepada Wareesa bersama mata yang melilau memandang meja makan. Terbangkit selera makannya melihat menu-menu di atas meja. 

"Reesa buat semua ni?" Tanya Tuan Fauhad. Mata masih memandang setiap menu tak lepas. Teruja seketika. Tapi sekejap cuma sebelum dia kalih pandang ke arah Wareesa yang dah tarik kerusi bersebelahan dengannya, berhadapan dengan isterinya.

Wareesa pandang Cik Puan Tihani. Jelas mata itu membulat memberi amaran dalam diam. Dan selepas itu, mata bergerak memandang Tuan Fauhad yang dah sedikit mendung wajahnya.

"Umm..."

"Kan pak cik beritahu. Reesa jangan buat kerja rumah. Biar Cik Zee, Fara dan Sara yang buat kerja rumah. Pak cik ambil Reesa masuk keluarga ni bukan untuk buat semua ni. Cukup jadi anak pak cik dan mak cik." Kata Tuan Fauhad sayu.

Dia bukan apa. Ada amanat dan pesanan arwah rakannya yang perlu dia penuhi. Masih tersemat kukuh kata-kata arwah yang tidak mahu anak gadis tunggal ini merasai apa jua kesusahan dalam hidup.

Mata menjuling tanda menyampah bila dengar kata-kata si suami. Bibir pula mencebik tanda meluat. Wareesa yang sekejap-sekejap memandangnya dijeling geram. Tak suka betul bila anak saudaranya itu diberi layanan sedemikian rupa.

Jadi anak dia? Tolong lah! Tak pernah ingin! Anaknya selama-lamanya Niliyyah dan Hayyan sahaja. Wareesa, walau berulang kali si suami kata gadis itu dianggap sebagai anak, dia takkan pernah ingin! Menyusahkan!

"Reesa?" Tuan Fauhad yang memanggil dipandang.

Melihat Tuan Fauhad menanti jawapan, Wareesa mula karang ayat lakonan dalam kepala. Mahu mati kalau dia jawab ya. Tu... Yang kat depan tu tak sudah-sudah menjeling ke arahnya. Beri amaran dalam diam. Bukan Cik Puan Tihani tak tahu yang memang kehendak si suami begitu. Malah, satu rumah tahu. Tapi, apakan daya. Apa yang Cik Puan Tihani nak, Cik Puan Tihani akan dapat. Sebab tu dia dijadikan orang gaji 'gelap' tanpa pengetahuan Tuan Fauhad.

"Reesa tak buat pun. Angkat air aje tadi. Takde apa lah pak cik." Balas Wareesa. Senyum kelat terukir di bibir. Serba salah bila dia ungkap kata-kata itu. Hakikat yang dia bangun seawal jam 5 pagi tadi hanya mampu disimpan rapi jauh dalam hati. Tak mahu Tuan Fauhad tahu. Tak mahu lelaki tua itu kecewa.

Senyum sinis terus terbentuk cantik di bibir bila telinga menangkap jawapan Wareesa.

"Abang tak payah risau lah. Setakat angkat air, takdenya patah tangan si Reesa ni. Lain lah kalau dia kena kacau sambal ke, kupas telur ke, goreng kacang dengan ikan bilis ni ke. Kan Reesa?" Penuh sinis Cik Puan Tihani bertanya. Sengaja.

H | 𝐍𝐎𝐓𝐈𝐂𝐄Where stories live. Discover now