N2

3.9K 378 5
                                    

PINTU kayu yang dah lusuh warnanya dibuka sebelum dia boloskan masuk ke dalam rumahnya. Suis lampu dibuka sebelum dia labuhkan duduk di atas tikar mengkuang yang sudah makin pudar warnanya. Kipas meja kecil yang ada di bangku dibuka sebelum dia boleh bersandar pada meja kecil yang menjadi tempatnya belajar. Hilang sekejap rasa lelah bila angin menyapa lembut wajahnya yang membahang kepanasan. 

Mata dipejam sebelum dibuka semula. Jam yang tergantung di dinding yang suram warna putihnya dipandang. Hampir jam 3 petang. Dia kena mula bekerja untuk siapkan minum petang buat keluarga majikannya.

Heh. Bibir tarik senyum senget.

"Keluarga majikan, eh?" Perlahan mulut mengungkapkan kata. Tak tahu lah nak rasa sedih ke apa. Sebabnya nak kata keluarga majikan itu keluarga dia, boleh juga. Nak kata memang majikan sebab dia diberi gaji atas kerja yang dia buat pun boleh juga. Tapi, ada juga ke yang senasib seperti dia? Buat kerja di rumah keluarga sendiri, tapi peroleh gaji. Lagi sedih, dia ni dah memang macam pekerja, bukan keluarga. Ke lebih teruk daripada pekerja sebab pekerja-pekerja lain tinggal dalam rumah, tapi dia pula ditempatkan di ruang yang terpisah dari rumah. Dalam stor sederhana besar belakang rumah. Entah.  Ada lah kut agaknya kan?

Tok tok tok!

Bunyi pintu diketuk buat fikiran Wareesa melayang pergi. Tak menunggu lama, terus dia bangun dan buka pintu. Terus ukir senyum bila wajah tua yang tersenyum manis menyapa pandangan mata.

"Cik Zee. Masuk lah." Pelawa Wareesa. Pintu dikuak besar nak beri Cik Zee masuk. Tapi, walaupun gaya dia nak bagi tetamu rasa selesa, dia tak rasa tetamu akan rasa selesa sebab rumahnya memang sempit.

Alah. Kalau dah asal rumahnya ini daripada tempat menyimpan barang-barang lama, besar manalah ruang yang boleh buat orang selesa? Sifar!

Cik Zee hanya menggeleng sahaja dan Wareesa hanya mengangguk faham. Tak kecil hati pun. Kalau lima tahun lalu, mungkin dia kecil hati. Tapi, sekarang tak rasa apa dah. Lebih kepada faham bahawa semua yang datang mahu dia yang lebih selesa.

"Reesa baru balik dari kelas?" Tanya Cik Zee. 

"Haah, Cik Zee. Baru aje. Kenapa? Cik Zee nak mula siapkan minum petang dah ke? Kalau nak mula, kita pergi sekarang lah." Kata Wareesa.

Tanpa lengah dia sarungkan selipar Crocs berwarna merah biru kepunyaannya. Ini Cik Zee yang beli sebab perasan tali seliparnya yang lama dah putus. Hehe. Nak tunggu dia? Memang tidak lah! Daripada beli selipar, baik dia simpan buat bayar apa yang lebih perlu.

Cik Zee kelihatan serba salah. Niat nak beri Wareesa rehat sepuluh minit dahulu. Tapi, bila memikirkan kemarahan Cik Puan Tihani nanti terhadap gadis ini, niatnya itu dikuburkan sahaja. Wareesa yang berjalan masuk ke pintu dapur belakang dipandang sebelum dikejar perlahan.

"Maaf lah, Reesa sebab kena mula awal. Ada majlis cik puan nak buat tiba-tiba. Itu yang kena siapkan awal-awal. Banyak pula yang Cik Puan Tihani minta untuk sediakan." Bisik Cik Zee setiba masuknya mereka ke dapur.

Wareesa angguk sahaja. Bukan tak biasa. Dah terlebih biasa. Bekerja dengan orang, memang kena ikutlah apa yang ditetapkan. Lagi satu, malas mahu dicemuh dan dipotong gaji. Baik Wareesa ikut sahaja. Dia juga yang rugi nanti.

"Tetamu mak cik dari mana?" Tanya Wareesa sekadar ingin berbasa-basi sebelum kerja dimulakan.

"Dar–"

"Siapa mak cik kau?" Terdiam terus Cik Zee hendak menyambung kata bila dengar suara lantang dari arah belakang mereka. Terus dia dan Wareesa pusing menghadap Cik Puan Tihani. Cik Zee menunduk manakala Wareesa hanya lurus terus memandang muka mak cik- eh maksud dia, majikannya tanpa riak.

H | 𝐍𝐎𝐓𝐈𝐂𝐄Место, где живут истории. Откройте их для себя