Bab 83

6K 289 57
                                    

"Allahuakbar."

Wajah diraup kasar. Dada berombak laju dengan nafas yang tidak teratur. Iskandar terjaga daripada mimpi buruknya. Walaupun penghawa dingin kereta dipasang, peluhnya tetap merenik di dahi. Fasha bunuh dia? Tak mungkin.

Tok... Tok... Tok...

Iskandar tersentak mendengar bunyi ketukan dari luar tingkap kereta. Perlahan-lahan tingkap kereta diturunkan. Seorang pak cik yang berkopiah putih sedang memandang ke arahnya. "Ya, pak cik?"

"Kamu buat apa dalam kereta? Jom kita solat subuh berjemaah, nak. Dah nak masuk waktu ni," ajak pak cik itu dengan segaris senyuman.

Iskandar hanya mengangguk sebagai balasan. Kemudian enjin kereta dimatikan lalu dia mengambil songkok di atas sofa belakang kereta. Dia sedikit kehairanan dan tertanya-tanya macam mana dia boleh berada di hadapan masjid. Dia tertidur di dalam kereta ke semalam?

Melihat pak cik berkopiah putih itu sedang menunggu, Iskandar pantas melangkah keluar dari perut kereta. Dia membuntuti langkah pakcik yang tidak dikenalinya itu.

Selepas selesai solat subuh berjemaah, Iskandar membawa diri ke belakang masjid. Dia duduk bersila di situ dan cuba mengingati apa yang berlaku semalam. Namun, dia langsung tidak ingat apa-apa.

"Assalamualaikum, nak." Pak cik berkopiah putih tadi mula menegurnya buat kali kedua. "Boleh pak cik duduk sini?"

"Waalaikummusalam. Boleh pak cik." Iskandar membalas senyuman dan mempelawa pak cik itu duduk bersila di sebelahnya.

"Kenapa pak cik nampak kamu macam tak sihat je, nak? Kamu sakit?" Pak cik itu mula menyoal. Sejak tadi dia terperasan yang anak muda ini hanya membisukan diri dengan riak wajah yang agak lesu.

Iskandar menggeleng kecil. "Saya sihat je pak cik."

"Jadi kenapa pak cik nampak kamu macam tak berdaya ja? Kamu ada masalah?"

Kali ini, Iskandar mengangguk kepala sebagai jawapan.

Melihat saja mata Iskandar, pak cik itu sudah dapat mengagak. Mata kuyup itu menceritakan segala yang berlaku. "Kamu ada simpan dendam dekat sapa-sapa?"

Iskandar diam. Dia tak menggeleng, malah tak juga mengangguk. Hanya berdiam diri dengan kepala ditundukkan ke bawah.

"Dendam takkan buat hidup kamu jadi tenang, nak. Kamu takkan hidup bahagia. Kalau kamu ada simpan dendam dekat sesiapa, cuba untuk memaafkan dia. Memaafkan adalah sifat mulia, dan menghapus rasa sakit hati itu adalah ikhlas." Belakang Iskandar ditepuk lembut.

Iskandar menghadam kata. Ya, benar. Memang sukar untuk dia lupakan apa yang telah terjadi. Dendamnya semakin lama, semakin susah untuk dihakis daripada terus terbuku di hati.

"Dalam Islam tidak disarankan untuk membalas dendam. Tambahan pula, orang itu ialah ahli keluarga sendiri. Pak cik tahu, berat untuk kamu lupakan dan memaafkan, tapi kamu harus melaluinya. Sungguh, kemaafan adalah ubat dendam yang paling mustajab. Ini semua untuk membuatkan hati kita menjadi lapang." Lembut saja suara pak cik itu menyapa gegendang telinga Iskandar.

Iskandar tahan air mata. Entah kenapa hatinya seperti dijentik rasa bersalah. Dia sudah jauh tersesat. Terlampau gemar menanam perasaan dendam di dada hingga sanggup menganiayai orang yang tak bersalah.

"Kenapa kamu hendak menyeksa diri dengan menyimpan dendam di dalam jantung hati? Kelak diri sendiri yang tertekan dan gundah gulana. Biarkan ia berlalu. Lupakan saja dan teruskan hidup kamu seperti biasa. Alangkah bahagianya jika kamu mudah memaafkan dan melupakan perkara lama. Tenangkanlah jiwa kamu dengan mengingati Allah SWT."

Air mata Iskandar akhirnya menitis jatuh ke lantai masjid itu. Dia betul-betul sedar dengan perbuatannya selama ini yang kurang bijak. Kenapa dia perlu menyimpan dendam terhadap perempuan itu? Sedangkan perempuan itu ialah isterinya yang sah dan bakal melahirkan zuriatnya nanti. Dia kalah dengan hasutan syaitan selama ini.

"Pak cik sarankan kepada kamu untuk jumpa dengan orang yang kamu berdendam tu. Berbaiklah dengan dia."

Tangan naik menyeka air jernih. Bicara pak cik itu buat Iskandar berhenti mengalirkan air mata. Tak mudah untuk dia berbaik semula dengan Fasha. Baginya, itu mustahil! Egonya jauh lebih tinggi berbanding dengan gunung Everest. Bahkan, perempuan itu seperti tidak mahu berbaik dengannya lagi. Pertemuan kali terakhir mereka telah menjelaskan segalanya.

Itu semua mustahil.

Sekali lagi, Iskandar terjaga dari tidur yang panjang. Dia memisat-misat mata sebelum anak matanya terarah kepada kipas siling yang sedang berpusing. Laju dia bangun menduduk. Dia dimana sekarang?

Lama memerhati sekeliling, baru Iskandar sedar yang dia berada di dalam bilik tidurnya. Selepas habis bicara dengan pak cik itu, dia terus pulang ke rumah.

Kata-kata pak cik yang berkopiah putih pagi tadi mula melintasi fikiran Iskandar. Dia sendiri tak pasti apa yang perlu dia lakukan sekarang.

Teringat sesuatu, Iskandar terkocoh-kocoh menapak ke bilik mandi. Beberapa minit kemudian, dia keluar dengan kain tuala putih. Hoodie berwarna hitam disarungkan ke badan dengan seluar tracksuit jenama Adidas dipakainya.

Selepas siap, Iskandar tergesa-gesa turun ke tingkat bawah sambil memegang kunci kereta. Lelaki itu mahu pergi ke sesuatu tempat.

Fasha sedang sibuk mengepam tayar basikal di halaman rumah Puan Sakinah. Aduh, masa dia mahu ke kedailah tayar basikalnya mahu pancit. Baru dua kali dia mengepam, belakang badannya sudah berasa sakit. Memang tak boleh buat kerja langsung. Padahal baru hendak mencecah dua bulan usia kandungannya.

"Fasha..."

Pergerakkan dihentikan seketika. Lantas Fasha berpaling sebelum figura yang dia sangat kenali menyapa pandangannya. Wajahnya berubah tidak senang. Seperti dijangka, lelaki itu muncul di hadapannya.

Fasha mengundur beberapa langkah ke belakang. Semakin dia ke belakang, semakin dekat Iskandar menghampiri. "Aaa... awak nak apa, Iskandar?"

Tak sempat mengelak, pegelangan tangannya direntap oleh Iskandar. "Awak nak apa, Iskandar?" Sekali lagi, Fasha menyoal. Air liurnya ditelan berkali-kali. Melihat Iskandar yang langsung tidak membuka mulut buat dia lagi takut untuk berhadapan dengan lelaki itu.

"Iskandar!"

DENDAM MR DEVILWhere stories live. Discover now