Bab 88

6.3K 294 88
                                    

Selepas mendapatkan nombor bilik rawatan Puan Sakinah, Pak cik Sulaiman dan Iskandar terus naik ke tingkat atas. Dalam perjalanan ke sini tadi, sempat Iskandar menanyakan beberapa soalan kepada Encik Sulaiman tentang Puan Sakinah.

Kata Encik Sulaiman, Puan Sakinah telah banyak membantu Fasha. Bahkan, membenarkan Fasha untuk tinggal di rumahnya. Baik hati wanita tua itu.

Iskandar juga yakin kebanyakkan penduduk kampung itu pasti tidak tahu yang Fasha sudah berkahwin.

"Ni kan bilik dia?"

"Ya, ni bilik Puan Sakinah."

Mereka berhenti betul-betul di hadapan satu bilik sebelum pintu dibuka perlahan. Seorang wanita yang agak berusia menoleh ke arah mereka.

"Sulaiman, macam mana kau tahu aku ada dekat sini?" Puan Sakinah agak terkejut dengan kehadiran Encik Sulaiman. Bertambah terkejut apabila melihat Iskandar berada di belakang lelaki berusia itu.

Encik Sulaiman senyum hambar. "Idham beritahu aku tadi. Macam mana kau boleh sampai masuk hospital ni, Kinah? Anak kau mana?"

Puan Sakinah duduk di birai katil. Manakala, Encik Sulaiman dan Iskandar hanya berdiri. "Darah tinggi aku naik sebab itulah. Doktor kata aku stress. Anak aku pergi makan kejap."

"Macam mana boleh sampai stress? Kau fikir apalah, Kinah? Sebelum tu, aku nak tanya kau ni, Fasha mana? Aku langsung tak nampak dia hari ni. Dia ikut Nina makan sekali ke?"

"Tak adalah. Fasha ada dekat rumah rasanya. Nina cakap dia tak nampak pula Fasha dekat rumah pagi tadi. Tak tahu pergi mana."

"Mungkin dia keluar agaknya."

Iskandar cuma mendengar dan cuba memahami keadaan. Tadi Iskandar seperti terdengar Encik Sulaiman menyebut nama Nina. Tapi dia tak pasti Nina mana. Mungkin ada ramai yang bernama Nina di dalam kampung itu.

"Iskandar, kamu sihat?" Puan Sakinah cuba beramah mesra dengan Iskandar. Sejak tadi lelaki itu langsung tidak bersuara.

Iskandar angkat kepala. "Alhamdulillah sihat, mak cik." Senyuman manis terukir. Sedikit tertegun apabila Puan Sakinah menyebut namanya. Walhal, dia langsung tidak memperkenalkan dirinya tadi.

"Macam mana kerja kamu di ofis? Mungkin agak bertimbun sebab tiada Nina. Mak cik pun tak tahu sebab apa kamu bagi cuti beberapa minggu dekat dia." Puan Sakinah membuka topik perbualan baru. Encik Sulaiman hanya diam.

"Kerja saya dekat ofis tak banyak sangat, mak cik. Sebab tu saya beri cuti dekat Nina. Dah lama dia tak ambil cuti panjang," kata Iskandar. Dia sudah dapat mengesahkan tentang Nina yang disebut oleh Encik Sulaiman tadi.

Jadi memang benar, Fasha tinggal bersama Nina dan Puan Sakinah. Tapi kenapa Nina tak mengakuinya tadi? Bahkan, perempuan itu cuba untuk sembunyikan kebenaran. Mungkin Fasha yang mengarah Nina untuk bertindak sedemikian. Teka Iskandar.

"Terima kasih Iskandar sebab bagi cuti dekat Nina. Memang jarang dia balik sini. Dalam sebulan, dua tiga kali ja mak cik jumpa dia."

Iskandar hanya membalas kata-kata itu dengan segaris senyuman.

"Kalau tak ada apa-apa lagi, aku balik dululah. Kedai runcit aku tu tak ada sapa jaga. Kesian Idham pula kena tunggu dekat situ lama-lama." Tiba-tiba Encik Sulaiman memintas. Kalut nak datang, mesti juga kalut nak balik.

"Tak apalah kalau macam tu. Terima kasih datang tengok aku."

"Tak ada masalahlah. Iskandar, pak cik balik naik teksi jelah."

"Tak apa, pak cik. Naik kereta saya saja. Senang sikit. Tak payah susah-susah nak keluarkan duit tambang."

Encik Sulaiman masih degil untuk menolak pelawaan itu. "Pak cik dah biasa naik teksi. Banyak kawan pak cik yang bawa teksi. Jadi bolehlah pak cik berbual-bual dengan mereka sekali."

Mendengar saja kehendak itu, Iskandar terpaksa juga menerima. Iskandar hanya mengangguk tak membantah. Kemudian, Encik Sulaiman beredar dari situ. Iskandar masih berada di dalam bilik rawatan bersama Puan Sakinah.

"Mak cik... Jadi selama ni memang mak cik dan Nina tahulah isteri saya dekat mana?" Iskandar mula menyoal. Dia ingin mengetahui lebih lanjut. Banyak sebenarnya yang dia tidak tahu.

Puan Sakinah mengangguk kecil. "Iya, Iskandar. Mak cik minta maaf. Kami tak berniat pun nak rahsiakan daripada kamu. Kami cuma hormat dengan keputusan Fasha." Suara Puan Sakinah bertukar nada. Wajah wanita tua itu turut bertukar riak. Jelas kelihatan dia rasa bersalah.

"Macam mana mak cik boleh jumpa isteri saya?"

Puan Sakinah menundukkan kepala. "Kami jumpa dia kat station bus. Dia pengsan masa tu. Mungkin dia penat berjalan dengan beg lagi yang dia bawa."

Iskandar terdiam sepi. Kata-kata itu buat dia terbukam. Beberapa bulan yang lepas, dia menghalau perempuan itu keluar dari rumahnya. Perempuan itu tidak ubah dilayan seperti kucing kurap. Iskandar tahan air mata. Tidak tahu kenapa air matanya sangat murah untuk jatuh ketika ini.

Sejak Fasha hamil, sikap panas barannya seakan mula terhakis. Bahkan, hatinya mudah tersentuh dan terasa apabila dijentik. Dia bukan lagi Nabhan Iskandar yang dulu.

"Isteri saa... saya dekat mana sekarang?"

Apabila Fasha membuka mata, dia mendapati yang dirinya masih terbaring di atas lantai. Kepalanya kembali berat. Kelopak mata kirinya turut terasa agak pedih. Entah kenapa.

Selepas sepuluh minit Fasha masih terbaring di situ. Kali ini, dia cuba untuk bangun. Apabila dia berdiri, dia merasakan tubuhnya terhuyung-hayang. Digagahkan juga kakinya untuk menapak beberapa langkah.

Kepalanya sakit. Kulit kepalanya seakan berdenyut-denyut. Tiba di pintu bilik, Fasha menolak perlahan. Dia mahu melarikan diri dari sini. Nina sudah tidak siuman lagi. Malah, sudah hilang akal. Perempuan itu memang tidak betul. Makin lama, makin naik hantu.

"Baa!" Tak sampai beberapa saat Fasha membuka pintu bilik, Nina muncul di hadapan muka pintu itu dengan gelak tawa.

Fasha telan air liur. Terperanjat dia melihat Nina yang muncul secara tiba-tiba. Dia cuba membawa diri bertenang lalu perlahan-lahan melangkah ke ruang tamu. Pandangan Fasha masih terpaku pada Nina.

Nina mengikut langkah Fasha tanpa sebarang reaksi. Kedua-dua tangan perempuan itu berada di belakang seperti sedang memegang sesuatu.

Perut Fasha kosong dan berbunyi. Sejak dari semalam, dia langsung tidak menjamah sebarang makanan. Mata Fasha tidak melirik ke arah lain walaupun kakinya sedang melangkah ke belakang. Belakang badannya bertemu dengan pintu utama.

Nina menghampiri. Laju dia mendapatkan Fasha apabila perempuan itu cuba untuk membuka kunci pintu. Perempuan itu tidak sempat.

Pergerakkan Fasha terhenti. Glup! Air liurnya ditelan, tawar. Pisau tumpul yang dipegang oleh Nina betul-betul berada di hadapan wajahnya sekarang.

"Buka kunci pintu ni, kalau kau nak mati," ugut Nina berbaur amaran. Dia bersuara sambil gigi diketap.

Fasha tercengang. Tergeleng kecil kepalanya. Sejujurnya, dia masih tidak faham kenapa perempuan itu menyimpan dendam terhadapnya. Takkan sebabkan Gina saja? Arghh, memang tak logik!

Pisau tumpul itu diturunkan ke bawah saat mendengar bunyi enjin kereta di luar rumah. Nina sedikit tersentak. Dia tidak tahu siapa yang datang.

Lengan Fasha terus direntap kuat. Fasha melangkah ke hadapan secara tidak sengaja lalu dipaksa berpaling. Pisau tumpul itu terasa pada batang lehernya sekarang.

Tok. Tok. Tok.

Pintu diketuk dari luar. "Diam..." Suara Nina menyerpa perlahan tapi kedengaran keras pada pendengaran Fasha. Dalam beberapa saat, kedengaran salam pula diberi dari luar. Fasha sedikit bergerak.

Dia kenal empunya suara itu.

DENDAM MR DEVILWhere stories live. Discover now