Bab 84

6.4K 273 48
                                    

"Iskandar!"

Tangan Fasha ditarik. Perempuan itu dipaksa untuk mengikut langkah Iskandar. Memerontak Fasha supaya lengannya dilepaskan. Lagi dia memerontak, lagi kuat cengkaman.

"Awak nak apa, Iskandar?" Fasha dipaksa duduk di atas perlantar yang berada di tepi sawah padi. Iskandar hanya berdiri dan turut melepaskan genggaman.

"Sebenarnya aku nak minta maaf," ujar Iskandar dengan wajah kesal ditayangkan. Fasha angkat wajah. Matanya menghala ke arah muka Iskandar tak percaya. Tidak tahu kenapa lelaki itu tiba-tiba saja mengujarkan permohonan maaf. Seperti ada udang di sebalik batu.

"Aku dah sedar. Aku banyak salah dengan kau. Aku betul-betul nak minta maaf." Kali ini, mata Iskandar menikam tepat anak mata Fasha. Pandangan mereka bertauk. Iskandar dalam dilema. Dia samar-samar dengan kehendak hati yang seperti memaksa diri untuk mendapatkan Fasha semula.

Tak sampai beberapa saat, Fasha terus memalingkan wajah, tidak ingin melihat Iskandar. "Awak tak sihat ke Iskandar? Tiba-tiba je datang jumpa saya, lepas tu minta maaf pula. Saya tak fahamlah dengan awak ni." Fasha membebel tak senang. Suaranya lantang menyusun kata. Walaupun dirinya agak takut apabila berhadapan dengan suami sendiri. Tapi, dia cuba untuk beriak selamba.

Keluhan berat terpacul dari mulut Iskandar. "Aku betul-betul ikhlas nak minta maaf. Aku sedar. Aku tak sepatutnya dendam dengan kau. Kau tak bersalah, Fasha." Nada suara Iskandar masih sama seperti tadi. Kendur dan lembut. Dengan penuh harapan dia bertandang ke sini. Ego turut terpaksa diturunkan.

Tergeleng-geleng kepala Fasha. Iskandar nak perbodohkan dia lagi. Kali ini dia pasti takkan tertipu lagi! "Sudahlah Iskandar. Saya penat layan kerenah awak. Jangan kacau saya lagi." Bunyi suara Fasha sudah ke arah merayu tapi lebih kepada lelah. Berharap lelaki itu faham. Fasha tolak tubuh Iskandar yang menghalang laluannya. Dia turun dari perlantar dan berjalan ingin masuk ke dalam rumah Puan Sakinah. Panas duduk di luar lama-lama.

"Fasha, tunggu. Aku tak habis cakap dengan kau lagi." Iskandar kejar Fasha. Banyak lagi yang mahu lelaki itu sampaikan. Baru awal bicara, Fasha sudah menunjukkan perasaan tidak berminat dengan topik perbualan mereka.

"Aku nak kau ikut aku balik rumah." Sambungnya lagi.

Fasha berhenti melangkah. Permintaan Iskandar buat perempuan itu tertarik untuk berpaling. "Awak lupa ke yang awak dah halau saya dari rumah awak. Awak tak ingat ke Iskandar? Bukankah awak dah ingat semuanya. Ingatan awak pun dah pulihkan?"

"Tu sebelum kau mengandung. Sekarang aku nak kau balik rumah kita. Tinggal dalam rumah kita." Suara Iskandar sedikit tegas. Seolah memaksa perempuan itu mengikutnya pulang.

"Awak dah tak siuman! Awak buat hidup saya merana sebelum ni. Awak dera saya. Awak seksa saya sebelum awak hilang ingatan. Lepas tu, sekarang dengan senang-senang je awak datang balik, minta maaf dan minta saya tinggal dengan awak semula. Awak ingat saya ni anak patung yang boleh main sesuka hati? Kalau suka, kutip. Kalau tak suka, buang. Macam tu?" Iskandar seperti sudah hilang akal. Selalu bercakap tanpa berfikir dahulu. Semua permintaan tak masuk dek akal.

Iskandar terus terdiam mendengar bicara Fasha. Kelihatan jelas perempuan itu menyimpan rasa marah yang makin membuak-buak. Terlalu banyak perempuan itu memendam rasa pahit dan terpaksa ditelan satu demi satu. Bercakap pun hendak tak hendak saja. Berbaik jauh sekali.

"Selepas saya melahirkan bayi ni, saya nak awak ceraikan saya." Fasha menyuakan hasratnya yang sudah lama terpahat di minda dengan harapan Iskandar akan menyetujui tanpa sebarang bantahan.

Selepas berkata-kata, Fasha terus membuka langkah masuk ke dalam rumah kayu itu. Iskandar yang sedang melihat langsung tidak dihiraukan. Membiarkan lelaki itu berdiri tegak di halaman rumah.

Biarkan.

Fikiran Iskandar sudah menerawang jauh. Lelaki itu memikirkan cara untuk mendapatkan kepercayaan Fasha semula. Apabila difikirkan beberapa kali memang seperti agak mustahil, tapi tak salah kalau dia terus mencuba. Mereka masih sah menjadi suami isteri. Fasha ialah tanggungjawabnya yang perlu diambil peduli bukan diabaikan begitu saja.

Sebelum ini memang hatinya sarat dengan perasaan benci. Perasaan yang mahu buat perempuan itu hidup dalam penderitaan. Tapi selepas bertemu dengan pak cik itu semalam, semua perasaan itu seakan sedang terhakis sedikit demi sedikit. Dia mula sedar dan menerima kenyataan. Menerima Qada' dan Qadar yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi adalah satu cara untuk menghapuskan rasa dendam.

Esok, dia akan ke sini lagi.

Jendela bilik dibuka luas. Sawah padi yang terbentang luas dan alam semulajadi yang tidak terganggu oleh sebarang pencemaran menarik perhatian Fasha untuk terus menguncikan pandangan. Mata perempuan itu redup melihat ciptaan tuhan yang begitu indah sekali. Malah, mampu menjadi penawar hati jika dilanda kesedihan.

Kehadiran Iskandar pagi tadi buat jiwanya langsung tidak tenang. Sampai sekarang, wajah Iskandar masih menjadi peganggu di dalam benak fikiran. Ketika dia mahu membuat kerja-kerja di dapur pasti bicara Iskandar pagi tadi menerjah di gegendang telinga. Selamat dia cuti hari ini, kalau tak memang tak lancar semua kerja di kedai.

Sekarang, Fasha cuma mampu melepaskan keluhan berat. Iskandar bertandang ke sini dan meluahkan rasa kesal dengan bersungguh-sungguh. Adakah itu juga satu lakonan? Jika itu benar satu lakonan, Iskandar bukanlah seorang pelakon yang hebat. Kerana dia takkan tertipu lagi dengan helah itu!

Tapi andai kata Iskandar benar-benar tulus mahu meminta maaf dan kesal, dia mungkin tidak dapat menerima lelaki itu semula. Menerima Iskandar semula dalam hidupnya ibarat seperti membela harimau di dalam rumah.

Comel tapi kejam!

Banyak perkara yang telah terjadi di antara mereka sebelum ini tapi kenapa Iskandar beriak seolah tiada apa-apa yang telah berlaku. Mana hati perut lelaki itu? Memang tiada langsung kah rasa simpati dalam diri lelaki itu? Atau, sudah lenyap akibat dendam yang sudah memakan diri sendiri?

Makin difikirkan tentang sikap Iskandar, makin serabut otak dibuatnya. Dia cuba untuk membuang jauh-jauh dan henti berfikir, tapi lagi cuba dihakis dari minda, lagi galak dia mahu berfikir.

Prangg!

Bunyi pinggan kacang yang seperti dihempas oleh seseorang berbunyi sangat kuat pada pendengaran Fasha. Tertoleh Fasha ke belakang. Bingkas jendela bilik ditutup rapat. Langkah diatur ke dapur.

"Mak cik? Nina?" Fasha memanggil nama penghuni di dalam rumah itu. Namun, seruan Fasha langsung tiada jawapan dari sesiapa. Seolah tiada penghuni saja. Mana semua orang pergi? Mana datangnya bunyi pecahan tadi?

Tercari-cari Fasha di bahagian dapur sebelum dia berlari mendapatkan Puan Sakinah yang sudah terbaring lesu di atas lantai. "Mak cik!" Puan Sakinah menutup rapat kedua-dua mata. Wanita tua itu pengsan.

"Nina! Nina!" Terjerit-jerit Fasha di dapur seorang diri. Kelibat Nina langsung tidak kelihatan sejak dari tadi. Entah kemana gadis itu menghilang.

"Ya Allah, mak!" Nina muncul dari pintu belakang rumah. Tadi dia sibuk menyiram pokok-pokok bunga di halaman rumah hingga tidak sedar ada seseorang sedang menyeru kuat namanya.

"Mak!"

Pipi Puan Sakinah ditepuk-tepuk lembut, cuba menyedarkan wanita tua itu. Air mata sudah bertakung hebat di kolam mata. Tak sanggup untuk menerima nasibnya yang sama seperti sebelum ini. Kehilangan orang yang dia sayang hampir buat dia mengalami sakit jiwa.

"Ambik kunci kereta, Fasha. Kita bawa mak pergi hospital."

Tergesa-gesa Fasha memanjat anak tangga ke ruang tamu. Matanya juga sudah penuh dengan air jernih. Berharap wanita tua itu tidak apa-apa.

"Mak..."

DENDAM MR DEVILWhere stories live. Discover now