Bab 92

6.4K 352 47
                                    

"Akak... Sorry Ida lambat!" Tercungap-cungap nafas Kalida saat tiba di dalam bilik rawatan Fasha. Jam di pergelangan tangannya dipandang sekilas. Sudah masuk pukul tiga petang.

Dia lewat empat jam!

Fasha tertawa halus ketika melihat Kalida yang seperti tidak cukup nafas. "Tak apa. Akak tak kisah pun." Selepas tiga hari berada di hospital, Fasha sudah dibenarkan untuk pulang ke rumah hari ini.

"Ida terlupa tadi." Kalida tersengih. Selepas saja habis mesyuarat pada tengah hari tadi, dia terus berjumpa dengan Datuk Moktah sehingga lupa untuk menjemput Fasha di hospital.

"Ida dari mana sebenarnya?"

"Dari rumah mama tadi," ujar Kalida sambil mengambil beg pakaian Fasha di atas katil. "Akak..."

"Iya?"

"Akak nak ke rumah siapa sekarang? Mak cik Sakinah?"

Fasha terdiam. Pergerakkannya turut terhenti seketika. Dia tiada jawapan. Tak mungkin untuk dia menjejakkan lagi kaki di rumah itu.

"Balik rumah abang Is?"

Fasha senyum tawar lalu dia menggeleng. "Tak. Akak tak nak."

Kalida hanya mengangguk perlahan. Walaupun dia sudah mengagak jawapan Fasha, hatinya tetap terguris. Kalau boleh, dia tidak mahu memaksa perempuan itu untuk tinggal bersamanya lagi.

Mungkin itu lebih baik.

"Akak nak turun sekali ke?" soal Kalida apabila mereka tiba di hadapan rumah agam Datuk Moktah dan Datin Zarina. Tak sangka pula telefonnya boleh tertinggal di dalam rumah agam tersebut.

Fasha teragak-agak untuk menjawab. "Err... Nak..." Selepas membisukan diri selama beberapa minit, akhirnya Fasha bersuara juga. Walaupun hatinya berat untuk melangkah keluar dari kereta, namun kakinya seakan mahu masuk ke dalam rumah agam itu.

"Assalamualaikum..." Kalida memberi salam selepas melangkah masuk ke dalam melalui pintu utama. Fasha hanya membuntuti langkah Kalida dari belakang.

"Waalaikummusalam. Sini Ida. Mama ada dekat dapur ni!" Suara Datin Zarina kedengaran jelas dari arah dapur. Kalida dan Fasha terus ke sana.

"Ma... Papa mana?" Melihat saja kelibat Datin Zarina yang sedang duduk di atas kerusi, dia terus mencari kelibat papanya pula.

"Papa ada dekat atas. Kenapa Ida datang balik ke sini?" soal Datin Zarina yang sedikit kehairanan. Wanita tua itu sedang sibuk memotong buah.

"Ida tertinggal telefon Ida... hehe," jawab Kalida selepas terperasan yang telefonnya ada di atas kabinet dapur.

Datin Zarina angkat kepala lalu menggeleng kecil. Namun gelengan itu terhenti apabila melihat seseorang di sebelah Kalida. "Fasha?"

Fasha tersenyum nipis. "Iya ma..."

Datin Zarina meninggalkan pisau pemotong buah itu ke atas meja. Kemudian menghampiri Fasha. Perempuan yang berbadan dua itu terus dipeluknya. "Ya Allah, Fasha..."

Fasha membalas pelukan wanita tua itu. Air jernih keluar dari tubir matanya.

Air mata Datin Zarina turut mengalir keluar. Baru-baru ini, Kalida ada menceritakan kepadanya tentang apa yang berlaku di antara Iskandar dan Fasha. Cerita itu telah membuatkan dia terdiam kaku.

"Mama sihat?"

Datin Zarina melepaskan pelukan tersebut dengan senyuman di bibir. Wajah menantunya yang sedikit pucat dipandang sayu. "Mama sihat. Fasha sihat? Cucu mama sihat juga ke?"

DENDAM MR DEVILWhere stories live. Discover now