Bab 38 - Part 2

7.5K 225 3
                                    

Dua tahun yang lalu,

"Aku akan cari kau sampai dapat. Aku akan cari kau!" Iskandar bersuara geram. Tertahan-tahan nafasnya. Tanpa sedar, setiap bicaranya didengari oleh seseorang.

Diana tergamam tak percaya. Cuping telinga masih terkaku rapat di daun pintu. Niat dia ke sini hanya untuk mengajak Iskandar pergi membeli-belah, tapi tak sangka lain pula jadinya.

"Aku benci kau!" Iskandar menghentak meja kuat. Tali leher dilonggarkan dan dilempar kasar ke katil. Dia menyusun langkah ke pintu.

Diana berteka-teki sendiri. Seperti terdengar bunyi tapak kaki sedang mendekati, Diana berlari tak cukup tanah. Dia menyorok di sebalik dinding.

Pintu bilik Iskandar kedengaran jelas ditutup. Lelaki itu berjalan ke anak tangga tanpa sedar yang dia sedang diperhatikan.

Sebaik hilang kelibat Iskandar, Diana memberanikan diri menapak ke dalam bilik Iskandar. Sekali-sekala dia pasti akan berpaling melihat ke belakang. Takut-takut Iskandar muncul secara tiba-tiba.

Gambar seorang gadis di atas meja telah mencuri perhatian Diana. Dari jauh, dia sudah dapat melihatnya dengan jelas. Gambar itu dihampiri. Cantik! Itulah perkataan pertama yang terlintas di fikiran Diana. Tapi dia tak kenal.

"Sapa ni?" Diana bersoal sendiri.

Buku catatan di sebelah gambar itu diteliti berkali-kali. Lambat-lambat dia capai buku catatan itu. Dia mahu melihat dari jarak yang lebih dekat.

SI DIA

SI DIA? Diana kerut dahi. Perkataan itu tertulis di atas kulit buku. Dalam fikiran, dia sedang memikirkan sesuatu. Lama dia berfikir, akhirnya dia buka buku catatan itu. Terpapar muka surat pertama yang penuh dengan tulisan.

Umurku sudah mencecah 17 tahun dan tahun ini juga merupakan penentu masa depanku. Hari ini aku berpindah ke sekolah baruku atas kehendakku sendiri. Tidak ada yang memaksa mahupun dipaksa. Aku rela demi masa depanku. Hari pertama di sekolah baruku memang agak mencabar tetapi tidak mengapa itu adalah pilihanku sendiri.

Bagiku susah untuk mencari kawan baik yang betul-betul baik dalam masa yang terdekat. Tetapi dalam keadaan yang tidak sengaja aku ditemukan dengan seorang gadis atau dikenali sebagai SI DIA yang ikhlas hendak berkawan denganku. Aku tidak sangka. Malah pada masa yang sama aku jatuh hati pada SI DIA dan kejelitaan yang dimiliki oleh SI DIA.

Jujur aku berkata, ini kali pertama aku mempunyai perasaan suka pada seorang gadis. Aku tidak kisah jika aku sahaja yang mempunyai perasaan terhadap SI DIA atau lebih tepat dikata yang aku hanya bertepuk sebelah tangan. Yang penting aku sayang SI DIA, cinta SI DIA, dan bahagia bila bersama SI DIA.

(03 MAC)

Diana tergamam sendiri apabila membaca muka surat pertama buku catatan itu. Tidak sangka Iskandar benar-benar sudah jatuh hati kepada seorang gadis. Dia cemburu dengan kenyataan itu.

Helaian seterusnya direnung dengan penuh teruja. Mata Diana seperti berkaca, menahan air mata yang mahu mengalir. Tanpa buang masa, helaian kedua dibaca.

Aku diberi tahu tentang satu perkara yang benar-benar menyeksa jiwa dan ragaku. SI DIA yang aku benar-benar cintai terpaksa berpindah ke Johor pada minggu hadapan. Aku terpaksa menerima walaupun diriku tidak pernah merelakan.

Sungguh aku tidak dapat menerima kenyataan itu. Setiap waktuku bersama SI DIA, benar-benar aku menghargai. Setiap apa yang berlaku di antara aku dengan SI DIA akan aku catat pada buku ini untuk dijadikan satu kenangan manis dan paling terindah.

(14 APRIL)

Air masin sudah merintik di dahi Diana. Gadis itu masih tak faham dengan kenyataan yang sebenar. Yang dia tahu, Iskandar betul-betul cintakan gadis ini. Dan sesuatu yang pasti, dia cemburu!

Hari yang paling aku benci sudah tiba. Hari yang akan menggelapkan hidupku. Hari di mana SI DIA terpaksa pergi meninggalkan diriku. Wajah SI DIA kelihatan begitu gembira sama sekali. Tidak sedihkah dirinya untuk pergi jauh meninggalkanku disini?

Aku tidak akan pernah mencintai orang lain seperti aku mencintai SI DIA. SI DIA merupakan cinta pertama hatiku. Begitu sukar diriku melupai SI DIA. Walhal dalam mimpiku juga sering dia muncul, apatah lagi dalam hatiku.

(21 APRIL)

Selepas membaca helaian itu, air mata Diana sudah mengalir jatuh. Memang tidak dinafikan, Iskandar tulus mencintai gadis misteri ini. Cinta Iskandar terhadapnya tidak sehebat cinta Iskandar terhadap gadis itu.

Tangan Diana sudah terketar-ketar saat menyelak helaian seterusnya. Air mata dibiarkan mengalir tanpa disapu. Digagahkan juga hati untuk meneruskan baca helaian ini.

Satu cerita yang mula menghantui hidupku. Aku baru mengetahuinya. Aku seakan dikejutkan oleh cerita itu. Aku seakan tersedar dari mimpiku. Pada mulanya aku tidak percaya tetapi semua bukti telah menunjukkan itu adalah benar!

Sekali lagi aku tidak dapat menerima kenyataan yang melanda hidupku. Diriku sedang dilamun cinta dengan SI DIA yang misteri. SI DIA yang buat hidupku merana! Hatiku mula membenci SI DIA! Aku benci SI DIA! Aku benci SI DIA!

Kerana aku dapat tahu yang SI DIA...

"You buat apa ni?" Iskandar menyapa tiba-tiba. Dia tegak berdiri di hadapan pintu.

Diana tersentak dengan teguran itu. Tak sempat untuk dia menghabiskan bacaanya. Tergetar-getar dia berpaling. "I tee... tengah..." Terhenti kata-katanya tanpa penyudah. Tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Buku catatan itu perlahan-lahan ditutup.

"You tengah buat apa tu?" Wajah gadis itu ditatap dalam-dalam. Senyuman nipis terukir. Dia tidak kesah jika gadis ini masuk ke dalam biliknya sesuka hati. Satu hari nanti, mereka akan tinggal dalam satu bilik juga.

"I tengah ni... ni..."

"Jom teman I makan. Nak tak?"

Diana menghembus nafas lega. "Okay. Jom!" Buku catatan itu perlahan-lahan diletakkan di atas meja tanpa pengetahuan lelaki itu walaupun hatinya tidak merelakan. Ingin tahu apa yang berlaku seterusnya!

DENDAM MR DEVILWhere stories live. Discover now